HASNAH pemilik Akademi Cikgu Garang.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Sekitar 1990-an permintaan untuk kelas memasak secara fizikal sememangnya begitu mendapat perhatian. Justeru, ramai tukang masak dan juga cef berkemahiran mengadakan kelas memasak terutama untuk kek dan juga kuih-muih. Ketika itu mereka belum terdedah dengan kelas masakan dalam talian membabitkan pelbagai jenis masakan.

Kini dengan kehadiran media sosial dan semua maklumat boleh diakses menerusi hujung jari, masyarakat mulai nampak akan keperluan menghadiri kelas memasak secara dalam talian bagi menjimatkan kos. Antara yang aktif mengadakan kelas memasak jarak jauh adalah pemilik Akademi Cikgu Garang, Hasnah Saidin, 45.

Menurut Hasnah, dia menawarkan kelas memasak jarak jauh (PJJ) bermula pada 2012 selepas 10 tahun menceburi bidang masakan. Idea tercetus apabila ramai wanita terutama yang tinggal di luar Kuala Lumpur dan Lembah Klang bertanya sama ada mereka boleh belajar memasak menerusi alam maya.

“Memikirkan mengenai kesungguhan golongan ini terutama ibu tunggal yang sibuk menguruskan keluarga dan anak kecil, saya mula menghasilkan modul kelas PJJ dengan cara merakam pelbagai video langkah demi langkah memasak untuk diikuti pelajar. Alhamdulillah saya menerima maklum balas positif yang menyukai cara pembelajaran sebegini.

“Ini kerana mereka bebas belajar di mana saja pada bila-bila masa. Tanpa kos perjalanan atau penginapan, setiap video tutorial boleh ditonton sebanyak mana yang mereka inginkan sehingga benar-benar faham,” jelasnya.

Menariknya untuk setiap kelas Hasnah membuat pemantauan sehingga setiap pelajar mampu menyediakan menu yang mereka inginkan. Ini kerana dia memahami latar belakang pelajar yang bukannya datang dari keluarga yang mewah. Ramai suri rumah berhasrat membantu suami menambah pendapatan keluarga.

“Oleh itu setiap modal dikeluarkan sudah pasti disertakan harapan agar akan ada pulangan di kemudian hari. Sebab itu saya mengharapkan mereka belajar bersungguh-sungguh dan buat sehingga jadi,” katanya yang tinggal di Shah Alam, Selangor.

Mempunyai kepakaran dalam pelbagai lapangan masakan termasuk pastri, kuih-muih, nasi, lauk-pauk, masakan barat sehingga menu tradisional, Hasnah turut memberikan panduan kepada pelajar mengenai bidang masakan yang layak diambil.

“Bagi yang belajar kerana ingin berniaga saya akan bertanya apa yang mereka mahu jual. Namun jika mereka sendiri tidak pasti saya meminta mereka berfikir dan membuat perancangan terlebih dulu. Ini sangat penting kerana berniaga bukanlah satu perkara mudah. Akan ada cabarannya, jatuh dan bangun yang perlu dihadapi. Jadi persediaan mental dan fizikal sangat penting,” jelasnya.


HASNAH menyediakan puding roti tempahan pelanggan.

Berniaga selepas berhenti kerja

Memulakan perniagaan selepas mengambil Skim Pemberhentian Sukarela atau VSS pada 2002, dengan wang diperoleh, Hasnah mula menyertai kelas jahitan. Namun disebabkan kurang berminat menyebabkan dia tidak mampu mengembangkan perniagaannya.

“Saya cuba menyertai kelas memasak dengan harapan ilmu ini dapat digunakan untuk menyediakan masakan di rumah. Tetapi ramai pula menempah selepas saya memuat naik gambar di Facebook dan Instagram. Saya mula menambah kemahiran untuk makanan barat dan kuih-muih tradisional. Kedua-duanya turut menerima tempahan yang tinggi,” katanya gembira.

