JALILAH aktif menanam sebagai hobi sejak di bangku sekolah.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Ketika di bangku sekolah rendah lagi, minatnya terhadap bumi hijau sudah bercambah malah melihat kehijauan alam menggamitnya menjadikan menanam pokok sebagai hobi.

Menyifatkan hobi menanam sebagai terapi diri dan memberi ketenangan, selama berpuluh tahun Jalilah Kamis, 52, menjadikan aktiviti itu sebagai rutin harian.

Katanya, hasil yang dituai pula dianggap rezeki kerana tidak perlu lagi mengeluarkan belanja dapur dan duit itu boleh disimpan atau dibelanjakan untuk perkara lain.

“Ketika bersekolah rendah pada 1976, ada dilancarkan kempen bumi hijau untuk mengasuh murid menanam sayuran. Bermula dari itu hingga sekarang minat menanam pokok, sayur dan buah-buahan tidak pernah hilang dari hidup saya.

“Selain itu, banyak manfaat kita peroleh dengan menanam sendiri. Selain mendapat hasil, lebih penting tanaman sendiri bebas racun. Makanan yang kita peroleh juga dari sumber yang bersih dan segar,” katanya.

Menurut wanita yang menetap di Kampung Tersusun Seri Mendapat, Merlimau, Melaka ini, hasil tanaman yang dituai seperti sayuran akan dikongsi bersama jiran tetangga.

Selain mengeratkan silaturahim, baginya amalan berkongsi rezeki juga dituntut dalam agama untuk mengejar pahala.


JAGUNG ditanam di tepi rumah.

Selain tanaman seperti cili, herba dan jagung, Jalilah turut mengusahakan tanaman rebung untuk dikomersialkan di seluruh negara sejak empat tahun lalu.

Katanya, dia menjual rebung madu segar yang siap diproses dan baginya usaha itu bukan kerana keuntungan semata-mata sebaliknya mahu ramai pelanggan yang gemarkan rebung segar menikmatinya tanpa bimbang kandungan bahan awetan dan bebas bahan kimia.

“Kebanyakan rebung yang dijual diawet dan biasanya ada bau kurang menyenangkan. Saya gunakan baja organik dengan membakar daun buluh untuk dijadikan baja,” katanya.

Jalilah berkata, dia beruntung kerana suaminya menyokong hobinya itu walaupun dia tidak berminat dengan aktiviti menanam. Bagaimanapun, selepas suaminya pencen sebagai pegawai tentera, mereka berdua menjadikan bidang pertanian sebagai hobi dan mengisi masa lapang.

Katanya, suami menggalas tugas mengemas kebun yang lebih luas manakala dia mengambil bahagian mengemas taman mini di tepi rumah.

Untuk menambah dan berkongsi ilmu berkaitan pertanian, Jalilah turut menyertai beberapa komuniti kebun di media sosial yang baginya platform terbaik untuk menambah kenalan memiliki minat dan hobi yang sama.

Dalam pada itu, Jalilah turut berkongsi petua penggunaan baja yang betul untuk mempercepatkan pengeluaran buah seawal lapan bulan.


ANTARA tanaman yang tumbuh subur di sekeliling rumah.

“Sejak lima tahun lalu, saya sendiri bereksperimen dengan mencampurkan beberapa jenis baja yang dibeli untuk mempercepatkan pengeluaran buah. Selain itu petua membakar daun di bawah pokok juga menggalakkan pokok berbunga cepat.

“Contohnya, dengan petua ini pokok gajus dapat berbuah dalam tempoh lapan bulan, durian belanda pula dalam tempoh setahun dan 18 bulan untuk cempedak dan nangka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 2:40 PM