PETUA cantik Nur Dania Aminurdin. -Foto AZIAH AZMEE
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


WAJAH menawan, kulit mulus dan bentuk tubuh menarik, lazimnya dianggap bonus terbaik bagi kebanyakan wanita yang memiliki setiap kelebihan ini secara semula jadi.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna wanita lain sukar kelihatan sempurna untuk kepuasan diri mereka. Asalkan ada kesedaran, usaha, disiplin dan nilai positif, setiap individu masih boleh kelihatan menawan dari perspektif tersendiri.

Pertemuan singkat dengan Nur Dania Aminurdin, 22, ketika kempen Posh & Glam di Sunway Velocity Mall Kuala Lumpur bulan lalu, membuka ruang kesempatan untuk mengenali personaliti media sosial ini secara dekat.

Dalam senyum manis, Nur Dania tidak kekok memperkenalkan diri sebagai Danea Ameer. Malah, nama ringkas itulah yang kerap meniti di bibir ramai gadis dan jejaka yang menjadi pengikut setianya di laman Instagram mahupun Twitter.

Kata Nur Dania, dia bukan saja sulung daripada empat beradik, tetapi menjadi puteri tunggal dalam keluarga. Anak kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini juga mempunyai diploma dalam bidang komunikasi korporat dan kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni dan Budaya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Menariknya, wanita muda ini mula menonjolkan diri selepas dilamar Hez Hazmi sebagai heroin video muzik lagu pertamanya berjudul Setiaku.

“Ramai tidak tahu sebenarnya saya mula membina badan sejak usia 19 tahun. Kebanyakan masa memang dihabiskan di gimnasium atau bersenam di rumah. Tujuan utama adalah untuk menaikkan berat badan yang dulu hanya 38 kilogram (kg).

“Berkat usaha dan kesungguhan menjaga pemakanan, saya kini berjaya mengekalkan berat badan ideal iaitu 51kg dengan ketinggian 168 sentimeter (sm),” katanya.

Jelas Nur Dania, dia sedar wanita memang mementingkan kecantikan luaran dan dalaman, tetapi yang membezakan adalah kaedah penjagaan masing-masing.

“Wanita memang selalu inginkan kulit yang cantik. Tapi saya kurang memberi penekanan terhadap penjagaan wajah semata-mata kerana mementingkan latihan rutin yang efektif, pengambilan makanan sihat dan seimbang.

“Bagi saya, semua ini lebih penting kerana memberi impak kepada keanjalan kulit dan menampakkan muka lebih berseri, semula jadi.

Untuk penjagaan wajah, saya senang menggunakan produk organik kerana kulit yang sensitif,” katanya.

Biarpun sibuk, tetap kekal mendisiplinkan diri menjaga keperluan tubuh berikutan mudah penat dengan pelbagai aktiviti kampus dan cabang sosial yang disertai.

“Sejak dulu, memang saya lebih fokus kepada senaman kerana ia membuatkan otak menjadi lebih cerdas dan tubuh cantik serta sihat. Kalau jadual terlalu padat pada hari biasa, saya akan bersenam pada hujung minggu.


NUR DANIA AMINURDIN

“Tidak kira apa pun alasan, saya tetap akan pastikan bersenam sekurang-kurangnya 10 hingga 30 minit. Pada masa sama, saya juga amalkan pengambilan makanan yang seimbang untuk sihat bertenaga,” katanya.

Bercerita mengenai rutin hariannya di rumah, Nur Dania berkata, dia juga sama seperti kebanyakan wanita lain. Setiap pagi, wanita ini akan mencuci muka dahulu sebelum melakukan sebarang aktiviti.

“Pengambilan air putih dan sarapan berkhasiat seperti protein dan buah-buahan segar banyak membantu memberi tenaga kepada tubuh. Jadi, saya amalkan petua tradisi dengan mencampurkan madu dan lemon dalam air kosong untuk detoks dan membantu proses pelawasan, sekali gus dapat mengurangkan berat badan.

“Saya juga jarang mengenakan sebarang solekan apabila keluar rumah kecuali untuk acara tertentu. Oleh itu, apa yang saya buat, pastikan muka dibiarkan bersih untuk memberi ruang ia bebas bernafas.

“Saya hanya gunakan semburan wajah untuk mengelakkan kulit kering dan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong sehari. Kulit berseri biasanya datang daripada penjagaan rapi dan konsisten. Paling utama, sentiasa jaga kebersihan diri,” katanya.

Selain bergantung kepada senaman dan penggunaan produk organik, Nur Dania juga memiliki amalan petua tersendiri yang mungkin jarang didengar atau dikongsi.

“Saya buat pupur menggunakan serbuk kunyit yang dicampurkan bersama air atau yogurt dan sedikit madu. Kemudian, sapukan pada wajah dan tunggu antara 10 hingga 15 minit.

“Pupur ini boleh membantu mengurangkan kedutan dan menyerlah ton kulit. Kemudian, saya juga kerap makan buah delima untuk membantu mendapatkan kulit yang lebih cantik.

“Alhamdulillah, dulu kulit saya memang kerap kelihatan kusam dan kering. Tetapi selepas mengamalkan penjagaan diri yang baik, penggunaan produk daripada bahan semula jadi dan amalan petua tradisi, kulit lebih berseri tanpa perlu kerap bersolek. Malah kesan hitam di bawah mata juga semakin berkurangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 5:00 AM