ROSMAWATI menunjukkan antara sayuran herba yang ditanam di sekitar kawasan rumahnya. FOTO/EMAIL
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

MELIHAT hasil tanaman yang diusahakan wanita ini, sememangnya memerlukan kerajinan yang tinggi. Mana tidaknya berkebun juga perlukan minat. Jika tidak mana mungkin seseorang itu dapat meluangkan masa menjaga sayur-sayuran supaya hidup subur.

Menyiram pagi dan petang, menggemburkan tanah, membuang ulat serta menyentuh dan berbual antara aktiviti yang perlu dilakukan jika tidak mahu tanaman ‘merajuk’ atau terbantut tumbesarannya.

Ini yang dilakukan Rosmawati Rashid setiap hari tanpa jemu apabila dia menjenguk kebun sekangkang kera di belakang rumahnya.

Dia bukan saja melihat hasil tanaman seperti kunyit, lengkuas, serai, halia dan sayuran seperti bendi, cili, terung, kucai dan pegaga, tetapi memastikan kerja penyuburan dilakukan mengikut cara betul.

Menceritakan bagaimana tertarik untuk berkebun, menurut Rosmawati, dia mewarisi hobi ibunya yang turut gemar bercucuk tanam.

“Di kampung pelbagai sayuran diusahakan ibu. Orang kata tangan ibu ‘sejuk’ sebab itu campak apa saja pasti dua tiga hari akan kelihatan anak benih dan lama-kelamaan anak pokok membesar dengan jayanya.

“Saya seronok melihat ibu yang tidak perlu membeli sayuran di pasar. Petik saja di belakang rumah. Selain menjimatkan ia sangat menyihatkan. Ini memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara sama,” jelasnya yang menetap di Shah Alam.

Tinggal dalam kawasan rumah teres dua tingkat dengan halaman luas memberi peluang kepada wanita ini memulakan aktiviti penanaman.

“Mula-mula saya tanam kunyit, lengkuas, serai, halia, pandan, kesum dan pokok kari di dalam pasu. Semua peralatan seperti pasu, tanah dan baja saya minta suami dapatkan di nurseri berhampiran manakala benih pokok saya ambil di kampung.

“Pengalaman melihat ibu menanam biji benih membolehkan saya melakukan sendiri. Cuma saya akan pastikan jenis tanah dan kedalaman biji benih itu diletakkan kerana ia sangat mempengaruhi kesuburan ,” katanya.

Mengelak tanaman dijangkiti serangga setiap hari dia memerhatikan dedaun supaya tidak diserang ulat dan siput. Sambil itu meletakkan baja organik seperti air basuhan ikan dan beras, serbuk kopi atau teh yang terbukti sangat bagus bagi memastikan pokok membesar dengan sihat.

“Saya turut membeli baja organik najis kambing di nurseri yang digunakan pada setiap minggu. Kesannya selain tumbuhan subur menghijau baja organik, ia memastikan sayuran bebas bahan kimia dan boleh dimakan tanpa was-was,” katanya yang kini mempunyai lebih 20 jenis tanaman termasuk pokok buah-buahan.

Menurut Rosmawati, antara semuanya sayuran herba paling mudah dijaga. Ini kerana ia tahan panas dan tidak memerlukan banyak air terutama bagi jenis berubi.

Berbeza dengan sayuran hijau kerana memerlukan penjagaan rapi, perlu dibaja dan disiram. Ulat juga gemar makan dedaun hijau sebab itu perlunya sentuhan dan belaian penjaganya.

Mendapat sokongan suami yang membantu mendapatkan peralatan, biji benih dan membina ruang khas tanaman, malah dia turut ringan tulang membantu menyiram pokok jika ada kelapangan bersama anak-anak.

“Pada masa sama ini masa mengajar si kecil mengenai tumbuhan dan mengapa perlu bercucuk tanam untuk menjaga alam sekitar,” katanya.

Sebagai suri rumah, Rosmawati mengakui adalah sangat berbaloi apabila memiliki kebun dapur sendiri. Ia menjimatkan kos. Ini kerana kebiasaannya tumbuhan herba digunakan dalam kuantiti sedikit, tetapi jika dibeli di kedai perlu diambil dalam jumlah banyak.

“Akibatnya tumbuhan ini layu dan kering di dalam peti sejuk. Berbeza jika tanam sendiri bila-bila masa saja cuma petik saja di belakang rumah. Berkebun juga boleh menenangkan fikiran dan tekanan.

“Melihat tumbuhan hijau adalah terapi paling berkesan untuk merehatkan fikiran selepas melakukan kerja rumah,” katanya yang turut menanam bunga-bungaan dan beberapa jenis buah sekadar menceriakan halaman rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 11:06 AM