KEMBARA Cintami ke perkampungan Orang Asli di Pos Dipang, Tapah.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Menyantuni masyarakat Orang Asli di sekitar Perak sudah sebati dalam kehidupan Rafizah Hashim, 51. Jika sebelum ini, pemilik spa di TTDI Jaya, Shah Alam itu bergerak secara perseorangan dengan dibantu kakitangan, kini dia aktif membawa pelajar institusi pengajian tinggi menyertai program Kembara Cintami yang diasaskan sejak 2012.

Berpegang kepada pepatah Melayu ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, program kembara unik itu dianjurkan khusus untuk membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli dan memberi pengajaran berguna serta memupuk nilai murni dalam kalangan pelajar terhadap kaum pribumi berkenaan.

Lebih daripada itu, Rafizah sebenarnya cukup senang dapat turun padang dan memberi tunjuk ajar ikhlas kepada masyarakat Orang Asli mengenai kaedah penjagaan diri yang betul termasuk cara memberus gigi, mandi, bersyampu serta merapi.

Kata ibu tiga anak ini, dia bertuah kerana mempunyai perniagaan spa, tahu selok-belok penjagaan diri, hal kecantikan dan berpeluang berkongsi ilmu mahupun pengalaman dengan orang di sekelilingnya.

Mengimbau kunjungan pertama Kembara Cintami ke perkampungan Orang Asli di Pos Bersih, Kampung Ulu Slim beberapa tahun lalu, wanita ini tersenyum penuh makna. Kata Rafizah, kedatangannya bersama dua pekerja bukan saja gagal membawa sebarang pulangan, malah dia langsung tidak dilayan masyarakat Orang Asli di sana.


RAFIZAH

“Alhamdulillah, kini saya semakin memahami kehidupan sebenar masyarakat Orang Asli. Saya tahu cara untuk mengambil hati, berinteraksi, bergaul dan mengajak mereka mengikuti program yang kita atur.

“Saya beruntung kerana bukan setakat mendapat kerjasama masyarakat setempat, bantuan dan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), malah disokong beberapa aktivis masyarakat seperti Dr Hashim Bujang dan pihak institusi pengajian tinggi yang terbabit.

“Umpamanya, baru-baru ini Kembara Cintami disertai kumpulan pelajar Management & Science University (MSU) ke perkampungan Orang Asli, Pos Dipang, Tapah, Perak.

“Kami juga mengajak ahli kumpulan Sepohon Kayu, terdiri daripada pelanggan yang aktif mengikuti program kecergasan di spa untuk sama-sama memeriahkan kerja amal ini. Banyak aktiviti menarik disediakan untuk mereka rasai sendiri keunikan cara hidup Orang Asli dan mengutip sebanyak mungkin pengalaman berkaitan asas kehidupan, nilai murni, kecantikan dan kesihatan,” katanya.


SANTUNI masyarakat Orang Asli.

Menurut Rafizah, dia percaya kebanyakan orang, khususnya pelajar hari ini mudah meletak harapan yang tinggi dalam membina kerjaya impian di bidang kecantikan.

“Apabila bercakap mengenai dandanan, rawatan, khidmat menggunting rambut, merapikan tubuh, solekan atau apa saja berkaitan kecantikan, ramai menyangka ia mudah. Malah, ada yang berpendapat bidang ini jauh daripada pelbagai situasi tidak menyenangkan.

“Sedangkan bidang kecantikan menuntut lebih daripada itu. Kami bukan sekadar perlu melayan permintaan mereka yang cantik saja, tetapi seharusnya memiliki jati diri, keinginan dan hati yang bersih untuk melayan semua secara adil. Sebab itu, kami bawa mereka ke sini untuk merasai sendiri pengalaman, bagaimana mendidik dan mendandan masyarakat Orang Asli yang diketahui kuat berpegang kepada cara hidup tradisi mereka.

“Pada masa sama, kami juga adakan sesi perkongsian ilmu buat pelajar yang ada. Kemudian, kami ajar adab dan nilai murni yang perlu dipraktikkan untuk mereka diterima baik masyarakat di sini,” katanya.


SEBAHAGIAN pelajar yang mengikuti Kembara Cintami di Pos Dipang, Tapah

Bagi Rafizah, dia komited untuk terus berkongsi ilmu penjagaan diri dengan wanita Orang Asli kerana berasakan ia adalah perkara paling asas yang wajar dititikberatkan, khususnya dalam kalangan masyarakat yang sudah memeluk Islam.

“Kita tahu cara hidup Orang Asli, mereka mandi hanya untuk menghilangkan panas badan. Namun, apabila kami bawa alat kelengkapan peribadi seperti sabun, syampu dan ubat gigi, mereka cukup seronok. Perkara kecil beginilah yang selalu membuatkan saya terpaut untuk meneruskan amal bakti pada mereka,” katanya.


SIJIL penyertaan diberikan sebagai tanda penghargaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 3:33 PM