WAJAH siap disolek tampak sempurna dan berseri.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Solekan semula jadi dan tanpa cela hingga hari ini masih menjadi kegemaran ramai wanita. Selain nampak lebih minimalis, ia juga sesuai digayakan untuk acara santai mahupun ke majlis glamor.

Tidak sukar mendapatkan kulit yang kelihatan sihat, halus dan bersinar dengan teknik solekan tepat. Seperti solekan ‘sihat bersinar’ (healthy glow) yang menjadi kegilaan ramai wanita kini, teknik bayangan dan penyerlah berperanan menampilkan solekan tampak mewah dan mahal persis selebriti.

Banyak wanita bersolek sesuka hati tanpa teknik yang betul dan hasilnya tidak memuaskan atau menampakkan wajah lebih kusam. Sebenarnya, jika kena dengan teknik solekan wanita akan tampil anggun dan bergaya.

Jurusolek, Khaibaha berkata, menyolek wajah dengan teknik betul dan pemilihan yang sesuai boleh membantu membangkitkan keremajaan wajah dan paling utama menutup kekurangan pada wajah.

Selain itu katanya, solekan yang dikenakan perlu disesuaikan bagi setiap majlis atau tempat yang ingin dihadiri agar tidak kelihatan janggal atau tenggelam kerana solekan tak sesuai atau tidak kena.

“Bagi solekan ini, kebanyakan warna tanah atau warna semula jadi digunakan untuk menampilkan wajah lebih semula jadi manakala teknik penyerlah dan bayangan menjadikan solekan tampak mewah.

“Untuk menampilkan wajah bersinar, penyerlah perlu dilebihkan berbanding pemerah pipi. Penyerlah berpigmen halus lebih sesuai digunakan untuk kesan optimum.

“Berbeza dengan teknik solekan lain, solekan ini tidak fokus pada penggunaan warna menyerlah sebaliknya cukup sekadar permainan warna tanah dan semula jadi untuk tampil berseri,” katanya.


1. WAJAH sebelum disolek.

Khaibaha berkata, selepas membersihkan wajah dan meratakan produk penjagaan kulit seperti pelembap dan serum, solekan dimulakan dengan menyapu primer diikuti alas bedak pada seluruh wajah.

Menurutnya, alas solekan amat penting dalam teknik ini bagi memastikan solekan tahan sehingga 12 jam.

Alas bedak berfungsi untuk menutup cela atau parut kecil pada wajah, tetapi jika terlalu tebal akan membuatkan solekan bercapuk. Cara terbaik sapukan alas bedak secara tipis.


2. ALAS solekan dengan menyapu primer diikuti bedak asas.

Untuk membentuk wajah pula, gunakan teknik bayangan agar bahagian seperti hidung dan tulang pipi nampak menyerlah sebelum menyapukan pemerah pipi di atas bayangan.

Menurut Khaibaha, buat mereka yang berkulit cerah, alas solekan perlu lebih cerah daripada wajah manakala teknik bayangan dan kontur perlu dikurangkan.

Bagi yang berkulit lebih gelap pula, alas solekan perlu sama dengan ton kulit dan teknik kontur dan bayangan perlu dilebihkan.


3. TEKNIK kontur untuk membentuk wajah.

Selepas itu, gunakan pensel mata atau berus kening dan bentukkan kening mengikut kesesuaian bentuk wajah. Untuk kelihatan muda dan lebih lembut, pastikan warna pensel mata tidak terlalu gelap. Warna coklat gelap pilihan terbaik.


4. PEMBAYANG mata rona tanah untuk penampilan semula jadi.

Sapukan pembayang mata pada bahagian kelopak mata. Untuk solekan ini, warna yang digunakan juga daripada warna tanah atau semula jadi.

Kemaskan bulu mata menggunakan maskara. Gunakan celak mata di bahagian dalam dan luar alis mata.


5. PENYERLAH disapu untuk wajah tampil bersinar dan sihat.

Untuk bahagian bibir, oles gincu dengan warna semula jadi atau pastel. Kini, sesiapa saja boleh tampil bak selebriti dengan teknik solekan ini.


6. OLES gincu dengan warna lembut untuk lebih semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 2:05 PM