ROSIDAH bersama tiga anaknya.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

“Selalu orang tulis yang baik-baik saja di FB (Facebook)...(kali ini) Kak Dah nak kongsi realiti dihidapi pesakit anxiety disorder (gangguan kebimbangan), obsessive compulsive disorder (gangguan obsesif kompulsif) atau penyakit mental. Kak Dah selalu pukul anak-anak. Selalu benci pada seseorang. Sangat teruk sebenarnya.

“Kak Dah selalu menangis sendirian, rasa tak disayangi sesiapa. Kak Dah penat. Benci suami. Sikit-sikit benci. Benci dengan diri sendiri. Benci dengan hidup. Kak Dah rasa nak tinggal semua. Nak bawa diri sendiri.”

Luahan spontan Rosidah Yusoff, 36, itu dikongsi hampir 700 pengikut laman Facebook miliknya, Ogos lalu. Kata ibu kepada lima anak ini, dia langsung tidak memikirkan soal tular

atau tidak, sebaliknya nekad mahu berkongsi pengalaman dilalui sepanjang lima tahun terperangkap dalam tekanan perasaan.

“Kisah hitam ini bermula sejak 2012. Ketika itu saya masih bekerja sebagai jurutera dan tinggal berjauhan dengan suami. Anak-anak pula semua bersama saya sejak mengandung sehingga melahirkan. Hanya selepas berasa bibit tekanan, barulah dua anak lagi dijaga suami,” katanya.

Menurut Rosidah, gangguan panik pertama dialami kira-kira jam 2 pagi, ketika dia bangun untuk mengerjakan solat dan menyambung tugas membersih dan mengemas rumah.

“Kalau mengikut rutin, setiap Jumaat suami akan pulang ke rumah sewa kami di Johor. Memandangkan jadual padat sepanjang minggu, saya akan berjaga pada setiap hari Jumaat untuk mengemas rumah. Hari itu, kaki dan tangan saya tiba-tiba sejuk, sesak nafas serta sakit kepala yang teramat. Puas saya cuba bertenang, tetapi memang langsung tidak mampu bernafas seperti biasa. Tubuh jadi kaku, seluruh anggota tak dapat bergerak. Saya hanya rasa seperti hendak mati.

“Suami yang lena berdekatan langsung tidak sedar kerana tertidur sebaik tiba dari Kuala Lumpur. Mujur selepas beberapa ketika, saya akhirnya berjaya keluar daripada gangguan dan perasaan lemas,” katanya.

Sepanjang malam itu kata Rosidah, dia tertanya-tanya apa yang berlaku kepada dirinya. Pelbagai teori mula singgah dalam benak wanita ini sebelum dia akhirnya membuat keputusan berjumpa doktor pada keesokan hari.

“Ketika berjumpa doktor, saya jelaskan semua yang berlaku. Saya ceritakan rutin harian, beban kerja dan perkara sampingan yang dirasakan relevan untuk dikaitkan dengan keadaan pada malam sebelumnya.

“Selepas meneliti fizikal, kesan emosi dan situasi, saya didiagnos menghidap gangguan panik disebabkan tekanan yang melampau. Memang saya akui tertekan disebabkan penat yang tidak berkesudahan.

“Kemudian, doktor menulis surat bersama butir penjelasan berkaitan. Katanya, saya perlu dirujuk ke pakar psikiatri. Tanpa berfikir panjang, saya menolak usul doktor dengan alasan sihat dan mengalami gangguan itu sekali saja,” katanya.

Jelas Rosidah, sukar untuk dia menerima kenyataan apabila masalahnya dirujuk ke pakar jiwa sedangkan dia tidak gila. Berkali-kali dia menegaskan bahawa dirinya masih waras, sihat dan tidak gila.

“Saya percaya, sesiapapun di tempat saya ketika itu memberi reaksi serupa. Saya hanya penat dan mengalami sakit badan, tetapi doktor mengatakan saya perlu khidmat psikiatri. Semua yang diberitahu doktor jadi serba tidak kena. Saya tanya lagi pada diri, kenapa mesti rujuk pakar psikiatri sedangkan saya tidak gila. Saya juga tidak berhalusinasi.

“Dalam situasi itu, doktor sempat menjelaskan bahawa berjumpa pakar psikiatri bukan untuk orang gila saja. Tapi bagi saya, pakar psikiatri adalah pakar sakit jiwa. Jadi, saya tidak pergi. Saya tak boleh terima hakikat dirujuk ke sana. Saya tidak percaya gangguan panik itu adalah sebahagian daripada penyakit mental.

