SINDROM patah hati adalah penyakit jantung yang kerap menyerang wanita.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Kesedihan melampau, tekanan besar dalam hidup, disahkan kanser agresif mahupun kehilangan orang tersayang. Dari luaran, wanita mungkin nampak kuat berdepan situasi begini. Namun realitinya, ia boleh memberi kesan besar yang tidak terduga.

Kalau dulu, penyakit jantung kerap dikaitkan dengan lelaki. Banyak punca masalah jantung diberi penekanan termasuk pemakanan tidak seimbang, berat badan berlebihan, gaya hidup tidak sihat, faktor keturunan dan tabiat merokok.

Wanita pula menjalani hidup selesa kerana tergolong dalam kalangan kurang berisiko berikutan memiliki perlindungan daripada hormon estrogen. Bagaimanapun, halnya, wanita masih terdedah kepada masalah jantung, terutama jika mereka berdepan tekanan besar dalam hidup.

Pakar Perunding Kardiologi Hospital Pakar KPJ Tawakkal Dr Zul Hilmi Yaakob berkata, sindrom kardiomiopati takotsubo atau sindrom patah hati adalah penyakit jantung yang kerap menyerang wanita, namun jarang didengar mahupun dibincangkan.

“Takotsubo adalah nama pot yang digunakan orang Jepun untuk menangkap sotong. Bentuk pot ini sama dengan bentuk jantung pesakit yang mengalami sindrom patah hati.

“Mereka yang mengalami sindrom ini lazimnya menunjukkan gejala sama seperti orang yang terkena serangan jantung. Mereka sukar bernafas, mengalami sakit dada dan berpeluh.

“Dalam situasi ini, pesakit memang akan terus ke hospital. Apabila tiba di ruang kecemasan, anggota perubatan akan menjalankan pemeriksaan menggunakan mesin elektrokardiogram (ECG) untuk melihat aktiviti elektrik jantung dan ujian darah. Kedua-dua prosedur dan simptom dialami pesakit biasanya memang akan menunjukkan tanda serangan jantung.

“Sehinggalah pesakit dirujuk ke makmal jantung invasif. Di sini, pesakit perlu menjalani prosedur angiogram untuk melihat sama ada wujud saluran darah tersumbat,” katanya.


DR Zul Hilmi menerangkan mengenai sindrom takotsubo.

Jelas Dr Zul Hilmi, dalam kebanyakan kes, mereka yang dirujuk ke hospital kerana simptom serangan jantung dikesan mengalami masalah salur darah tersumbat atau sempit.

“Keadaan salur darah tersumbat atau ST-Elevation Myocardial Infarction (STEMI) adalah serangan jantung yang sangat serius. Jika salur darah dalam jantung yang membekalkan oksigen tersumbat sepenuhnya, keadaan ini boleh membawa maut secara mengejut.

“Berbeza dengan sindrom takotsubo, berdasarkan petunjuk pada pewarna yang disuntik ke dalam salur darah ketika prosedur angiogram tidak menunjukkan tanda-tanda salur tersumbat atau sempit. Namun, mereka masih mengalami simptom sama seperti serangan jantung.

“Inilah permulaan untuk kita kesan sindrom takotsubo. Beberapa siri ujian khas akan dilakukan sebelum ia disahkan. Kita akan masukkan sejenis tiub ke dalam bahagian jantung dan menyuntik warna untuk melihat pergerakan otot jantung. Sekiranya jantung membentuk takotsubo ketika mengepam, pesakit akan dirawat sebagai penghidap sindrom terbabit,” katanya.


BENTUK jantung yang dikatakan menyerupai takotsubo

Serang wanita tertekan

Menjelas lanjut, Dr Zul Hilmi berkata, sindrom takotsubo begitu hampir dengan wanita berusia 50 tahun ke atas atau mereka yang berdepan tekanan emosi serta fizikal dalam hidup.

“Menurut statistik, kira-kira 90 peratus pesakit sindrom patah hati ini terdiri daripada wanita dan 80 peratus daripadanya adalah mereka yang berumur 50 tahun ke atas.

“Jantung takotsubo dikenal pasti apabila bahagian bawahnya (apeks) tidak bergerak. Jika dibandingkan dengan keadaan normal, otot jantung akan mengecut ketika mengepam, tetapi apeks kekal dalam bentuk belon.

“Inilah yang menyebabkan jantung lemah dan pesakit sukar hendak bernafas. Kadangkala, sampai air masuk ke dalam paru-paru. Dalam kes ini, kita akan beri mereka ubat untuk merawat kegagalan jantung,” katanya.

