ROPOL kembang pada bahu tonjol elemen hidupan laut.
BIRU lembut serlah elemen romantis.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Pesona rekaan busana eksklusif Amelia Hassan tidak pernah menghampakan pengikut fesyen tanah air. Pilihan tema dan fabrik yang tepat, sarat dengan perincian berat, batu berkilau, manik, labuci serta potongan renda, semua ciri berkenaan terlalu sinonim dengan karya wanita elegan ini.

Malah, jika diteliti sejak dulu, rekaan Amelia memang tidak pernah lari daripada ciri glamor. Busana rekaannya sentiasa mempunyai kuasa magis yang sekelip mata mengubah penampilan pemakai.

Tahun ini, Amelia sekali lagi bereksperimen dengan konsep unik. Wanita ini menterjemahkan keindahan laut biru mengasyikkan, alunan ombak memecah pantai bersama kehidupan marin di dasar lautan.

Biarpun sarat perincian batu, renda dan bulu pelepah, rekaannya masih tampak ringkas, elegan dan menawan. Nampak jelas wanita ini semakin bijak menumpahkan karyanya.

Kata Amelia, beliau memilih konsep The Shape of Water kerana terinspirasi dengan keunikan tajuk filem yang memenangi Oscar di Academy Awards 2018 lalu.


TEKNIK lipatan beri sentuhan unik pada rekaan.

“Ketika di peringkat perancangan, saya memang mahu mengetengahkan rekaan baru dan segar. Namun pada masa sama, saya juga mahu menyelitkan elemen kesedaran alam sekitar dalam kalangan pengikut fesyen, khususnya pengunjung Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2018.

“Saya mahu setiap individu menghargai keindahan lautan, yang kini berdepan ancaman pencemaran plastik, pembuangan minyak, ekosistem hidupan marin yang terjejas dan banyak lagi. Semua ciri ini diperlihatkan dalam setiap helaian busana, tidak kira dari sudut nilai, rekaan mahupun perincian.

“Umpamanya, garis pantai, dasar lautan dan terumbu karang. Semua sudut ini diperlihatkan menerusi spektrum warna yang menggambarkan keindahan pantai, ombak, sehingga hidupan di lautan dalam,” katanya.


PERINCIAN batu pada bahagian pinggang dan leher serlahkan gaya mewah.

Tatkala koleksi busana ini digayakan di pentas KLFW 2018, ramai yang melempar pujian. Susunan ropol biru lembut beralun indah menonjolkan deruan ombak yang mara terus menghala ke pantai.

Fabrik broked biru gelap dengan motif cetakan ringkasnya pula menyampaikan mesej hidupan dari dasar laut. Percikan kristal dan manik menampakkan kemilau laut biru saat di simbah matahari, manakala bulu pelepah pula mengingatkan pada burung yang melewati permukaan pantai.


PERINCIAN batu pada bahagian pinggang dan leher serlahkan gaya mewah.

“Nah, inilah biru yang menggantikan merah jambu. Koleksi ini menampilkan elemen romantis dan feminin buat pemakainya. Ia umpama pelengkap untuk wanita menyempurnakan penampilan mereka.

“Lihat saja bagaimana pemakai tampil menawan dengan gelombang ropol indah, kesan siluet mewah dan teknik lipatan misteri. Ia bukan sekadar busana mewah yang unik malah mengangkat keanggunan semula jadi wanita,” katanya.


SUSUNAN ropol sarat digandingkan bersama bulu pelepah pada bahu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 12:00 PM