BUKU First Class Parents hasil tulisan Dr Rozieta untuk panduan ibu bapa.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Berapa ramai di antara kita, yang terkeliru setiap kali membuat keputusan berkait kehendak anak? Tidak kira sama ada ibu bapa muda atau yang sudah mempunyai asas dan pengalaman membesarkan ramai anak, tentu pernah sesekali timbul ragu-ragu dalam menyelesaikan hal ini.

Anak kecil mungkin menunjukkan tantrum jika kehendak mereka diabaikan, sementara yang sudah bersekolah pula lebih sinonim dengan rajuk dan tangis. Sekiranya hal ini terus dianggap remeh, ada kemungkinan anak menjadi lebih agresif, berubah kasar, biadab, bersikap mengugut, mula mencuri, cenderung menjadi pembuli dan terjerumus dalam permasalahan yang lebih besar.

Mengambil kata bidalan orang dulu, ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Mengajar anak mengenai kehendak juga perlu dilakukan seawal usia kecil. Biarpun pada usia dua atau tiga tahun anak masih tidak memahami percakapan orang dewasa sepenuhnya, namun deria mereka lebih peka terhadap sentuhan, perhatian, nasihat yang paling utama, kasih sayang.

Menurut Pakar Keluarga dan Kasih Sayang, Prof Dr Rozieta Shaary, memenuhi kehendak anak boleh dibezakan dari sudut keperluan dan keinginan. Namun yang paling utama adalah kemahiran komunikasi antara ibu bapa dan anak dalam menjelaskan hal berkaitan.

“Contoh lazim boleh dilihat dalam kalangan anak pada usia persekolahan. Kadang-kadang, permintaan mereka mungkin keterlaluan, di luar kemampuan ibu bapa, tidak munasabah dan cenderung ke arah pembaziran.

“Jadi, sebelum berkata ya atau tidak, seelok-eloknya ibu bersedia tiga kemahiran komunikasi ini. Mendengar, beri sokongan dan bertanyakan soalan. Cuba berunding dengan anak dan kenali sebab keperluan serta kehendak mereka.

“Katakan anak meminta supaya dibelikan telefon bimbit, dengar dulu apa yang mereka cuba sampaikan. Fahami mengapa mereka membuat permintaan sebegitu. Adakah kerana rakan mereka turut mempunyai telefon bimbit sendiri atau wujud keperluan lain yang wajar dipertimbangkan.

“Sekiranya anak kata dia perlu kerana kawan ada telefon sendiri, beri sokongan dengan bertanyakan sebab untuk dia turut memiliki sama. Tanyakan soal kegunaan dan beri andaian relevan sebagai sokongan. Sokongan ini bukan bermakna kita menyokong kehendaknya, tetapi supaya anakrasa rintihan dan permintaan mereka didengar,” katanya.

Jelas Dr Rozieta, penting untuk ibu bapa bertanyakan soalan berkaitan supaya anak dapat berfikir semula mengenai sebab dan alasan mereka setiap kali mahukan sesuatu.

KOMUNIKASI penting dalam mendidik anak berkualiti.

“Usah tanya soalan yang menimbulkan rasa untuk mereka mempertahankan diri seperti kenapa buat macam ini? Beri soalan yang boleh membantu anak. Umpamanya, kalau buat begini, apa sebenarnya yang hendak dicapai? Ini secara tidak langsung memberi ruang untuk anak berfikir. Kita tidak mahu anak rasa bersalah.

“Dalam mendidik jiwa anak, apabila dia mahukan sesuatu dan kita tidak dapat bagi, itu adalah peluang. Sama ada dia mengamuk atau tidak, kita tidak perlu risau. Jangan ikutkan kehendak anak kerana takut dengan reaksi mereka sedangkan kita memang tahu bahawa itu adalah cara anak menggunakan kuasa untuk mendapatkan sesuatu.

“Ibu bapa kena sedar kita adalah pemimpin dan anak perlu dipimpin. Memimpin ini bagaimanapun bukan setakat memberi arahan saja. Ia sepatutnya menjelaskan tanggungjawab mengasuh, mendidik dan membina diri anak menjadi insan berkualiti.

“Bayangkan jika kita mengikut semua kehendak anak, adakah itu membantu membina diri mereka? Apabila ibu bapa melakukan semuanya untuk anak, mereka pasti berdepan kesukaran dalam sektor pekerjaan kelak.

“Jadi, tanya balik kepada diri, adakah dengan menunaikan semua permintaan anak itu, kita sebenarnya menjadikan anak itu perkasa, berdaya? Kalau tidak, kita kena berusaha untuk pandai menyatakan tidak pada anak, tanpa meruntuhkan semangat mereka. Itulah kemahiran yang perlu ada dalam diri seorang ibu bapa,” katanya.

ELAK bertanyakan soalan yang menimbulkan rasa untuk anak mempertahankan diri.

Kata Dr Rozieta, banyak lagi perkara yang dirasakan remeh pada pandangan ibu bapa, namun boleh memberi implikasi besar pada masa depan anak.

“Sebab itu saya selalu katakan kepada ramai ibu bapa, jika mereka nak tahu peranan diri, lihat semula apa tujuan keibubapaan? Apa yang hendak mereka capai sebagai ibu bapa?

“Perkara ini saya selitkan di topik pertama buku terbaru bertajuk First Class Parents. Kita ajak ibu bapa bertanya semula pada diri mereka, mengapa dia menjadi ibu bapa? Pernahkah mereka pernah terfikir kenapa anak ini anakku bukan anak kakak, abang atau jiran? Tentu ada sebab mengapa kita diuji dan dilimpahi nikmat bergelar ibu bapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 4:42 PM