ENAK dijadikan juadah minum petang bersama secawan kopi.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Warnanya yang ceria memang memikat. Rupanya comel, seakan-akan biskut sandwic berinti krim manis. Meskipun berukuran mini namun harga sebiji macaroon yang dijual di pasaran sangat mahal. Biarpun bahan digunakan mudah diperoleh iaitu putih telur, serbuk badam, gula pasir dan gula halus saja, namun menghasilkannya sangat renyah.

Menurut Cef Pastri Ennobel Edwin Chan, meskipun teknik membuat macaroon kelihatan mudah namun ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan bentuk dan ukurannya konsisten.

“Bahagian atas macaroon perlu bulat dan mulus manakala bawahnya bertekstur kasar. Untuk memastikan meringue dihasilkan sempurna, adunan harus dibuat di dalam bilik berhawa dingin,” katanya.

Selain itu, pemilihan bahan berkualiti juga sangat penting bagi mendapatkan rasa yang enak. Selepas macaroon dibentuk, sebaiknya biarkan ia kering terlebih dulu sekitar satu jam supaya bentuknya mulus dan kukuh. Pastikan suhu ketuhar sekitar 150 darjah Celsius selama 10 hingga 15 minit saja. Suhu yang terlalu panas membuatkan permukaan macaroon retak.

“Selepas macaroon matang, keluarkan daripada ketuhar, biarkan sebentar sehingga suhunya stabil. Kemudian baru anda boleh menambahkan inti dan menyatukan kedua-dua bahagian macaroon menjadi seperti sandwic,” katanya.

Bahan-bahan

• 100 gram putih telur

• 50 gram gula pasir

• 200 gram gula halus

• 120 gram badam

• Sedikit pewarna makanan

Cara membuatnya:


1. MASUKKAN putih telur dalam mangkuk pengadun dan putar sehingga berbuih.

2. TAMBAHKAN gula pasir sedikit demi sedikit (buat sebanyak tiga kali) sambil diputar sehingga adunan berkilat menjadi meringue.

3. PASTIKAN meringue benar-benar pekat dan kukuh. Sekiranya mangkuk diterbalikkan, adunan tidak terjatuh.

4. MASUKKAN adunan dalam beg paiping. Paipkan ke atas dulang yang sudah dialas kertas pelapik kek. Untuk mendapatkan bentuk yang cantik, pegang beg paiping dalam keadaan menegak. Jangan disengetkan kerana menyebabkan macaroon tidak rata atau bulat. Jarakkan setiap adunan. Pegang hujung dulang dan hentakkan ke meja untuk membentuk dan meratakan permukaan macaroon. Biarkan macaroon kering dalam masa 60 hingga 90 minit.

5. PANASKAN ketuhar dan bakar macaroon pada suhu 160 darjah Celsius selama 10 hingga 15 minit. Keluarkan dan pusingkan dulang kemudian bakar lagi selama lima hingga lapan minit supaya macaroon masak sama rata.

6. SELEPAS masak, keluarkan daripada ketuhar dan biarkan sejuk sebelum diletakkan inti di dalamnya. Satukan kedua-dua bahagian macaroon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 2:25 PM