URUTAN ‘tisu dalam’ menggunakan minyak kelapa melegakan otot dan anggota badan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Jika Indonesia terkenal dengan urutan Bali dan Thailand pula dengan urutan ikoniknya, negara kita boleh berbangga memiliki urutan Malaysia yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Kita cukup bertuah dilahirkan di negara ini yang terkenal kerana keharmonian dan kepelbagaian bangsa serta budaya yang kini diserapkan pula dalam urutan.

Meskipun urutan Malaysia agak asing jika dibandingkan dengan urutan Thai, Bali, Jawa dan banyak lagi tetapi itulah keunikan sebenar urutan tradisi yang boleh dibanggakan rakyat Malaysia apabila ia menjadi antara produk pelancongan baru negara.

Menariknya, urutan itu adalah gabungan pelbagai etnik kaum yang ada di Malaysia apabila seni urutan tradisi kaum masing-masing digabungkan menjadi satu elemen terbaru dalam kemahiran urutan.

Perawatan yang mengambil masa 90 minit merangkumi rawatan refleksologi, urutan kepala India, teknik pernafasan Qi Gong Cina dan rendaman kaki herba Malaysia.

Objektif rawatan ini untuk merehatkan diri dan mengembalikan kesegaran menerusi pengalaman kesejahteraan holistik dengan pelbagai teknik unik pelbagai bangsa dalam satu rawatan.

Teratak Spa Bangi antara yang melengkapkan khidmat memanjakan diri dengan pakej rawatan ini dengan juruterapi terlatih.

HERBA digunakan untuk rendaman kaki.

Tambah menarik, spa yang terletak di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi itu menyajikan dekorasi tradisional menggunakan hiasan kayu dan batu sungai.

Suasana mendamaikan itu juga ditambah dengan kehadiran wangian herba seperti serai dan pandan bagi menghidupkan konsep yang dipilih iaitu Melayu Nusantara.

Susunan batu sungai menyusuri tepian pejalan kaki digabungkan bersama konsep kayuan yang digunakan seolah-olah membawa diri ke kampung halaman bersama deruan air dan sinaran lilin aromaterapi.

Pengunjung akan dibuai dengan alunan muzik tradisional dan tusukan aroma wangian serai. Gabungan muzik, dekorasi indah dan aroma yang lembut memberikan satu perasaan yang tenang dan nyaman sebaik saja kaki melangkah masuk ke spa ini.

Dalam keasyikan menatap suasana tenang di sini, layanan mesra dan perkhidmatan profesional yang diberikan kakitangan spa ini sedikit sebanyak meredakan tekanan dan rasa penat pengunjung.

Lebih istimewa rawatan ditawarkan bukan saja mengurangkan ketegangan fizikal, bahkan turut mengimbangi kesihatan badan, minda dan rohani.

RENDAMAN kaki menggunakan bungaan dan limau purut membangkitkan kesegaran tubuh.

Menurut pemiliknya Norlaili Izzaty Mohd Yusoff, teknik urutan Malaysia bukan saja tertumpu pada satu kaum semata-mata tetapi ia teknik urutan daripada kombinasi seluruh kaum di Malaysia yang mampu menjenamakan nama Malaysia setanding teknik urutan lain seperti urutan Thai dan Bali ke pasaran luar negara.

Katanya, pelanggan yang mendapatkan rawatan itu di spa disambut dengan minuman yang dibancuh khas daripada bunga roselle yang menyegarkan.

“Selepas itu, pelanggan dibawa ke bilik rawatan dan rendaman kaki herba dimulakan. Gabungan daun pandan, bunga melur dan limau purut serta pupur kaki pelanggan direndam, disental dan dibersihkan.

“Aroma menenangkan daripada bungaan ditambah khasiat limau purut bukan saja membantu melancarkan peredaran darah pada kaki, melegakan sengal dan lenguh malah membangkitkan ketenangan.

URUTAN dimulakan di bahagian kaki.

“Kemudian, terapis akan melakukan teknik pernafasan Qi Gong yang bertujuan membetulkan pernafasan dan memberi kelegaan kepada pelanggan.

“Urutan kepala menggunakan kaedah Talei Piditel India pula dapat melegakan ketegangan dan tekanan sekitar leher, kepala dan bahu,” katanya.

TEKNIK pernafasan Qi Gong untuk meredakan tekanan.

Menurut Norlaili, urutan badan seterusnya merangkumi teknik urutan Melayu, Orang Asli dan refleksologi yang menyasarkan keseluruhan bahagian badan untuk melegakan kelesuan dan meredakan tekanan seterusnya mengembalikan kesegaran badan.

URUTAN kepala melegakan ketegangan sekitar leher dan kepala.

Katanya, selain urutan Malaysia, pelbagai rawatan teraputik spa itu disesuaikan untuk memenuhi keperluan individu, membawa keseimbangan minda dan badan dalam persekitaran yang tenang serta damai.

TEKNIK urutan Orang Asli menyasarkan bahagian belakang badan.

“Kesibukan tugas ditambah dengan hiruk-pikuk kesesakan kota sering membuat tubuh keletihan. Apatah lagi memegang status ibu berkerjaya, tidak mustahil berdepan stres hingga menjejaskan kesihatan.

“Keadaan stres ini akan membuatkan tubuh semakin tegang dan ini perlu dimanjakan dengan rawatan spa. Namun, spa yang dipilih perlu disesuaikan dengan keperluan tubuh memandangkan terdapat pelbagai jenis spa yang ditawarkan,” katanya.

NORLAILI dibantu juruterapi terlatih beri khidmat terbaik untuk pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 2:08 PM