Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Ramai antara kita memberi alasan kesibukan kerja hingga mengabaikan aspek kesihatan dan akhirnya memberi kemudaratan kepada diri sendiri.

Boleh dilihat kini, ramai yang menderita penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular pada usia muda berbanding zaman nenek moyang sedangkan dulu semua penyakit ini dikaitkan dengan warga emas.

Selain pengambilan makanan yang kurang berkhasiat dan tinggi kalori ditambah pula culas melakukan senaman, ‘pakej’ lengkap ini kini menjadi amalan kebanyakan kita.

Sebenarnya tidak susah memulakan rutin senaman malah tidak perlu pun berbelanja besar menghabiskan duit melakukan pembedahan atau mengambil sebarang suplemen mahal bagi kelihatan cantik.

Latihan sirkit antara bentuk senaman efisien untuk tubuh kerana dalam latihan ini akan menggabungkan unsur seperti kekuatan dan ketahanan otot, kelenturan badan, kelincahan, keseimbangan dan ketahanan jantung serta paru-paru.

Latihan sirkit atau CT adalah rangkaian latihan yang dilakukan secara berurutan dengan menggabungkan senaman mengangkat beban dan kardio dalam rangkaian pergerakan tertentu.

Sistem latihan ini juga dapat memperkembangkan secara serentak kecergasan keseluruhan tubuh, iaitu komponen kekuatan, daya tahan, kepantasan, fleksibiliti dan komponen fizikal lain.

Dalam rangkaian ini terdapat latihan untuk otot yang berbeza dan dilakukan tanpa henti bagi membakar sebanyak mungkin kalori.

CT juga dikatakan amat baik dilakukan untuk menurunkan berat badan terutama selepas pengambilan beraneka jenis makanan dan seelok-eloknya dilakukan tiga kali seminggu bagi membakar kalori.

Menerusi CT, tubuh juga membakar lemak lebih efektif daripada melakukan latihan kardio berintensiti sederhana.

Selain itu, anda dapat menjimatkan masa kerana dapat melakukan pelbagai latihan dalam satu masa dengan hasil yang memuaskan.

CT dilakukan berturut-turut dari satu latihan ke latihan lainnya dalam satu rangkaian berurutan dengan sedikit selingan masa di antara set.

Latihan ini boleh dilakukan selama 15 hingga 30 minit bergantung kepada jumlah latihan, pengulangan dan sirkit yang dilakukan.

Lebih menarik, CT boleh dilakukan di mana saja baik di gimnasium, rumah, taman atau tempat kesukaan anda yang lain.

Selain itu, hasil latihan ini anda akan menikmati kesegaran jasmani, kekuatan fizikal (otot) dan tubuh menjadi lebih fleksibel dalam masa singkat.

Bagaimanapun oleh kerana CT adalah latihan berintensiti tinggi, jadi sebelum melakukannya anda perlu pastikan tubuh benar-benar bersedia untuk ‘bekerja keras’.

Jurulatih kecergasan, Sharifah Noor Darwinie AlShahab menunjukkan beberapa langkah CT yang boleh dilakukan dengan menggunakan dumbel bagi membantu menyingkirkan lemak berlebihan dengan berkesan.


LATERAL GOBLET LUNGE - Berdiri dengan kaki dibuka seluasnya sambil memegang dumbel di depan dada. Turunkan badan ke sisi dengan membengkokkan sebelah lutut manakala sebelah kaki lagi kekal lurus. Naik semula ke posisi berdiri dan ulangi sisi satu lagi.

DUMBEL CURTSY LUNGE - Berdiri dengan kaki seluas bukaan bahu dan memegang dumbel di sisi. Berat badan bertumpu ke kaki kiri lalu langkahkan kaki kanan bersilang ke belakang kaki kiri. Rendahkan tubuh dengan merendahkan badan sehingga paha selari lantai. Kembali ke posisi awal dan ulang dengan sisi sebaliknya.

GOBLET PLIE SQUAT -Berdiri dengan kaki lebih lebar dari bahu sambil memegang dumbel di depan dada. Turunkan tubuh ke bawah hingga lutut membentuk sudut 90 darjah. Kembali ke posisi semula dan ulang.

BRIDGE WEIGHT-Baring terlentang di atas tikar dengan lutut dibengkok dan tangan memegang dumbel di depan tubuh. Angkat pinggul, tahan dan turunkan pinggul ke lantai.

SINGLE LEG DEADLIFT -Berdiri dengan kaki selebar bukaan bahu sambil memegang dumbel selari dengan lutut depan. Bongkokkan badan hingga 90 darjah serentak sebelah kaki ditolak lurus ke belakang. Kembali ke posisi asal dan ulang dengan kaki sebelah lagi.

HEAVY LYING ABDUCTION-Baring mengiring dengan sebelah tangan menahan badan, sebelah tangan lagi memegang dumbel dan lurus di sisi badan. Angkat sebelah kaki dan turunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 1:21 PM