BERI dorongan untuk turut serta dalam aktiviti komuniti.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Hari ini genap 61 tahun negara mencapai kemerdekaan. Banyak teladan dan pengajaran ditinggalkan orang terdahulu untuk panduan generasi baru.

Bagaimanapun, perubahan besar dalam kanvas kehidupan masyarakat kini menuntut banyak perhatian dan penelitian. Nasihat supaya mencontohi didikan keluarga sekitar 20 atau 30 tahun dulu dianggap semakin kurang relevan.

Ramai berpendapat ibu bapa perlu melakukan banyak cuba jaya dalam mendidik anak. Pengaruh teknologi, media sosial, rakan sebaya dan pelbagai anasir luar dilihat menjadi ancaman terbesar buat generasi kini.

Namun, tidak kira apa pun alasannya, realiti menjelaskan bukan semua perkara perlu diberi sentuhan baru. Soal adab, akhlak, jati diri, semangat perpaduan, nilai murni dan hormat-menghormati masih perlu dicontohi daripada masyarakat zaman dulu.

Tidak kira masyarakat, bangsa mahupun agama, semua ibu bapa masih menyimpan hasrat serupa. Mereka mahu setiap anak yang dilahirkan, dididik dan diasuh menjadi orang berguna serta berjaya dalam hidup.

Bezanya, mengasuh dan mendidik anak pada zaman ini kian mencabar dari hari ke hari. Setiap pilihan dan keputusan dibuat perlulah sentiasa rasional, berpaksikan kepada rasa tanggungjawab, hormat-menghormati serta mengambil kira kesan perubahan teknologi semasa.

Sedangkan anak muda kini dilihat semakin kurang berkomunikasi secara langsung, tidak pandai mengatur bahasa dengan orang yang lebih berusia, tiada semangat patriotik dan bersikap introvert.

Tanpa sedar, keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan perpaduan, mengurangkan keharmonian, sekali gus menampakkan jurang perbezaan besar dengan zaman lebih 20 tahun dulu.

Inilah anak merdeka yang terkurung dalam dunia tanpa sempadan. Mereka hanyut di alam maya, kian bergantung kepada teknologi dan semakin lupa untuk menghargai nilai kemerdekaan sebenar.

Menurut Perunding Motivasi Keluarga Zaid Mohamad, generasi muda kini seharusnya cuba memahami kembali erti kemerdekaan sebenar supaya mampu bangkit sebagai insan berkualiti.

“Merdeka bererti bebas dalam mentadbir negara sendiri, dengan acuan sendiri, tanpa terpengaruh kepada kuasa asing. Perlu diakui setiap negara adalah unik dan hanya kita saja yang benar-benar memahaminya. Jadi, biarpun Malaysia belum sempurna, anak perlu dipupuk dengan rasa bangga dan sayang kepada negara.

“Kalau dilihat secara kasar, mungkin kemerdekaan hari ini membawa banyak maksud berbeza untuk setiap individu. Tetapi generasi muda lebih cenderung mentafsirkan kebolehan mereka untuk berdikari dalam melakukan sesuatu. Inilah yang membantu mereka meningkatkan keyakinan diri, kreativiti dan pemikiran kritikal,” katanya.

Jelas Zaid, andai menyentuh soal penghayatan generasi muda terhadap nilai kemerdekaan, realiti menunjukkan semangat patriotisme meningkat jauh sekitar bulan kemerdekaan.

Berikutan itu, ramai yang semakin lupa pada pengorbanan dan kesusahan yang dilalui pejuang dulu untuk membebaskan negara daripada penjajah.


TANAM semangat cintakan negara dalam diri anak-anak.

Berbanding menyerahkan tanggungjawab menyemai semangat patriotik, perpaduan dan nilai murni dalam diri anak kepada pihak sekolah, Zaid mencadangkan supaya ibu bapa turut serta memainkan peranan selaku orang paling hampir dengan kelompok belia.

“Sudah sampai waktunya untuk ibu bapa menggalas tugas mendidik anak dan tidak terlalu berharap pada orang lain. Lebih daripada itu, anak perlu diberi kesedaran mereka juga perlu menyumbang kepada negara.

