BERJAYA pada usia muda.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Pertemuan diatur bersama anak muda ini memberikan impak luar biasa kepada penulis. Mana tidaknya, ketika usianya kini baru mencecah angka 21 tahun, dia berjaya memiliki perniagaan yang membolehkannya membuka peluang pekerjaan kepada individu lain, membeli rumah dan kenderaan hasil titik peluhnya sendiri.

Memulakan bicara, anak kelahiran ibu kota Kuala Lumpur namun dibesarkan di Alor Setar, Kedah ini mewujudkan satu perasaan kagum dengan semangat dan usaha kerasnya untuk merubah kehidupan sendiri sekali gus membantu orang lain.

Ternyata tanggapan umum yang melabelkan ramai belia masa kini malas berusaha berjaya ditangkisnya.

Menceritakan suka duka terbabit dalam dunia perniagaan, Muhammad Hakem Azham berkata, dia memulakan perniagaan ketika usianya 13 tahun dengan menjual apa saja di sekolah.

“Pada usia 16 tahun, saya memberanikan diri memulakan perniagaan percetakan baju-T sebelum mencuba pula perniagaan berasaskan makanan.

“Ketika itu, semuanya saya cuba. Asalkan ada ruang dan peluang, saya akan jual kerana mahukan wang untuk membeli apa saja diinginkan tanpa perlu meminta kepada ibu. Maklumlah usia remaja, semuanya saya mahu,” katanya sambil tersenyum.

Menurutnya, apabila usianya memasuki 18 tahun, dia mula serius mencari perniagaan yang sesuai untuk diusahakan.

“Saya kemudian memilih cabang perniagaan kesihatan dan kecantikan dengan menjadi ejen dan dropship pelbagai jenama. Untuk permulaan, saya berjaya membuat jualan RM20,000 dalam tempoh sebulan.

“Bayangkan begitu terujanya saya ketika itu dan setahun kemudian saya fokus kepada satu jenama saja. Selepas mengumpul pengalaman menjual pelbagai jenama, saya akhirnya memberanikan diri mencipta jenama saya sendiri iaitu Befit Radiance Sdn Bhd dan produk DEMI Green Coffee pada usia 20 tahun,” ujarnya.

Muhammad Hakem berkata, dia bersyukur kerana hasil usahanya membuahkan hasil dan kini dia mempunyai 25 kakitangan yang bernaung di bawah syarikatnya.


BERSAMA kakitangannya.

“Siapa kata mudah untuk berada pada tahap ini, tentu saja cabarannya besar terutama berkaitan usia. Bayangkan ketika saya menjalankan temu duga untuk mengambil pekerja dan hampir semua yang datang lebih berusia daripada saya.

“Susah untuk saya mendapatkan pekerja ketika itu namun syukur, semuanya dipermudahkan dan kini saya memiliki 25 pekerja yang amat berdedikasi, membantu dan menyokong saya sepenuhnya,” katanya.

Tentangan ibu

Ditanya mengenai sokongan dan restu keluarga, anak muda ini jujur mengakui pada permulaan keluarganya tidak memberi sokongan untuk dia terbabit dalam perniagaan.

Menurutnya, dia juga bukan berasal daripada latar belakang keluarga yang terbabit dalam perniagaan menyebabkan semuanya menjadi semakin sukar.

“Ibu tidak suka saya berniaga ketika itu kerana dia bimbangkan saya tidak memberi tumpuan kepada pelajaran. Disebabkan itu, saya memilih berniaga secara senyap-senyap tanpa pengetahuan ibu. Bukan berniat untuk berbohong tetapi saya tidak mahu membuat dia sedih,” katanya.

Muhammad Hakem berkata, disebabkan itu juga, dia tidak lalai dalam pelajaran dan berjaya menghabiskan pengajian diplomanya awal tahun ini.

“Syukur, lama-kelamaan ibu dapat menerima apa yang saya lakukan. Kini ibu dan isteri banyak memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada saya.

“Saya faham mengapa dia tidak menyokong saya dulu, semua ini disebabkan dia bimbang saya tidak berjaya dalam pelajaran dan perniagaan,” ujarnya.

Katanya, selain itu, dia juga tidak terlepas daripada menerima dugaan dalam perniagaan apabila jualan produk mula jatuh menjunam.

“Daripada itu, saya mula belajar untuk tidak mudah selesa kerana bidang ini ada pasang surutnya.

“Saya kemudian memperbanyakkan ilmu dengan menyertai pelbagai kelas perniagaan termasuk yang dijalankan individu yang saya kagum dan banyak membantu iaitu Mohd Suhaimi Umar. Saya betulkan niat berniaga, selain mencari rezeki saya mahu membantu individu lain untuk mendapat pekerjaan. Syukur, hasrat itu sedikit demi sedikit dapat dicapai kini,” katanya.


BERSAMA Mohd Suhaimi, individu yang banyak membantunya dalam perniagaan.

Menurutnya, dia juga menyasarkan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang jualan kepada masyarakat terutama wanita dan ibu tunggal.

“Saya juga akan berusaha menambah pekerja pada tahun depan untuk memastikan empayar perniagaan ini semakin berkembang.

“Bagi saya, untuk berjaya ini tidak mudah disangka. Perlu lalui bermacam-macam dugaan yang tidak disangka, rahsianya mudah iaitu tidak boleh putus asa dan bijak mencari ruang dan peluang,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 12:20 PM