BAJU kurung peplum disertakan zip untuk penyusuan dan mesra wuduk.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Bagi penggemar baju kurung pastinya mempunyai pilihan sendiri sama ada menggayakan baju kurung polos atau bercorak untuk menghadiri acara. Namun kedua-duanya tiada masalah untuk disesuaikan dengan selendang pilihan cuma perlu memilih rona sesuai berdasarkan warna baju.

Tidak seperti jubah dan gaun labuh yang berubah mengikut peredaran masa, baju kurung sentiasa kekal dan diminati ramai cuma perlu mengikut warna, corak dan juga diberikan nafas baru menerusi potongan lebih singkat.

Bagi jenama By Fatin Suhana (BFS) jika sebelum ini padanan jubah dan gaun labuh diberikan perhatian disebabkan permintaan tinggi pelanggan tetapi pada tahun ini BFS mengetengahkan rekaan kurung bercorak yang didatangkan dalam 45 rekaan.


BAJU kurung moden dengan rekaan lengan ala kelawar.

Menurut pengasas jenama ini Che Wan Fatin Suhana Che Wan Khalid, 29, dia terpanggil untuk memperkenalkan rekaan kurung bercorak disebabkan ramai dalam kalangan pelanggan bertanyakan mengenai busana bercetak sama ada berbunga atau abstrak.

“Mengambil kira keinginan pelanggan lantas saya mencari material sesuai iaitu sifon, satin dan kapas berkualiti yang didatangkan dalam pelbagai corak menawan,” katanya.

Selain kurung mini dipadankan kain berbentuk pensel, Fatin turut menghasilkan rekaan peplum yang masih mendapat tempat dalam kalangan wanita berkerjaya. Istimewanya setiap padanan dihasilkan agak labuh bagi menutupi bahagian pinggul dan mempunyai zip untuk memudahkan penyusuan bayi serta dipadankan dengan kain kembang payung.

Bagi fabrik sifon pula dilapisi alas dalam bagi memudahkan pelanggan memakainya. Mereka tidak perlu bimbang kain jarang atau menampakkan susuk tubuh.


BAJU kurung polos yang masih mendapat perhatian.

“Sebagai pereka kami sangat mementingkan kualiti dan sentiasa memastikan setiap busana patuh syariah. Setiap baju dihasilkan labuh, longgar dan mempunyai zip di bahagian lengan bagi memudahkan berwuduk,” katanya.

Bermula September lalu setiap minggu 10 rekaan baru baju kurung akan dikeluarkan sama ada menerusi laman sesawang dan juga di butik fizikal yang terletak di Shah Alam dan Bangi. Pengeluaran ini memastikan pelanggan setia mampu mendapatkan corak berbeza sama ada untuk acara kasual atau ke pejabat.

Selain kurung, BFS turut terkenal dalam penghasilan jubah dengan rekaan ringkas, jubah berkardigan dan jubah kelawar. Pelanggan yang sudah mengikuti jenama ini sejak penubuhannya pada 2013, mengakui kualiti ditampilkan terutama potongannya yang mengikut bentuk tubuh, kemas serta selesa digayakan. Setiap padanan ditawarkan pada harga bermula RM189 sehingga RM249.


CORAK abstrak sentiasa menjadi pilihan.

Panduan memilih baju bercorak

1. Pilih warna tudung seakan sama corak baju.

2. Corak bunga kecil sesuai bagi mereka yang ingin kelihatan lebih kecil daripada saiz sebenar.

3. Warna gelap mampu memberikan ilusi langsing kepada pemakai.

4. Pilihan tudung polos atau kosong adalah gaya selamat jika baju dikenakan sarat bercorak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 6:15 AM