Salahkan penyakit

“Kebetulan saya ada masalah gastrik, angin, alahan, resdung dan ekzema. Jadi saya salahkan penyakit fizikal itu yang membuatkan badan kian lesu dan emosi mudah terganggu. Lebih memburukkan keadaan, rumah sewa juga kerap menjadi sasaran gangguan makhluk halus. Kadangkala terdengar bunyi guli bergolek, orang menarik kerusi dan menebuk dinding. Saya lebih percaya gangguan mistik kerana ia memang kerap mengganggu saya sejak belum dikesan mengalami gangguan panik lagi,” katanya.

Insiden dirujuk ke pakar psikiatri meninggalkan kesan luar biasa buat Rosidah. Berikutan enggan dilabel gila, meroyan, sakit jiwa dan sebagainya, wanita ini mencari alasan untuk terus bersandar pada rasa percaya dirinya.


ROSIDAH.

“Banyak kesilapan saya letak pada gangguan jin dan makhluk halus. Memandangkan saya tinggal bersama anak, ada waktunya saya terpaksa keraskan hati. Saya cuba kuatkan semangat apabila terlihat kelibat, terdengar bunyi aneh dan sebagainya.

“Saya cuba buat tidak tahu, tetapi pada masa sama, saya semakin mempercayai perkara mistik. Saya jumpa individu mengaku ustaz, mula berubat kampung dan merujuk masalah pada bomoh. Ada yang kata saya terkena gangguan jin, ilmu pemisah suami isteri dan sebagainya. Tapi saya percaya (sebak).

“Mungkin kerana itu adalah kali pertama saya berdepan situasi sukar, jadi apabila bomoh cakap ada sakit di sini, sana, saya rasa dia betul sebab telahan dibuat memang tepat. Sedangkan orang begini, memang diketahui ada pendamping, tetapi saya percaya. Saya langsung tidak berjumpa pakar psikiatri. Kalau ke klinik sekalipun hanya untuk mengambil ubat dan merawat demam batuk saja,” katanya.

Dalam tempoh itu Rosidah berperang dengan perasaan sendiri. Hubungan dengan suami jadi tegang kerana dia tidak henti mengungkit itu dan ini. Hatinya sakit. Semua yang dilihat mendatangkan rasa benci, sakit hati dan marah.

Jawatan eksekutif yang disandang terpaksa ditinggalkan pada 2012 biarpun sudah 12 tahun menabur khidmat. Rosidah mengutuk dirinya tidak berguna. Masalah kewangan dan hamil anak keempat. Semuanya menyesakkan jiwa.

“Saya makin tertekan bila duduk di rumah. Saya fikir nak bekerja untuk mencari duit, tapi takut berhadapan dengan orang. Saya takut sesak nafas atau pengsan di mana-mana.

“Dua tahun selepas berhenti kerja, saya semakin sukar mengawal diri. Saya dera anak, pukul mereka. Semua saya buat tanpa sedar.

Takut jadi gila

“Saat Allah SWT menghadirkan zuriat dalam rahim, saya merayu pada suami untuk bawa pergi berubat. Takut saya benar-benar gila. Gangguan panik datang tanpa mengenal masa. Kadang rasa hendak menjerit tiba-tiba. Saya pula kerap sakit kepala.

“Terlalu banyak perkara hitam singgah sepanjang saya tenggelam dalam tekanan. Sejak emak meninggal dunia, saya tiada tempat mengadu. Saya tidak luahkan pada sesiapa kerana tidak mahu orang tahu. Rupa-rupanya itulah yang memburukkan lagi keadaan,” katanya.


BANGKIT menjalani hidup positif.

Kata Rosidah, andai difikirkan semula hari ini, dia sedih. Betapa berdosa kerana mendekati syirik selama lima tahun terperangkap dalam tekanan mental yang tidak berpenghujung.

“Alhamdulillah, akhirnya Allah SWT buka jalan untuk saya pada Oktober tahun lalu. Saya mula terfikir untuk menjalani kehidupan normal dan memahami penyakit mental. Daripada pembacaan, saya sedar masalah mental juga berkait dengan pengambilan nutrisi tidak seimbang.

“Saya rujuk banyak kajian pemakanan daripada pakar dan doktor di luar negara. Saya baiki keperluan diri dan keluarga dan mula menjalani kehidupan lebih positif. Kebetulan perkongsian di Facebook sebelum ini tular, jadi ramai wanita tampil memberi sokongan. Ada juga yang mula bersikap terbuka dan berkongsi masalah sama. Sekurang-kurangnya, pengalaman yang ada ini mampu membantu orang lain supaya tidak tersungkur lama seperti saya,” katanya.

Bimbang melampau perlu dirawat

Rasa bimbang, takut atau fobia apabila menghadapi situasi cemas sememangnya dirasai sesiapa saja. Namun, jika perasaan ini diluahkan secara berlebihan dan berlanjutan dalam tempoh melebihi enam bulan ia bukanlah sesuatu yang normal. Anda mungkin mengalami gangguan kebimbangan atau keresahan (AD).

