PERKONGSIAN sesama pesakit
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Hanya yang terperangkap dalam situasi sama saja yang memahami penderitaan dihidapi pesakit mengalami ketumbuhan stroma gastro usus (GIST). Tidak kira apapun jenis penyakit, ayat sedemikian kerap dilontar mereka yang lama menderita.

Bukan tidak mahu berkongsi rasa dengan mereka yang lebih sihat, namun kekangan ilmu, pengetahuan dan perbezaan pendapat kerap menjadi penghalang untuk pesakit berasa aman.

Let's Sama-Sama adalah program inisiatif untuk menyokong pesakit GIST. Program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Max Family Society Malaysia dan The Max Foundation itu menghimpunkan pesakit dan doktor untuk berkongsi mengenai perjalanan rawatan kanser mereka.

Koordinator Program Lee Ghai Yein berkata, sepanjang pertemuan itu, pesakit akan meluahkan kesukaran dan cabaran dihadapi ketika bertarung dengan GIST.

"Ini adalah platform sokongan emosi yang kami sediakan untuk pesakit. Pada masa sama, kami juga memupuk potensi pesakit sebagai rakan pembimbing yang akan berkongsi nasihat dan mencadangkan pelbagai inisiatif untuk membantu pesakit lain.

"Kami tahu, perjalanan rawatan pesakit sangat mencabar. Selain menerima rawatan dan penjagaan di hospital, sokongan untuk mereka juga memainkan peranan besar dalam membantu mendapatkan kehidupan lebih berkualiti.

"Paling utama, kami mahu masyarakat faham pesakit boleh menikmati kehidupan yang produktif dan lebih baik biarpun selepas didiagnos kanser. Asalkan dengan adanya akses rawatan dan penjagaan sepatutnya, pesakit kanser pasti mampu menjalani kehidupan normal, produktif dan berkualiti," katanya.


PROGRAM beri ruang kongsi maklumat.

Jelas Lee GIST adalah sejenis sarkoma, iaitu kanser tisu penghubung, otot atau tulang. Ia boleh bermula di mana-mana bahagian saluran penghadaman dan kini menjejaskan kehidupan kira-kira 314 individu di Malaysia. Rata-rata pesakit dikesan berumur antara 25 hingga 85 tahun.

Menjelas lanjut mengenai program bengkel sehari itu, Lee berkata, ia diselaraskan oleh ahli jawatankuasa Max Family Society Malaysia yang juga pesakit leukimia myeloid kronik (CML) dengan bantuan beberapa pesakit GIST.

"Semua pesakit GIST yang mendapatkan rawatan di hospital sekitar Lembah Klang dijemput untuk menyertai bengkel ini tanpa sebarang kos. Bengkel ini bermula dengan ucapan presiden Max Family Society Malaysia diikuti sambutan kecil Hari Kesedaran GIST yang sebenarnya jatuh pada 13 Julai lalu.

"Kami jemput Ahli Onkologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Vaishnavi Jeyasingam untuk memberi ceramah mengenai penyakit GIST dan Pakar Diet Klinikal HKL, Tan Sing Ean untuk membimbing masalah pengambilan makanan sihat untuk pesakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 2:52 PM