PEMERIKSAAN rahim antara rawatan dijalankan Nik Norie Nur Qasren yang menjalankan spa bergerak.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Jika dilihat kaedah penjagaan kecantikan sebenar yang diamalkan sewaktu zaman nenek moyang terdahulu lebih kepada penekanan kesihatan dalaman bagi memancarkan kejelitaan luaran secara semula jadi.

Istilah cantik pada hakikatnya lebih kepada individu yang memiliki kesihatan luaran dan dalaman yang baik.

Mungkin ramai yang bersetuju, kebanyakan wanita hanya mula memberi penekanan kepada aspek penjagaan kesihatan berbanding kecantikan luaran semata-mata apabila usia mula menjengah ke angka 30.

Mana tidaknya, pada usia itu, ramai yang sudah mula merasai ‘sakit-sakit badan’, ada pula yang mengalami masalah penambahan berat mendadak terutama selepas melahirkan anak dan tidak kurang ada sering mengalami masalah berkaitan rahim.

Semua masalah yang dialami itu bukan saja mengakibatkan golongan terbabit berasa tidak selesa malah bakal memberikan kesan kepada kecantikan keseluruhan.

Lebih membimbangkan apabila ada di antara wanita yang menderita akibat masalah rahim jatuh yang jelas mempengaruhi rutin harian.

Masyarakat dulu menggelarkan rahim jatuh sebagai ‘tombong’ iaitu umbut yang tumbuh di dalam buah kelapa tua berwarna kekuningan.

‘Rupanya’ tidaklah seperti tombong yang bulat kekuningan itu. Sebaliknya, apa yang menjulur keluar daripada alat sulit wanita adalah rahim berwarna kemerahan-merahan. Lebih teruk apabila ia boleh berdarah akibat bergesel ketika berjalan.

Berusaha dalam membantu wanita yang mengalami masalah tombong atau berkaitan rahim, Nik Norie Nur Qisren Nik Mohd Nordin, 36, yang menjalankan spa bergerak di sekitar Kuala Lumpur dan Kajang berusaha membantu wanita yang mengalami masalah itu.

Menggunakan ilmu dan kemahiran ilmu perbidanan yang diwarisi daripada keluarganya, Nik Norie Nur Qisren berkata, rawatan urutan perbidanan dijalankannya lebih kepada rawatan memulihkan rahim atau rawatan tombong.

“Rahim adalah aset paling berharga bagi seorang wanita dan atas sebab itu ia perlu dijaga rapi bagi memastikan tidak berlaku masalah serius seperti tombong.

“Atas sebab itu, pentingnya urutan secara rutin bagi memeriksa keadaan rahim, dalam setiap rawatan, saya akan memeriksa kedudukan rahim pelanggan kerana ia sangat penting,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan mengalami masalah rahim jatuh namun ada juga sesetengah yang sudah ke tahap yang teruk kerana rahim sudah terkeluar.

NIK NORIE NUR QASREN menjalankan rawatan tombong kepada pelanggan.

“Sesiapa yang mengalami masalah itu tentu saja tidak selesa dan sakit. Lebih teruk apabila ia mengganggu rutin harian akibat ketidakselesaan yang akhirnya menyebabkan gangguan emosi.

“Dalam senario ini, tentu saja individu terbabit tidak lagi memikirkan soal menjaga kecantikan wajah atau badan kerana menderita menanggung sakit,” ujarnya.

Katanya, rawatan tombong yang dilakukan memerlukan sedikit masa kerana pesakit tidak mampu pulih hanya selepas melakukan sekali rawatan.

“Pelanggan yang mengalami masalah rahim atau tombong akan diperiksa terlebih dulu sebelum rawatan urutan dijalankan secara berhati-hati.

“Kepakaran dan kemahiran amat diperlukan kerana tidak semua tukang urut mahir dalam perkara ini,” katanya.

Kesihatan rahim mencerminkan kecantikan wanita

Menurut Nik Norie Nur Qisren, tidak ada gunanya wajah yang cantik menawan namun keadaan rahim tidak dijaga dengan baik.

“Disebabkan itu saya katakan, kesihatan rahim perkara yang paling utama, sekiranya rahim dalam keadaan baik tentu saja kecantikan luaran dapat dipancarkan secara semula jadi.

“Spa bergerak yang saya jalankan agak berbeza dengan yang lain kerana saya lebih memfokuskan kepada rawatan rahim, kesuburan, mati pucuk dan rawatan dalam pantang,” katanya.

Dalam erti kata lain, Nik Norie Nur Qisren lebih menumpukan rawatan ilmu perbidanan seperti zaman nenek moyang terdahulu.

“Inilah keistimewaan rawatan yang saya jalankan, kerana pelanggan dapat berasakan kaedah rawatan serta urutan seperti era dulu. Semua rawatan ditawarkan bermula pada harga RM80 mengikut jenis rawatan dipilih pelanggan.

“Saya selalu menekankan kepada pelanggan supaya konsisten. Urut seluruh badan dan selalu periksa kedudukan rahim supaya kita sendiri tahu keadaan rahim sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, selain itu, dia juga menyediakan pelbagai minuman, mandian dan produk berasaskan herba bagi membantu mendapatkan kesihatan dalaman.

“Pada masa sama, saya turut menjalankan kelas urutan perbidanan dan terbaru akan dijalankan pada 6 dan 7 Oktober ini.

“Kecantikan dan herba seperti irama dan lagu, wanita kini perlu mengamalkan gaya hidup sihat selain mengambil makanan atau minuman tambahan berasaskan herba yang terbukti mempunyai pelbagai khasiat.

“Jangan sesekali bersikap sambil lewa dan merasakan semua ini tidak penting, saya sering kali mengingatkan pelanggan supaya jaga kesihatan dalaman terutama rahim untuk mendapatkan kecantikan semula jadi tanpa sebarang suntikan,” katanya.

MENJALANKAN spa bergerak di sekitar Kuala Lumpur dan Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 8:29 AM