Menurut Pakar Psikiatrik Hospital Thomson, Dr Gurdeep Singh Narain Singh, dalam keadaan biasa kebimbangan perlu ada dalam diri setiap individu. Misalnya berlari apabila dikejar anjing dan takut apabila berseorangan adalah dua situasi normal yang biasa dialami semua orang. Tetapi sekiranya kebimbangan ini bersifat melampau, tidak sepadan dan perasaan yang keterlaluan sehingga berbulan-bulan lamanya, ia perlu dirawat.

AD dikatakan sebagai gangguan kebimbangan berlebihan yang berlaku secara kerap dan berpanjangan sehingga boleh mengganggu aktiviti seharian. Dalam bidang psikologi, AD boleh dibahagikan kepada dua iaitu gangguan panik dan kecelaruan keresahan umum.

“Simptom fizikal yang dapat dilihat pada mereka yang mengalami gangguan panik ini sangat ketara seperti sesak nafas dan jantung berdegup deras.

“Ini akan menjurus kepada sakit dada, tangan dan badan menggeletar. Rasa tercekik, berpeluh, loya dari dalam perut dan kepala pening seperti hendak pitam.

“Mereka yang mengalaminya akan tertanya-tanya adakah ia serangan jantung atau strok. Ini diikuti hilang kawalan, semakin cemas dan terasa seperti hendak mati,” kata Dr Gurdeep.

Tambahnya, jika semua simptom itu muncul serentak dan berlaku berterusan, orang itu cuba mengelak daripada berhadapan dengan objek atau mengelakkan daripada pergi ke tempat yang ditakutinya.

Tambahnya lagi, gangguan panik biasanya berlaku secara tiba-tiba dan kerap misalnya dua atau tiga kali seminggu. Apabila perasaan ini datang, mereka akan mengelak berhadapan orang ramai atau tidak mahu bekerja.

Individu yang melalui situasi ini perlu dibawa ke hospital (bahagian kecemasan) untuk menjalani pemeriksaan. Sekiranya kesihatan berada dalam keadaan baik dan tidak membabitkan masalah jantung, mereka dirujuk ke bahagian psikiatrik pemeriksaan lanjutan.

Reaksi kronik

Keadaan ini berbeza dengan kecelaruan keresahan umum yang boleh dikenal pasti apabila individu berasa bimbang kepada perkara kecil.

“Walaupun perkara yang difikirkan kelihatan remeh, namun reaksi ditunjukkan sangat kronik seperti resah gelisah, sukar tidur, kejang otot dan sukar membuat keputusan.

“Sekiranya ia semakin kerap, pesakit perlu berjumpa doktor. Jika dibiarkan ia boleh meningkatkan kecenderungan pesakit untuk mengambil alkohol atau ubat-ubatan tidak sepatutnya bagi meredakan perasaan,” katanya.

Pakar perubatan menyatakan, tiada punca tertentu yang boleh menyebabkan AD. Ia mungkin berkaitan kejadian trauma pada masa lalu, masalah kesihatan, penggunaan ubat-ubatan tertentu, keturunan dan juga tekanan yang berlarutan dalam tempoh lama. Ada juga mengklafikasikan AD sebagai penyakit otak dan tidak memerlukan sebab-musabab.

Gangguan kebimbangan ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi serius seperti kemurungan, insomnia, suka menyendiri, sehingga paling teruk tercetus keinginan membunuh diri.

Ada beberapa pilihan rawatan yang boleh diberi kepada pesakit AD iaitu menerusi ubat-ubatan, psikoterapi dan terapi kognitif bersama rundingan dengan ahli keluarga bagi mencari penyelesaian.


DR Gurdeep Singh.

“Disebabkan bahan kimia yang mengawal fungsi otak seperti serotonin, dopamin dan norepinefrin berada pada tahap tidak normal, ubat-ubatan yang diberi mampu menstabilkan semula, seterusnya kembali ke paras normal,” katanya.

Untuk rawatan terapi kognitif pesakit akan diajar teknik bertenang menerusi pernafasan, meditasi (zikir untuk orang Islam) dan merehatkan otot. Cara ini boleh mengawal dan mendapatkan keyakinan semula.

“Untuk tindakan segera mereka boleh menonton di YouTube mengenai teknik pernafasan dan juga latihan bertenang bagi meredakan ketakutan. Sokongan keluarga dan majikan sangat penting bagi mengurangkan kebimbangan dan fobia melampau. Ini kerana kebanyakan tekanan berpunca daripada tempat kerja yang mendorong kepada masalah AD,” katanya.

Bagi mereka yang sedang mengalaminya, Gurdeep menasihatkan supaya tidak mengambil ubat penenang secara sewenang-wenangnya. Ubat-ubatan sebegini hanya bertindak untuk sementara waktu. Mendapatkan nasihat doktor adalah cara terbaik sebagai permulaan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 4:32 PM