Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Penderitaan ditanggung Aizan Suhaira Sauffee Afandi, 38, yang menghidap ekzema sejak berusia 17 tahun sememangnya amat menakutkan. Bermula dengan asma ketika kecil kemudian hilang secara beransur-ansur diikuti ekzema apabila meningkat remaja.

“Ekzema bermula apabila keseluruhan badan menjadi gatal. Apabila menggaru membuatkan kulit melecet sehingga berdarah. Ramai menegur supaya saya berhenti menggaru namun sukar melakukannya. Hanya mereka yang mengalami saja tahu bagaimana rasanya,” katanya.

Cabaran utama pesakit ekzema ialah apabila mandi, kulit menjadi pedih, sakit dan rasa gatal teramat. Bagi mengurangkannya dia mencuba pelbagai rawatan termasuk ubat-ubatan. Namun tidak berhasil. Malah dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan hampir RM1,000 sebulan untuk membeli produk makanan tambahan. Ada yang serasi, banyak juga dibuang begitu saja.

Aizan memberitahu, alahan dialami biasanya disebabkan tekanan, pengambilan produk tenusu dan habuk. Akibat tidak tahan dengan situasi itu, dia sentiasa berusaha mencari jalan bagi menghilangkan masalah dialaminya.

Bagi menyelesaikan masalah ekzema, Aizan selalu menyapu krim dan membalut kawasan bermasalah supaya tidak menggaru jika gatal. Namun ia tidak membantu kerana dia tetap menggaru pada keseluruhan balutan sehingga kulit menjadi merah dan berdarah.

“Bagi pesakit ekzema, menjaga pemakanan adalah sangat penting. Tidak boleh mengambil makanan ringan, makanan segera, bergula dan tenusu,” katanya yang tidak pernah berputus asa mendapatkan rawatan.

Jika dulu dia menggunakan steroid yang dimakan sejak bertahun-tahun, kini Aizan beralih kepada produk semula jadi kerana ia sangat membantu.


AIZAN

Menurut Pakar Alergi dan Imunologi Dr Amir Hamzah Abdul Latiff, pesakit ekzema harus memilih produk berasaskan bahan semula jadi bagi merawat masalah kulit mereka.

Sambil menyatakan, sepanjang mengendalikan pesakit ekzema, dia kerap menerima rungutan mengenai pemilihan produk yang menyebabkan masalah menjadi lebih teruk.

“Sebagai pakar alergi dan imunologi, saya amat memahami kekecewaan dirasai pesakit selepas menggunakan produk penjagaan peribadi komersial. Mereka mengadu tidak banyak alternatif bagi menyelesaikan masalah kulit tanpa memberikan kesan sampingan negatif.

“Saya gembira apabila mendapati ada produk di pasaran yang selamat digunakan. Sekurang-kurangnya ia mengembalikan keyakinan pesakit ekzema untuk pulih sepenuhnya,” katanya yang berucap pada majlis pelancaran Dr Buds Organics yang diadakan di Damansara baru-baru ini.

Bagi pengasas Dr Buds Organics KK Soo, dia mula terfikir untuk menghasilkan produk ini selepas anaknya menghidap ekzema.


DR AMIR

Mulanya dia mendapatkan ubat-ubatan namun kebanyakan krim mengandungi bahan ‘keras’ yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini dalam jangka masa panjang.

Dia yang turut berdepan masalah jerawat ketika remaja mula memikirkan alternatif untuk menghasilkan produk berasaskan bahan semula jadi. Apatah lagi anak-anak mula meningkat remaja dan mereka juga memerlukan rawatan alternatif khusus untuk merawat masalah kulit.

Dibantu dengan kemajuan sains dan keberkesanan penyembuhan alam semula jadi, Dr Buds Organics dihasilkan menggunakan bahan organik yang diperakui terbaik bagi membantu merawat masalah ekzema.

Menurut KK, ibu bapa pasti memahami perasaan untuk melindungi anak daripada berdepan masalah kulit walaupun mereka tahu ia sebahagian daripada pengalaman untuk membesarkan anak-anak.

Ekzema akan menyebabkan bayi menangis sepanjang hari akibat panas dan rasa rengsa pada kulit. Bagi remaja pula kulit berjerawat akan menyebabkan mereka hilang keyakinan diri untuk berdepan orang ramai.

“Ketika saya meniti usia remaja, memiliki kulit berjerawat membuatkan saya sedih. Ini kerana alternatif yang ada ketika itu tidak dapat menyelesaikan masalah secara efektif. Ejekan rakan terhadap masalah kulit membuatkan saya tertekan dan malu untuk bergaul.

“Disebabkan itu, saya tergerak untuk mengeluarkan produk terbaik untuk anak dan ibu bapa agar tidak berdepan situasi yang sama. Saya membuat kajian dan mendapatkan formulasi untuk semua rangkaian produk ini,” kongsi KK.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 1:57 PM