NURUL Asyikin bersama gubahan bunganya.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Idea muncul selepas usahanya membuat kejutan memberi hadiah berbentuk gubahan bunga coklat kepada ibu tersayang mendapat pujian daripada kenalan dan rakan di laman sosial Facebook (FB).

Bermula daripada itulah tercetus idea untuk wanita kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan ini memulakan khidmatnya sebagai penghantar kejutan dan semua hadiah itu hasil gubahannya sendiri.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang itu, Nurul Asyikin Mohd Anuar berkata, dia tidak menyangka gambar yang dimuat naiknya di laman FB mendapat pujian ramai.

“Dua tahun lalu, saya membuat gubahan bunga coklat untuk dijadikan hadiah hari lahir ibu memandangkan saya memang suka menghasilkan gubahan.

“Apabila mendapat permintaan menggalakkan, saya tekad menjadikan perkhidmatan ini sebagai sumber pendapatan sampingan sekali gus dapat mengisi masa terluang di rumah,” katanya.

Nurul Asyikin yang kini menetap di Gombak, Selangor berkata, antara gubahan dihasilkannya adalah gubahan bunga, bunga coklat, belon dan dulang hantaran.


NURUL Asyikin melakukan gubahan yang ditempah pelanggan.

“Saya akan menghasilkan gubahan seperti yang diinginkan pelanggan sebelum dihantar terus kepada penerima untuk dijadikan sebagai kejutan.

“Pastinya perkhidmatan yang saya lakukan ini menyeronokkan kerana dapat menggembirakan ramai individu terutama penerima hadiah,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan lokasi penerima kejutan itu berbeza dan pelbagai, dia turut menggunakan khidmat penghantar untuk melakukan kejutan kepada penerima.

Sambutan menggalakkan

Minatnya pada seni gubahan menjadikan Nurul Asyikin sentiasa mengemas kini gaya gubahan hadiah bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan.

“Perkhidmatan yang saya lakukan ini banyak saingan namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha dalam bidang ini terutama memperbaiki setiap kelemahan dan kekurangan.

“Selain itu, harga untuk perkhidmatan yang saya tawarkan ini juga berpatutan iaitu antara RM90 hingga RM150 bergantung bahan digunakan dan jarak lokasi penerima.

“Syukur, sambutan diterima amat menggalakkan kerana pada masa kini ramai individu yang kekurangan masa dan ia menjadikan perkhidmatan saya ini sesuai digunakan untuk menggembirakan insan tersayang,” katanya.

Menurut Nurul Asyikin, memandangkan dia mempunyai kerjaya tetap, tugas menyiapkan tempahan pelanggan dilakukannya selepas balik ke rumah terutama pada waktu petang atau malam.

“Apa yang saya lakukan ini tidak sedikit pun mengganggu rutin harian. Seronoknya perkara yang dilakukan untuk mengisi masa terluang dapat menambah wang saku.

“Disebabkan saya tinggal di Gombak, buat masa ini perkhidmatan yang ditawarkan hanya meliputi di kawasan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya,” ujarnya.


NURUL Asyikin bersama gubahan bunganya.

Menurutnya, bagi mencantikkan dan mempelbagaikan gubahan, dia banyak mencari idea terkini melalui Internet serta laman web berkaitan.

“Saya sering melakukan perubahan dalam setiap gubahan bagi menarik minat pelanggan terutama gubahan bunga coklat. Pastinya pelanggan mahukan gubahan yang cantik kerana ia akan dijadikan hadiah untuk insan tersayang.

“Dari segi kejutan, kebiasaannya penghantar akan menghubungi nombor telefon penerima terlebih dulu untuk memaklumkan ada penghantaran barang namun segala maklumat mengenai barang itu dirahsiakan,” katanya.

Mahu perluaskan khidmat

Melihat sambutan yang menggalakkan, Nurul Asyikin berhasrat untuk memperluaskan lokasi penghantaran dan ia tidak tertumpu di kawasan Lembah Klang saja.

“Selain itu, saya turut berhasrat mengembangkan perkhidmatan dengan menyediakan khidmat perancang majlis selepas ini. Kerjaya sampingan ini memang menyeronokkan kerana selain ia adalah minat, saya dapat lihat pelbagai gelagat pelanggan dan penerima yang rata-ratanya amat gembira serta terharu dengan kiriman itu,” katanya.

Menurut Nurul Asyikin, hampir semua tempahan diterima adalah melalui laman sosial FB dan Instagram.


CANTIK dan berseni.

“Dua laman sosial ini memudahkan tugas dan saya yakin ia juga membantu semua peniaga untuk menjalankan perniagaan dengan lebih mudah tanpa memerlukan modal tinggi.

“Selain berniaga, saya juga dapat menambah kenalan baru terutama dalam kalangan pelanggan yang membuat tempahan. Inilah yang membuatkan saya lebih bersemangat dan seronok untuk meneruskan perkhidmatan ini,” ujarnya.

Katanya, dia juga bersyukur kerana suami dan seluruh keluarga banyak memberi sokongan dan membantunya dalam mengembangkan perniagaan dijalankan.

“Saya berharap khidmat saya untuk membuat kejutan berbentuk hadiah ini dapat menggembirakan ramai orang dan dalam masa sama saya juga dapat meneruskan hobi serta minat saya melakukan gubahan.

“Saya juga tidak akan berhenti begitu saja kerana bagi saya sekali sudah melangkah, usaha perlu diteruskan hingga ke akhirnya,” katanya.


PERKHIDMATAN gubahan bunga coklat di sekitar Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 2:34 PM