“Galakkan anak untuk lebih banyak bergaul dengan ahli keluarga, saudara berlainan generasi dan umur, jiran tetangga serta kenalan rapat. Semaikan semangat menghormati kaum berlainan dan bukannya menanam bibit kebencian.

“Cuba tonjolkan sikap rasional setiap kali membincangkan isu semasa dengan anak. Ini secara tidak langsung boleh menimbulkan kesedaran dalam diri mereka mengenai perbezaan cara hidup setiap bangsa dan agama.

“Jelaskan kepada mereka mengenai hakikat setiap generasi dan kaum memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing. Terpulang kepada mereka untuk membentuk diri menjadi masyarakat berkualiti dan cemerlang untuk negara,” katanya.

Manfaatkan teknologi

Satu hal yang kerap dikaitkan dengan keruntuhan sosial dan hilangnya semangat patriotisme dalam kalangan generasi hari ini adalah kemajuan teknologi. Perubahan menjadikan anak muda semakin kurang peka kepada keadaan sekeliling.

Kata Zaid, pengaruh digital dan media sosial memang sedikit sebanyak menyebabkan anak muda menjadi lebih individualistik. Namun, situasi itu akan kekal dengan kesan negatif ke akhirnya.

“Mereka perlu diberi galakan untuk bersama dalam aktiviti sosial dan kepemimpinan. Ini mungkin boleh dimulakan di peringkat sekolah dan komuniti setempat.

“Kongsikan pandangan dengan lebih ramai ibu bapa dan cadangkan penganjuran program yang boleh menarik minat anak muda. Sebaik-baiknya, beri mereka peluang dan tanggungjawab untuk turut serta dalam jawatankuasa kerja.

“Pastikan gajet, telefon bimbit mahupun komputer sentiasa di bawah kawalan ibu bapa. Anak perlu dilatih supaya mengamalkan disiplin dengan mengehadkan tempoh bersesuaian untuk menggunakan peranti elektronik,” katanya.

Jelas Zaid, tidak kira apa pun usaha untuk mendidik anak, ibu bapa perlu sedar setiap perlakuan, pengaruh sikap dan nilai hanya boleh dibentuk dengan menunjukkan contoh teladan yang baik.


TUNJUKKAN contoh terbaik dalam mendidik anak.

“Pokok pangkalnya bermula daripada ibu bapa itu sendiri. Jagalah adab dan tingkah laku ketika di rumah, memandu atau semasa berinteraksi dengan orang lain. Sentiasa ingat anak memerhati.

“Ajar mereka untuk berdikari dengan mengagihkan tugas serta tanggungjawab ketika di rumah. Berikan pujian apabila mereka melakukannya dengan baik. Gunakan perkataan bersesuaian dan ajar mereka menghormati orang lain terutama yang lebih tua.

“Anak yang bersikap introvert perlu diajar untuk berani melalui perubahan. Bimbing anak supaya mereka dapat keluar daripada zon selesa dan beri sokongan berterusan,” katanya.

Tambah Zaid, persekitaran kondusif memainkan peranan besar dalam membentuk anak cemerlang. Bagaimana ibu bapa masih boleh melakukan yang terbaik biarpun terpaksa keluar bekerja dan terikat dengan pelbagai komitmen.

“Pastikan rumah sentiasa dalam suasana positif dan elakkan membawa masalah luar. Cuba luangkan masa setiap hari dengan anak walaupun sekejap untuk memastikan mereka cukup berdikari dan dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang tidak dijangkakan.

“Sekurang-kurangnya, berinteraksilah dengan anak pada waktu pagi sebelum memulakan aktiviti harian dan pada waktu malam sebelum tidur.

“Jika ada waktu senggang, beri keutamaan untuk meluangkan masa dengan anak sebanyak mungkin. Kembangkan pengetahuan sejarah anak bermula dengan cerita mengenai keluarga sendiri, diselit dengan fakta.

“Ini sekurang-kurangnya membuatkan sejarah lebih menarik, mudah difahami dan menarik sifat empati anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 7:00 AM