JANGAN memaksa anak.
Siti Nadirah Hafidzin

siti_nadirah@hmetro.com.my.

Sesetengah ibu bapa juga penjaga kini dilihat terlalu memaksa anak kecil seawal usia setahun untuk cintakan buku.

Bukan tidak ada baiknya kerana melahirkan generasi akan datang yang cintakan buku dan ilmu tentu saja menjadi impian semua golongan terutama ibu bapa.

Dalam konteks ini, yang menjadi satu permasalahan adalah sikap keterlaluan sehingga memaksa anak membesar tidak mengikut peringkat usia yang akhirnya berkemungkinan memberi kesan terhadap personaliti anak terbabit.

Berkongsi pandangan dalam isu ini, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak, Hazhari Ismail berkata, usaha ibu bapa untuk memperkenalkan buku kepada anak kecil jelas satu usaha yang baik.

“Lihat saja di pesta buku, kebanyakan ibu bapa sibuk memilih pelbagai jenis buku khusus untuk si kecil tersayang.

“Atas rasa kasih sayang dan harapan tinggi untuk melahirkan pelapis yang bukan saja berpekerti baik malah berilmu menjadikan hampir semua ibu bapa berusaha keras ke arah itu.

“Pelbagai jenis buku dibeli atau sebarang jenis alat bantuan pembelajaran juga diborong supaya anak dapat mengenal huruf juga membaca dengan lancar seawal usia,” katanya.

Menurut Hazhari, selain buku, ramai juga ibu bapa berusaha memberikan anak makanan tambahan yang didakwa dapat merangsang otak kiri dan kanan dengan baik.

“Inilah budaya masyarakat kini, terlalu ramai ibu bapa yang taasub untuk melahirkan anak yang cerdik.

“Seperti yang saya katakan, semua usaha ini bukanlah kesalahan namun jika dilakukan secara keterlaluan akhirnya bakal memberi kesan kepada anak itu sendiri,” ujarnya.


HAZHARI

Seimbang dalam semua aspek

Menurut Hazhari, budaya dan persepsi tidak sihat ini semakin sebati dalam masyarakat kini.

“Jika kita lihat, ramai anak kecil sering meminta dibelikan mainan dan jawapan diberikan ibu bapa kebiasaannya sama iaitu lebih baik membeli buku.

“Hakikatnya, ibu bapa perlu melihat senario ini dalam perspektif kanak-kanak bukan daripada perspektif dewasa,” katanya.

Menurutnya, lebih teruk apabila ada ibu bapa melihat perkembangan serta kemahuan anak ini yang kemudiannya dibandingkan anak orang lain.

“Saya selalu mengingatkan diri sendiri dan ibu bapa lain untuk kembali kepada perkembangan anak yang sepatutnya.

“Jika anak berusia setahun, cari tahap perkembangan untuk anak setahun, bukan dengan perkembangan anak berusia lima tahun. Semak satu persatu setiap perkembangan yang merangkumi fizikal, emosi, kognitif dan sosial,” ujarnya.

Hazhari berkata, peranan sebagai ibu bapa juga dikira sebagai pekerjaan. Oleh itu, carilah ilmu supaya dapat menjadi ibu bapa terbaik untuk anak.

“Anak ini ibarat cap jari kerana setiap orang berlainan. Kita tidak boleh menyamakan anak kita dengan anak orang lain atau adik-beradiknya sendiri kerana semuanya adalah berbeza.

“Jangan hanya harapkan anak belajar kerana tugas dan tanggungjawab ibu bapa lebih penting dalam menentukan hasil di kemudian hari,” katanya.

Menurutnya, setiap ibu bapa perlu bersabar dan jangan keterlaluan dalam menentukan tahap perkembangan anak-anak.

“Tidak perlu tergopoh-gapah, apa yang perlu tunggu tahap kesesuaian anak.

“Kalau bahan bacaan itu masih tidak sesuai dengan usia anak maka tunggulah. Beli apabila tiba waktunya dan jangan memaksa anak,” ujarnya.


BELI buku mengikut kesesuaian usia anak.

Panduan perkenalkan buku kepada anak

Mendekatkan anak dengan buku memerlukan kesabaran. Pada permulaan, anak mungkin hanya memberi tumpuan selama beberapa minit. Namun perhatian dan tumpuan ini akan meningkat selaras dengan pertambahan usianya.

Tidak mengapa jika anak hanya menyelak buku bergambar yang anda berikan. Ini adalah langkah pertama untuk menyemai minatnya kepada bahan bacaan. Antara langkah yang anda boleh lakukan ialah:

• Beri peluang anak untuk meneroka buku bergambar. Pandangan anak akan tertumpu pada gambar yang berwarna-warni dan dari sini sedikit demi sedikit anda boleh mengenal kecenderungan atau minatnya pada satu-satu perkara.

• Cuba menyanyi atau bercerita mengenai gambar yang dilihat dalam buku. Apabila anak anda sudah petah bercakap, minta dia pula yang ‘bercerita’ kepada anda berdasarkan gambar di dalam buku itu.

• Biarkan anak yang menyelak buku. Tidak mengapa jika melangkau beberapa muka.

• Tunjukkan gambar pada kulit hadapan buku dan terangkan apa yang terkandung di dalamnya. Jika anak anda sudah berusia tiga tahun, anda boleh memintanya meneka cerita yang tertulis di dalamnya berdasarkan gambar di kulit hadapan buku.

• Tunjukkan perkataan kepada anak. Ini boleh dilakukan dengan meletakkan jari anda di bawah huruf ketika anda membacanya, dari kiri ke kanan.

• Jadikan cerita seolah-olah ‘hidup’ dengan mempelbagaikan nada suara dan menggunakan gerak badan. Ini akan menarik minat anak.

• Jadikan ia cerita yang dekat dengan kehidupan, contohnya mengenai adik beradik, haiwan kesayangan atau orang terdekat dengan anda.

• Sambil bercerita, anda boleh bertanya kepada anak untuk memancing perhatiannya. Beri juga peluang untuk anak anda bertanya.

• Galakkan anak anda bercerita. Kanak-kanak semuda tiga tahun sudah boleh mengingat cerita yang anda bacakan. Jadi anda boleh merangsang dia bercakap dan memperbaiki sebutan perkataannya.

• Buat buku foto bersama-sama. Anda boleh gunakan gambar keluarga atau yang dipotong dari majalah, katalog jualan, akhbar atau apa saja. Ini akan menjadi alat menyeronokkan untuk anak anda merangka cerita. Boleh juga tuliskan perkataan yang mudah di dalam buku berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 3:36 PM