Ditanya punca lain sindrom patah hati, Dr Zul Hilmi berkata, ia langsung tidak berkait dengan pemakanan, berat badan pesakit, gaya hidup mahupun faktor merokok.

“Satu-satunya punca yang dikenal pasti hari ini adalah tekanan berlebihan. Tekanan ini boleh dibahagikan kepada dua, sama ada emosi (psikologi) atau fizikal. Orang yang baru menjalani pembedahan besar atau menghidap penyakit kronik, lazimnya berdepan tekanan fizikal.

“Tetapi, kebanyakan kes yang saya jumpa dan rawat adalah membabitkan tekanan emosi. Ada pesakit yang mengalami sindrom patah hati selepas berdepan kematian mengejutkan, kehilangan orang tersayang, menjadi mangsa penderaan rumah tangga atau baru didiagnos kanser tahap yang sukar hendak diselamatkan.

“Tiada siapa tahu punca sebenar penyakit. Namun, mengikut teorinya, apabila kita dalam keadaan tertekan, banyak hormon adrenalin akan dilepaskan dalam darah. Ini secara tidak langsung mempengaruhi jantung,” katanya.

Biarpun banyak andaian mengenai punca dan penyebab masalah jantung takotsubo, Dr Zul Hilmi berkata, masih ada berita baik mengenai sindrom patah hati. Pesakit mungkin berdepan kesakitan berulang, namun masih boleh sembuh dengan rawatan dan pengambilan ubat yang betul.

“Ia bukan penyakit jantung kekal, tetapi pesakit masih boleh diserang lagi pada masa depan. Apa yang penting, dapatkan rawatan lanjut dan ubat, kemudian pesakit ini akan sembuh kembali.

“Berbeza dengan individu yang alami serangan jantung, jika lambat dirawat, otot akan meninggalkan parut dan pesakit tidak akan sembuh sepenuhnya. Jantung takotsubo pula boleh baik dengan sendiri kerana ia bukan penyakit salur darah tetapi otot jantung itu sendiri yang lemah,” katanya.


APEKS yang membentuk belon.

Tambahnya lagi, mungkin wanita lebih ramai menghidapi sindrom patah hati kerana mereka cenderung memberi reaksi emosi berbanding lelaki, ketika berdepan masalah.

“Ada banyak lagi teori dan kemungkinan, tapi kita masih tidak tahu punca sebenar. Statistik juga menunjukkan 80 peratus penghidap adalah wanita berusia 50 tahun ke atas. Mungkin ketika muda, wanita dilindungi hormon estrogen. Apabila sampai umur 50 tahun dan menopaus, paras hormon estrogen menjadi sangat rendah. Jadi, wanita mudah terdedah kepada serangan jantung.

“Namun, masih ada 20 peratus pesakit wanita berusia kurang 50 tahun. Secara tidak langsung, ia memberi gambaran bahawa satu daripada lima orang muda masih terdedah kepada sindrom patah hati,” katanya.

Mengambil kira situasi di Malaysia, Dr Zul Hilmi menjelaskan, sindrom patah hati masih jarang ditemui berbanding jumlah kes serangan jantung. Keadaan ini dipercayai mungkin kerana ramai wanita tidak menjalani pemeriksaan lanjut di hospital yang mempunyai fasiliti kesihatan jantung yang lengkap.

“Saya percaya, ada banyak kes yang tidak dirujuk kepada pakar. Mereka sepatutnya datang untuk menjalani prosedur angiogram, bertemu pakar jantung dan barulah boleh kita boleh kesan. Ramai wanita yang ada simptom penyakit ini hanya mendapatkan rawatan hingga ke peringkat hospital daerah.

“Justeru, mereka mungkin hanya didiagnos lemah jantung atau mendapat serangan jantung dan diberi rawatan dan ubat serta pulih dalam tempoh dua hingga empat minggu,” katanya.

“Apapun, saya juga percaya bahawa penyakit ini mungkin tidak ada kaitan dengan jenis tekanan, tetapi bagaimana seorang itu menangani tekanan yang datang dalam hidup mereka. Sesetengah wanita masih kuat biarpun berdepan pergolakan rumah tangga kerana mereka bijak menangani emosi dan tekanan dihadapi.

“Namun demikian, ia mungkin mendatangkan sindrom patah hati buat wanita lain yang berdepan situasi serupa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 3:23 PM