Selepas menyertai pelbagai kelas dengan kemahiran dimilikinya pada 2012, barulah Hasnah memberanikan diri menganjurkan kelas membuat kuih bahulu. Memuat naik hasil pembelajaran dan komen pelajar membuatkan kelas masakan mendapat sambutan.

“Untuk setiap kelas saya menyediakan resipi sendiri. Ini bagi memastikan makanan disediakan sedap dan lazat. Selain itu saya juga memastikan pelajar mampu menyediakannya di rumah. Saya tidak mahu mereka mengeluarkan duit secara suka-suka. Jika boleh berniaga saya akan bantu sehingga berjaya,” katanya.

Merujuk kepada kelas memasak yang sentiasa mendapat sambutan, ujar Hasnah, ia disebabkan pengalaman selama 16 tahun dalam industri membuatkan kepercayaan orang ramai sangat tinggi. Namun ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana dalam menuju kejayaan pasti ada cabarannya.

“Sebelum dikenali di media sosial saya turut menerima kecaman. Ada kelas dihadiri beberapa peserta saja. Namun, saya cuba perbaiki diri dan mencari kelemahannya. Antaranya menyediakan silibus pembelajaran termasuk resipi dalam setiap menu. Ini kerana saya tidak mahu mereka menggunakan resipi ‘agak-agak’ tanpa sukatan yang betul.

“Ia sangat memudahkan terutama peniaga kerana dapat menghasilkan rasa makanan dengan tepat dan konsisten setiap hari,” katanya.

Selain itu Hasnah bijak mengetahui kehendak pasaran, apa yang dimahukan pelanggan. Misalnya jika dulu masakan barat menjadi perhatian, tetapi kini kuih tradisional mendapat permintaan tinggi.

“Apabila mengetahui jenis permintaan ia memudahkan untuk saya mencari resipi baru berasaskan kuih tradisional. Sebagai tenaga pengajar saya perlu bijak dan cepat menyediakan silibus baru pada setiap bulan. Ini bagi memastikan saya tidak ketinggalan memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.


ANTARA produk dihasilkan.

Pelajar juga perlu mencari identiti sendiri dan keistimewaan hidangan mereka. Misalnya jika ramai menjual nasi lemak, mereka perlu fikir mengapa hendak menjual nasi lemak juga? Bagaimana hendak menjadikan nasi lemak anda diminati, adakah kerana sambal atau nasi yang enak? Begitu juga dengan menu lain, perlu ada keunikan yang menjadi daya penarik.

“Jika dilihat dalam pasaran, semua orang berniaga makanan yang sama. Jika di sana ada peniaga nasi kukus akan ada dua tiga gerai menjual nasi kukus. Apa yang membezakannya mungkin rasa. Di sinilah pentingnya identiti dalam masakan,” katanya.

Menerusi kelas yang dihadiri pelbagai golongan termasuk orang kenamaan, ahli politik dan profesional, setakat ini Akademi Cikgu Garang sudah menyediakan hampir 100 resipi yang dihasilkan sendiri dengan belasan ribuan peserta termasuk dalam talian. Menggunakan Facebook kumpulan, setiap pelajar dapat berkongsi masalah, kegembiraan atau keseronokan mereka dengan ahli kumpulan yang lain.

“Saya bersyukur kerana setakat ini rezeki sebagai tenaga pengajar tidak pernah putus. Saya percaya ia turut dipengaruhi bagaimana kita berdepan dengan orang ramai.

“Jangan sesekali bersikap pentingkan diri sendiri, cemburu dengan kejayaan orang lain atau rasa dengki melihat orang lain lebih berjaya. Semua ini tidak akan mematangkan kita. Sebaliknya cuba berfikiran positif dan melakukan sesuatu dengan ikhlas. Insya-Allah pasti akan ada jalannya,” katanya yang turut mengadakan kelas memasak di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 2:17 PM