BERSAMA sijil pengiktirafan.
Mohammad Ishak
rencana@hmetro.com.my

Tidak ramai wanita terutama yang sudah berusia menceburi aktiviti lasak kerana ia memerlukan keyakinan dan ketabahan ketika menjalankan aktiviti di tempat berisiko tinggi dan berbahaya.

Selain keberanian dan kecekalan, kesediaan mengorbankan waktu terluang yang biasanya dimanfaatkan bersama keluarga khususnya anak-anak juga antara faktor penting. Tidak ramai yang menggunakan masa berehat dengan aktiviti yang memenatkan, apatah lagi jika terpaksa mengharung pelbagai kesusahan.

Zurawati Zulkifli, 40, dari Kampung Seberang Jertih, Terengganu, antara wanita yang mahu tampil dengan gaya hidup berbeza apabila dia memilih aktiviti lasak sebagai cara untuk berehat dan mencabar kemampuan diri.

Biarpun baru tiga tahun menceburi bidang berkenaan, dia sudah banyak melakukan aktiviti lasak sama ada anjuran pihak luar mahupun acara yang dirancang sendiri khusus untuk remaja.

Katanya, dia memilih untuk menyertai aktiviti lasak kerana bidang berkenaan jarang diterokai wanita terutama bagi mereka yang sudah melepasi alam remaja kerana masalah kesihatan, kekangan masa atau ketahanan diri.

Bagaimanapun, Zurawati yang berusia 40-an dan mempunyai enam anak tetap bangga kerana memilih aktiviti terbabit yang sudah menjadi sebahagian daripada agenda wajib hidupnya.


KETIKA menjalani latihan menyelam di Pulau Perhentian.

Beliau berkata, bermula dengan mengikuti kelas aerobik, dia kini melangkah lebih jauh apabila menyertai aktiviti lasak termasuk mendaki bukit dan gunung, snorkeling, meredah hutan, berkayak serta menyusuri sungai dan jeram kerana minat dan ingin mencari sesuatu yang mencabar.

Zurawati berkata, bermula sebagai peserta kursus, beliau kini mendapat pengiktirafan sebagai jurulatih sukan lasak selepas berjaya menamatkan pelbagai kursus anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 2016.

“Ketika mula-mula menyertai sukan lasak memang ada perasaan takut dan gentar terutama dalam aktiviti berbahaya tetapi selepas beberapa aktiviti, ia bertukar seronok,” katanya.

Katanya, ketika pendakian di Gunung Stong, Kelantan dirasakan antara yang mencabar kerana perlu bergantung kepada bantuan tali dan ia menjadi pengalaman manis apabila berjaya sampai ke puncak.

Katanya, paling membanggakan beliau antara enam peserta wanita bersama 20 lelaki berjaya melepasi rintangan memanjat bukit batu setinggi 200 meter menggunakan tali.

Pengalaman menyertai aktiviti lasak mendorong Zurawati menubuhkan kelab sendiri yang dikenali dengan nama Obest Event Management bertujuan melatih belia dan remaja mendampingi aktiviti lasak.

Katanya, selepas menyertai banyak sukan lasak, dia kini berjinak-jinak untuk menyertai latihan sukan paragliding yang jarang disertai wanita.

“Saya berharap akan menjadi wanita pertama di Terengganu yang mampu mengendalikan paragliding yang kini semakin digemari penduduk negeri ini,” katanya.


ZURAWATI menghadapi cabaran mendaki bukit berbatu menggunakan tali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 12:51 PM