KANAK-KANAK asyik bermain anak patung Barbie di ruang meja permainan
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

Sejak 1959, Barbie menjadi mainan ikonik dan kegilaan ramai terutama kanak-kanak perempuan dan seperti satu kemestian untuk memiliki anak patung keluaran syarikat permainan Mattel itu.

Meskipun kanak-kanak kini lebih terdedah dengan gajet dan teknologi terkini, Barbie yang diilhamkan usahawan Amerika Syarikat, Ruth Marianna Handler masih menjadi pilihan. Jadi tidak hairanlah jenama mainan itu masih bertahan sehingga ke hari ini.

Malah, tidak hanya si cilik tetapi peminat Barbie juga terdiri daripada kalangan golongan dewasa yang sebahagiannya sanggup membelanjakan wang simpanan untuk membeli koleksi anak patung berkenaan.

Di sebalik semua itu, ada manfaat yang boleh diperoleh daripada aktiviti bermain anak patung antaranya membantu kanak-kanak berimaginasi, memburu kerjaya impian dan pada masa sama mengeratkan antara hubungan antara anak dan ibu bapa.

Menyedari perkara itu, Mattel menemukan Barbie dengan peminatnya di negara ini menerusi acara Parti Barbie ‘Housewarming’ di Blue Concourse Sunway Pyramid.


PARTI Barbie ‘Housewarming’ berkonsepkan rumah kerjaya impian.

Berkonsepkan Rumah Kerjaya Impian Barbie, acara berlangsung dari 19 hingga 29 Julai lalu itu membolehkan pengunjung bermain pelbagai aktiviti di lima ruang interaktif yang ada iaitu You can be a Top Chef ,You can be an Artist, You can be a Movie Director, You can be a Musician dan You can be Anything.

Pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan selain memanfaatkan meja disediakan untuk bermain anak patung Barbie bersama anak mereka sekali gus berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

Pengurus Cawangan Mattel Asia Tenggara Ivan Franco berkata, pihaknya yakin program seumpama itu dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengetahui potensi diri seterusnya berusaha mencapai cita-cita mereka bermula dari peringkat awal.


IVAN Franco (tiga dari kiri) bersama selebriti Danielle dan tetamu lain ketika perasmian Parti Barbie ‘Housewarming’ .

“Hari ini, kita dapat lihat kanak-kanak terutama perempuan lebih berani untuk ke hadapan dan tidak gentar dengan halangan.

“Begitu juga dengan Barbie yang menjadi simbol inspirasi untuk kanak-kanak merealisasikan impian mereka termasuk dari segi kerjaya.

“Mesej itu yang kami cuba sampaikan menerusi program ini tetapi dengan cara yang lebih santai dan interaktif bersama keluarga,” katanya.

Turut menyerikan acara itu adalah model dan cef selebriti, Danielle Peita Graham dan anaknya, Sophia yang tidak ketinggalan menunjukkan bakat mereka dalam sesi dekorasi kek cawan.


RUANG meja bermain disediakan khas untuk pengunjung bermain anak patung dengan anak mereka.

Rangsang minda kreatif anak

Berkongsi pengalamannya, Danielle berkata, Sophia mula bermain dengan anak patung sejak berumur tiga tahun lagi dan sebagai ibu, dia menganggap mainan itu sebagai objek yang boleh membantu perkembangan anaknya.

Di samping itu, Danielle turut menjadikan anak patung Barbie sebagai antara medium untuk merapatkan hubungannya dengan Sophia terutama pada waktu terluang.

“Banyak kaedah yang boleh digunakan untuk membantu perkembangan anak terutama dari segi pembelajaran di peringkat awal.

“Antaranya dengan aktiviti bermain anak patung kerana dengannya, mereka akan berimaginasi seterusnya menjadi kanak-kanak yang lebih kreatif.

“Itu yang saya cuba lakukan dan ternyata, aktiviti bersama ini mengeratkan hubungan kami berdua. Cuma, saya akan tetapkan waktu bermain bagi memastikan Sophia tidak leka sehingga mengabaikan pelajaran,” katanya.


DANIELLE dan Sophia menyerikan Parti Barbie ‘Housewarming’.

Sementara itu, Roszana Aminuddin, 40, yang juga ibu pelakon kanak-kanak, Qistina Raisah menyokong inisiatif berkenaan kerana memberi platform ibu bapa serta anak masing-masing melakukan aktiviti bersama.

Katanya, ia lebih baik berbanding jika kanak-kanak terlalu didedahkan dengan gajet atau teknologi sehingga tidak menghiraukan perkara yang berlaku di sekeliling.

“Cabaran ibu bapa kini adalah mengawal gerak-geri dan aktiviti yang dilakukan anak terutama jika mereka masih di bawah umur.

“Lebih membimbangkan apabila mereka mudah terpengaruh oleh perkongsian di laman sosial kesan penggunaan gajet yang tidak dikawal.

“Jadi, ibu bapa perlu bijak memainkan peranan dan saya bersyukur kerana dua anak perempuan lebih gemar menghabiskan masa mereka dengan bermain koleksi anak patung Barbie masing-masing,” katanya yang menyokong aktiviti yang membantu perkembangan otak anaknya.


ROSZANA dan anaknya, Qistina Raisah hadir bagi memberikan sokongan.

Yaya Maembong yang juga kakak pelakon Emma Maembong turut berpendapat aktiviti bermain anak patung membantu ibu dan ayah memanfaatkan waktu kualiti bersama anak mereka.

“Anak saya masih kecil jadi dia cenderung bermain anak patung dan juga permainan lain. Namun, saya tidak menafikan permainan juga penting dalam membantu perkembangan kanak-kanak dan ia juga antara medium untuk mereka meneroka sesuatu yang baru,” katanya.


KANAK-KANAK asyik bermain anak patung Barbie di ruang meja permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 3:20 PM