GIGIH dalam setiap apa yang dilakukan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Lumrah kehidupan ada pasang surutnya juga suka duka tersendiri. Ada ketikanya kita berada di bawah namun tidak mustahil yang berada di bawah itu mampu menggapai kejayaan diimpikan.

Prinsip itu sentiasa dipegang wanita manis kelahiran Johor ini yang sedikit pun tidak malu berkongsi kisah jatuh bangunnya sebelum berada pada tahap sekarang.

Sentiasa mengikut resam padi, semakin berisi tunduk ke bumi menjadikan ibu kepada lima cahaya mata ini tidak meninggi diri walaupun berjaya menggapai apa yang diimpikan kini.

Ternyata perjalanan hidup Nurul Hasnita Taharim, 41, mampu dijadikan inspirasi kepada semua golongan terutama buat generasi muda yang mahu menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan utama.

Menurut Nurul Hasnita, sama seperti individu lain, dia amat terhutang budi kepada ibu bapa yang banyak berkorban dalam membesarkan mereka hingga berjaya ke menara gading.

“Saya anak sulung daripada enam beradik dan disebabkan itu rasa tanggungjawab itu amat besar pada diri ini. Saya tidak boleh duduk diam kerana selain ingin berjaya, saya juga mahu membahagiakan ibu bapa dengan pendapatan sendiri.

“Atas sebab itu, saya sering kali mengingatkan diri sendiri, saya perlu bekerja keras untuk mereka,” katanya memulakan bicara.

Nurul Hasnita berkata, selepas tamat pengajian di Universiti Malaya (UM), dia bersyukur kerana diterima bekerja di Putrajaya sebelum bertemu jodoh.

“Saya kemudian berhenti bekerja selepas melahirkan cahaya mata pertama dan bermulalah rutin harian sebagai suri rumah sepenuh masa ketika itu.

“Pada mulanya saya sangkakan semuanya seronok namun sebaliknya, ini bukan kerana wang semata-mata tetapi disebabkan saya sudah terbiasa bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, bermula daripada itu, dia mula runsing memikirkan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

“Suami mampu menyara saya dan anak tetapi saya tetap mahu bekerja untuk membahagiakan ayah. Bermula dari detik itu saya memikirkan pekerjaan yang sesuai dilakukan.

“Tanpa sebarang modal besar, saya mula menjual pelbagai jenis produk kecantikan atau pakaian secara dalam talian kerana selain mudah, ia juga sesuai dengan status saya sebagai suri rumah ketika itu,” katanya.

Katanya, berkat kesungguhan dan semangatnya, dia berjaya memperoleh kembali pendapatan bulanan atas titik peluh sendiri.

“Saya amat gembira, kerana dapat membeli apa saja yang diinginkan dan pada masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Saya mula mengikuti pelbagai kursus dan seminar perniagaan bagi menambah ilmu serta kemahiran diri,”ujarnya.

Berniaga, beramal

Berkat doa ibu bapa juga suami tercinta menjadikan Nurul Hasnita seorang wanita yang layak dikagumi kini. Dia kemudian memberanikan diri membuka spa kecantikan iaitu Spa Zaujah dan butik pakaian Pakaryta Exclusive di Johor Bahru, Johor.

“Tiada laluan mudah. Semuanya memerlukan perancangan rapi memandangkan cabang perniagaan yang saya ceburi ini terlalu banyak persaingannya.

“Disebabkan itu, saya dan suami sering berbincang untuk mencari kelainan serta keistimewaan perniagaan sendiri bagi membuatkan pelanggan tidak datang sekali saja,” katanya.

Atas sebab itu, wanita ini memilih untuk memfokuskan perniagaan butik pakaian berasaskan busana dan kelengkapan menunaikan haji serta umrah selain turut menjual busana serta tudung khusus untuk Muslimah.

“Walaupun ramai yang menawarkan khidmat ini, saya rasakan persaingan untuk busana jenis ini agak berkurangan berbanding fesyen lain. Malah pada masa sama, saya gembira dapat membantu individu yang sedang membuat persiapan untuk mengerjakan ibadat ke Tanah Suci.

“Syukur, semuanya dipermudahkan dan sambutan diterima juga memberangsangkan. Bagaimanapun, saya juga tidak boleh leka dalam menguruskan hal ehwal spa terutama bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan setiap rawatan kecantikan dijalankan,” ujarnya.


SUAMI menjadi tulang belakang kejayaannya.

Menurut Nurul Hasnita, selain komitmen dirinya, dia juga yakin bantuan diberikan setiap pekerjanya amat penting demi memastikan semua urusan perniagaan berjalan lancar.

“Disebabkan itu, saya jadikan pekerja sebagai rakan saya sendiri. Saya tidak mahu wujudkan jurang antara kami. Saya juga mahu mereka senang dan gembira setiap kali datang bekerja.

“Selain pekerja, saya juga berusaha membantu setiap ejen dan dropship untuk memperoleh pendapatan diinginkan melalui hasil jualan pakaian. Kebanyakan mereka adalah golongan suri rumah dan saya sendiri tahu bagaimana situasi mereka atas pengalaman diri sendiri,” katanya.

Mahu terus membantu

Selepas hampir 10 tahun bertapak dalam bidang perniagaan, pelbagai suka duka sudah ditempuhi sehingga dia berada pada tahap kini.

“Soal ditipu itu perkara biasa. Saya berdepan dengan pelbagai ragam dan sikap manusia terutama yang tidak jujur. Ada saja pihak yang mahu mengaut keuntungan dengan cara mudah sehingga sanggup melakukan taktik kotor.

“Namun semua itu tidak sedikit pun mematahkan semangat. Saya bersyukur dianugerahkan suami dan rakan karib yang banyak membantu terutama pada awal pembabitan saya dalam bidang ini,” katanya.

Nurul Hasnita berkata, dia juga bangga kerana berjaya membuktikan dengan usaha dan semangat sendiri, semuanya dapat dicapai.

“Walaupun kehidupan saya agak berubah kini terutama dari segi jadual harian namun saya sentiasa berusaha untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik.

“Seawal jam 6 pagi, saya mula menyiapkan keperluan anak-anak dan suami sebelum menghantar tiga anak ke Akademi Darul Huffaz manakala dua lagi anak diuruskan suami memandangkan sekolah mereka dekat dengan tempat kerja suami.

“Selesai menghantar anak-anak ke sekolah, saya akan pulang semula ke ­rumah menguruskan urusan rumah tangga sebelum pergi ke butik dan spa kira-kira jam 10.30 pagi,” katanya.

Menurutnya, disebabkan mempunyai komitmen yang tinggi pada keluarga, tugas di spa dan butik banyak dibantu kakitangannya.

“Saya bersyukur kerana mempunyai pekerja yang baik dan boleh dipercayai. Mereka banyak membantu urusan di pejabat dan semuanya berjalan dengan lancar.

“Saya bersyukur atas semua perkara termasuklah kes ditipu kerana ia menjadi pengajaran berguna dan mematangkan saya. Namun yang paling utama kini saya dapat membahagiakan ayah memandangkan ibu sudah meninggal dunia.

“Bagi saya, dalam apa juga perkara, paling penting adalah keberkatan kerana ia antara kunci utama untuk berjaya dalam perniagaan atau apa saja bidang kerjaya diceburi,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 4:02 PM