PUPUR BUAH
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Wanita kini cukup sensitif pada perubahan ton kulit. Kecerahan wajah, bawah lengan, garis bikini, lutut, siku, celah jari hingga tumit dan buku lali, semua­nya dipandang serius.

Namun, masih ada bahagian tubuh yang kerap diabaikan tanpa sengaja iaitu leher dan tengkuk. Melihat kepada trend solekan semasa, banyak tip yang menitikberatkan keseimbangan rona kulit wajah.

Jadi, tidak kira sama ada wanita bertudung atau tidak, mereka lazimnya menyapu bedak asas dan lebihan solekan hingga pangkal leher untuk mengurangkan perbezaan ton kulit.

Begitupun, berapa ramai antara wanita yang benar-benar menjaga kecantikan dan mengamalkan penjagaan leher yang sempurna setiap hari?

Apalah gunanya jika wajah bersolek kemas andainya leher dan tengkuk tampak berkarat dengan daki serta garis gelap. Tentu situasi sebegini memalukan sesiapa saja.

Sedangkan penjagaan leher bukanlah susah. Ia mungkin tidak sehalus kulit wajah yang memerlukan penjagaan rapi, namun masih perlu disental lembut untuk memastikan tiada daki bersarang. Beri perhatian supaya leher nampak sentiasa bersih, jinjang dan segar setiap hari de­ngan amalan beberapa tip berikut:


KESAN gelap mencacatkan penampilan.

HILANGKAN LEMAK

Lemak pada leher adalah musuh utama wanita. Pilih senaman bersesuaian untuk membantu menghilangkan lemak sekitar leher. Jika berkemampuan, dapatkan rawatan di spa atau pusat kecantikan.

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan beberapa gajet khusus untuk membantu mengurut bahagian leher, sekali gus memecahkan lemak di bahagian berkaitan.

SISA SOLEKAN

Setiap kali mandi, pastikan leher diberi perhatian sama banyak dengan wajah. Andai anda menggunakan cecair penanggal mekap untuk mencuci solekan, bersihkan sekali sekitar leher dan tengkuk.

Sama ada anda perasan atau tidak, kebanyakan wanita merapi solekan hingga pangkal leher. Bagi yang tidak bertudung, mereka juga mengoles berus bedak asas sekitar leher untuk menyempurnakan penampilan. Mana mung­kin kawasan ini dibersih­kan dengan sabun mandi semata-mata. Beri perawatan setara dengan wajah untuk mengelak masalah liang pori tersumbat.

TABIR SURIA

Sama seperti amalan mencuci sisa solekan, ja­ngan tertumpu pada wajah saja. Tambahan jika anda tidak bertudung. Pastikan krim tabir suria disapu rata sekitar leher dan tengkuk.

Adalah pelik dan memalukan jika wajah anda nampak cerah, putih berseri, sedangkan leher dan tengkuk hitam terbakar.

SEMBUR PENYEGAR

Kalau sudah namanya kulit, pasti ada liang pori yang mudah tersumbat. Biasakan menyembur penyegar pada bahagian ini untuk mengecilkan pori, sekali gus mengelak masalah jerawat.


LEHER sihat tampak segar.

SAPU PELEMBAP

Pemakaian pelembap nampak mudah. Tetapi ada cara sepatutnya untuk membantu mengurangkan kesan kedutan pada wajah dan leher. Cara terbaik, sapu pelembap dari bawah ke atas. Kaedah ini juga boleh menjadi sebahagian urutan atau terapi untuk mengembalikan keremajaan wajah.

PUPUR BUAH

Kebanyakan pupur muka di pasaran juga sesuai untuk digunakan di bahagian leher. Bagaimanapun, anda masih boleh menggunakan campuran buah-buahan untuk dijadikan pupur. Elakkan mencampur tepung ke dalam pupur supaya kulit tidak mudah kering.

Tekstur buah yang kasar, tetapi lembut juga sesuai untuk menanggalkan daki serta kulit kering tanpa mencederakan atau meninggalkan kesan kemerahan pada kulit.

URUTAN LEHER

Tidak perlu ke spa atau salun. Memadai dengan menggunakan sedikit minyak zaitun atau aromaterapi, dan urut sekitar leher dalam tempoh 10 hingga 15 minit.

Usai mengurut, bersihkan dengan pencuci wajah dan bilas dengan air suam. Lap kering supaya tidak meninggalkan minyak yang boleh memerang­kap daki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 5:30 AM