KUBIS mekar jadi hiasan rumah.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Mekar tanaman kubis di halaman rumah wanita ini tentu menambat hati sesiapa saja yang memandang. Bayangkan, tanaman indah dan subur lazimnya dilihat menghijau di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands.

Tetapi, Norhayati Ismail, 40, membuktikan usaha dan penjagaan baik membolehkan tanaman itu hidup subur di pekarangan rumahnya. Lebih menarik, kubis yang kembang mekar bak kelopak mawar ini dijadikan hiasan sementara.

Menurut wanita asal Maran, Pahang ini, berkebun di laman sudah menjadi sebahagian daripada hobinya sejak dulu memandangkan diri bergelar suri rumah sepenuh masa.

“Selain mengemas, memasak dan menguruskan keperluan rumah, tugas harian saya hanyalah mengambil serta menghantar anak ke sekolah. Banyak masa terluang yang boleh diisi.

“Jadi, setiap kali selepas pulang dari menghantar anak, saya menghabiskan masa di kebun tepi rumah. Saya akan pastikan tanaman sayur, bunga dan herba dalam keadaan baik.

“Menyiram dan membaja pula bagaikan rutin wajib. Selain berkebun, ada waktunya saya curi masa menyertai anak bersukan, bermain badminton dan berjoging,” katanya.

NORHAYATI bersama hasil tanaman bunga di halaman rumahnya.

Jelas Norhayati, minatnya pada tanaman memang diwarisi daripada keluarga memandangkan dia sudah terbiasa melihat ayahnya bercucuk tanam dan berkebun sejak kecil.

“Ayah memang suka bercucuk tanam. Kalau diperhatikan, sekeliling rumahnya memang penuh dengan tanaman. Sebab itulah saya terikut-ikut apa yang ayah suka buat di masa lapang.

“Kebetulan anak dan suami juga mempunyai minat yang sama. Mereka suka ikut berkebun jika kena pada waktunya. Tambahan pula rumah yang kami duduki jenis berkembar dua, jadi adalah ruang untuk bercucuk tanam,” katanya.

Tular di media sosial baru-baru ini, rupanya Norhayati bukan sekadar menanam kubis. Halaman rumahnya begitu ceria dengan warna-warni bunga yang bergantungan di sisi kediaman.

TERSUSUN bersih.

“Saya terlalu meminati tanaman bunga dan sayuran. Setakat ini hampir semua cubaan berhasil. Ada kubis, sawi, lada, tanaman herba dan banyak lagi sayuran lain. Kalau boleh, saya mahu pastikan halaman rumah sentiasa penuh dengan tanaman.

“Apa yang seronoknya, berkebun juga menambah kenalan. Daripada sekadar berkongsi gambar, kami juga bertukar pendapat dan hasil tanaman. Apabila tanaman menjadi, itulah saat paling mengujakan. Memang puas hati. Paling penting, semakin bertambahlah kerajinan untuk menanam,” katanya.

Melengkapkan suasana taman mini, Norhayati memilih burung sebagai binatang peliharaan. Mendengar kicau burung yang sering singgah di halaman katanya, suasana sunyi saat berkebun lebih terisi, terutama pada sebelah pagi.

“Saya percaya berkebun banyak manfaat untuk wanita khususnya suri rumah. Di samping membantu wanita mengurus tekanan, berkebun juga menjimatkan perbelanjaan dapur. Paling utama, sayur yang ditanam sendiri bebas racun dan boleh dimakan tanpa was-was,” katanya.

TANAMAN sampingan buat menampung keperluan dapur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 2:09 PM