IBU bapa perlu bijak cari masa untuk menangani rasa bosan anak.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Tidak dapat dinafikan ibu bapa era kini kebanyakannya sibuk dengan tuntutan tugasan di pejabat hingga ada yang terpaksa pulang ke rumah lewat malam.

Walaupun mempunyai pembantu di rumah yang ditugaskan menjaga anak-anak namun ternyata ia tidak sama dengan sentuhan serta kasih sayang yang diberikan ibu bapa.

Mungkin ada yang memberi alasan tugasan di pejabat itu perlu diselesaikan demi kelangsungan hidup terutama dalam kos sara hidup kini yang semakin mencabar.

Hakikatnya, cabaran itu memerlukan setiap ibu bapa bijak dalam menyusun jadual harian demi memastikan anak-anak tidak menjadi mangsa terutama membabitkan emosi.

Lebih menyedihkan apabila ada di antara anak yang merungut kebosanan disebabkan kesibukan ibu bapa yang sering pulang lewat dari pejabat.

Mengupas isu ini, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak, Haz­hari Ismail berkata, setiap ibu bapa tentu saja terkesan apabila si anak merungut kebosanan.

“Rata-rata ibu bapa kini tidak dapat mengelak daripada tuntutan tugasan di pejabat hingga kadang kala masa untuk diluangkan bersama anak-anak berkurangan.

“Anak-anak mengadu bosan dan apakah tindakan kita sebagai ibu bapa? Adakah perkara itu dilihat sebagai satu perkara yang menyedihkan tanpa melakukan sebarang tindakan?” katanya.

Hazhari berkata, walaupun situasi itu menyedihkan, sebaiknya ibu bapa perlu berusaha mengambil peluang dalam menanganinya.

“Peluang yang bagaimana? Adakah dengan memberi gajet kepada mereka mampu menyelesaikan masalah dengan pantas? Hakikatnya ia adalah langkah mudah yang tidak dapat membantu bahkan mungkin akan mengundang pelbagai risiko yang tidak diingini.

“Tolong ketepikan gajet dan jangan asyik menggunakannya sebagai penyelesaian dalam menghilangkan kebosanan anak-anak. Antara inisiatif bijak adalah sediakan sebarang alat permainan atau aktiviti bersesuaian terutama yang digemari anak-anak. Pilih aktiviti yang memerlukan mereka mengolah, merangsang pemikiran dan bekerja dalam kumpulan,” ujarnya.

Menurutnya, alat permainan itu tidak perlu dibeli dengan harga yang mahal atau terlalu berjenama kerana ia tidak menjamin keseronokan.

“Cuba ingat kembali zaman kanak-kanak kita dulu, kusyen di rumah juga boleh dijadikan khemah atau istana dan aktiviti itu memberikan kegembiraan luar biasa. Ya, bermain dengan kusyen juga boleh merangsang pemikiran anak untuk membina rumah mengikut kreativiti mereka. Ibu bapa juga boleh bermain bersama dan mencipta masa berharga dengan anak-anak.

“Ibu bapa perlu faham, semua anak perlukan kasih sayang, ruang dan masa terutama untuk bersama dengan ibu bapa. Ketika kita mahu menjauhkan anak daripada gajet, kita juga perlu berkorban dengan mengenepikan seketika telefon pintar, kerja, media sosial dan rakan maya. Beri tumpuan sepenuhnya kepada anak untuk merangsang minda dan minatnya,” katanya.


HAZHARI

Jangan merencatkan perkembangan anak

Menurut Hazhari, apabila anak bosan, kebiasaannya mereka akan meneroka, mencuba atau mencipta apa saja perkara yang menyeronokkan.

“Kanak-kanak memang mempunyai sifat ingin tahu, mencuba, suka bermain, minat dan yakin dengan semua perkara dan sebaiknya, ibu bapa jangan merencatkan perkembangan itu.

“Sekiranya anak tidak mempunyai idea untuk mencari permainan yang menyeronokkan, kita sebagai ibu bapa perlu mencipta perkara yang boleh mencabar anak berfikir atau meningkatkan tahap imaginasi. Cuba kenangkan permainan semasa kita kecil dulu, ada banyak yang boleh diperkenalkan kepada anak anda. Ada banyak jenis permainan sewaktu kita kecil dulu yang boleh merangsang koordinasi mata dan tangan, meningkatkan daya tumpuan dan imaginasi,” katanya.

Hazhari berkata, imaginasi itu penting supaya dapat menilai tahap kreativiti anak. Carilah aktiviti yang memerlukan anak banyak bergerak dan membuat perancangan untuk menang, bukan aktiviti statik yang tidak mencabar pemikiran.

“Ada satu kajian berskala besar dari Kanada dan Amerika Syarikat yang mengkaji kesan menonton televisyen terhadap imaginasi kanak-kanak dan hasilnya mendapati televisyen mengurangkan kapasiti anak untuk berimaginasi.

“Mereka tidak boleh berfikir secara menyeluruh atau mengembangkan pemikiran kerana kreativiti untuk berimaginasi terbatas. Semuanya terhidang di depan mata (kerana kreativiti itu sudah difikirkan oleh pengarah filem atau rancangan). Anak menjadi takut untuk mencuba dan asyik membayangkan apa yang ditonton di televisyen, apatah lagi selepas ‘menikmati’ kisah seram. Kesan yang sama juga boleh menular apabila televisyen itu ditukarkan kepada gajet yang lain,” ujarnya.

Tambahnya, menyentuh kembali mengenai kebosanan anak-anak, sering dilihat golongan itu akan mula mencapai pen dan kertas untuk melukis sekiranya si anak itu gemar serta pandai melukis.

“Hakikatnya, rangsang anak-anak untuk melakukan apa saja yang diminati terutama ketika mereka bosan kerana dalam masa sama otak dan kebijaksanaan anak dapat dipelbagaikan.

“Jika ibu bapa ternampak anak sering termenung sebenarnya mereka sedang berfikir. Beri mereka ruang untuk ‘meneroka’ dan memanfaatkan waktu itu. Jangan terlalu memaksa dengan menyuruh anak menulis atau membaca tanpa henti terutama apabila mereka mengadu berasa bosan,” katanya.

Mulai sekarang anda sudah boleh menyenaraikan permainan ketika kecil dulu untuk diperkenalkan semula kepada mereka. Jadi, apabila anak anda mula menunjukkan wajah bosan, segeralah keluarkan senarai berkenaan dan minta mereka memilih permainan mana yang hendak dicuba. Namun paling penting, anda mesti turut serta kerana anda lebih ‘pakar’ dalam permainan berkenaan dan boleh membimbing mereka untuk berfikir lebih kreatif dalam mencari kemenangan dan mencipta kenangan!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 2:45 PM