NAZLIZA anggap berkebun sebagai senaman.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Dalam kesibukan bekerja, menguruskan rumah tangga dan anak-anak, tidak ramai wanita yang sanggup berpenat-lelah berkebun, menanam sayur, herba dan pokok ramuan masakan di keliling rumah.

Namun bagi wanita berasal dari Kuala Ketil, Kedah ini, kerja keras di kebun adalah sebahagian daripada hobi dan rutin senaman harian yang perlu disempurnakan untuk kepuasan diri.

Menurut Nazliza Che Roos, 33, sekalipun bergelar suri rumah, namun dia aktif berniaga kecil-kecilan untuk mengumpul simpanan ketika kecemasan.

“Hobi saya memang berkebun dan memasak. Memandangkan ia serasi dengan minat, kerja rumah selalunya jadi mudah dan menyeronokkan. Setiap hari, saya akan memasak, mengemas, menjaga anak-anak, menghantar dan menjemput mereka dari sekolah.

“Kemudian, pada sebelah petang saya akan menghabiskan masa dengan berkebun di kawasan sekeliling rumah. Sekalipun penat, inilah aktiviti riadah saya.

“Apabila sibuk dengan kerja di kebun, peluh akan keluar. Jadi, badan dan otak akan sihat, sementara hati pula gembira dengan terapi mudah begini,” katanya.


MENGUTIP hasil untuk dimasak.

Jelas Nazliza, kebanyakan masa lapangnya memang diperuntukkan untuk bercucuk tanam dan memenuhi tempahan aneka puding daripada pelanggan.

“Berkebun mempunyai banyak kelebihan. Selain dapat mengutip hasil di kebun sendiri, aktiviti ini memberi ruang kepada saya mempunyai masa untuk diri sendiri.

“Ia seakan membawa aura positif pada diri. Saya bukan saja berasa lebih sihat dan cergas, malah fikiran juga lebih tenang. Apa yang dikutip di kebun sudah pasti membantu menjimatkan perbelanjaan dapur. Secara tidak langsung, suami juga senang hati.

“Jika anak-anak dan suami mempunyai masa terluang, mereka juga turun ke kebun untuk membantu saya. Aktiviti sebeginilah yang mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Tambahan, luas kebun juga memang memerlukan bantuan mereka untuk menyusun dan memantau tanaman di bahagian belakang, tepi dapur dan depan rumah,” katanya.


BAYAM Brazil dan tanaman herba tumbuh subur.

Kata Nazliza, dia sebenarnya baru mula berkebun secara serius sejak dua tahun lalu. Antara tanaman di kebunnya termasuk sawi, kangkung, pelbagai jenis bayam, serai, kunyit, halia, terung, bendi, cili burung , pegaga, kesum, kaduk, ulam raja dan belalai gajah.

“Lazimnya hasil kebun memang banyak. Jadi, di samping menjimatkan belanja, berkebun juga memberikan kepuasan pada saya. Saya seronok memasak hasil usaha sendiri yang dipetik segar dan bebas racun serangga perosak.

“Ada waktunya kepuasan itu sukar hendak digambarkan. Setiap kali membuka pintu di sebelah pagi, saya terus jadi bersemangat untuk menyiapkan segala aktiviti harian yang lain. Ia umpama terapi minda terbaik untuk saya.

“Banyak yang dipelajari sepanjang aktif berkebun. Saya bereksperimen untuk mencari kaedah sesuai untuk menyuburkan tanaman, menggunakan baja dan racun daripada bahan semula jadi dan sebagainya. Pendek kata, saya seronok berkebun setiap hari dan berkongsi hasil dengan keluarga terdekat serta jiran,” katanya.


TERUNG dan kunyit untuk menampung keperluan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 3:32 PM