SITI HAJAR menunjukkan cara cucian rambut dengan betul.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Memasuki usia 40 tahun ke atas, sedar atau tidak beberapa perubahan fizikal mula menghampiri. Suka atau tidak tubuh mula memberikan beberapa tanda penuaan. Antaranya daya penglihatan yang mulai berkurang, kulit semakin kering dan muncul kedutan di sekitar bibir, mata dan dahi.

Bagi wanita sudah semestinya ingatan terhadap menopaus akan membuatkan segelintir individu menjadi tertekan. Ini ditambah dengan penurunan hormon estrogen sehingga membuatkan emosi tidak menentu manakala tubuh sering terasa panas.

Menurut penulis buku Quantum Love, Laura Berman, masalah penuaan sering menjadi momokan menakutkan khususnya wanita. Bahkan topik seperti ini kerap dielakkan untuk dibicarakan secara terbuka terutama apabila berhadapan dengan masalah rambut seperti keguguran melampau, uban dan juga rambut kering.

“Masalah rambut berkaitan kulit kepala sebenarnya berlaku kepada sesiapa saja. Ia dikaitkan dengan faktor penuaan, pemakanan dan alam sekitar yang menyebabkan rambut mulai gugur. Apabila sampai peringkat ini wanita perlu mendapatkan rawatan di salun bagi mencegah berlaku kebotakan,” demikian menurut pemilik Siti Salun Al-Zahrah, Siti Hajar Jamil di Bangi Gateway, Bangi.

Katanya, masalah rambut tidak datang secara tiba-tiba sebaliknya bermula dengan masalah kelemumur pada usia muda, sekali gus menyebabkan kulit kepala kering dan rambut gugur perlahan-lahan. Jika dibiarkan tanpa rawatan rambut yang dianggap mahkota wanita akan hilang serinya.

“Ramai wanita sanggup mengeluarkan duit untuk rawatan wajah, tetapi agak berkira apabila membabitkan penjagaan rambut. Pada hal walau usia meningkat penjagaan rambut tidak boleh diabaikan terutama yang sudah berumah tangga,” ulasnya.

Selain rawatan, pastikan rambut dipotong pendek paras bahu untuk memudahkan penjagaan. Untuk cucian yang betul fokus pada kulit kepala menggunakan jumlah syampu mencukupi.


GUNAKAN jumlah syampu mencukupi untuk mencuci rambut.

“Basahkan kulit kepala kemudian sapukan syampu di setiap bahagian rambut. Buat urutan menggunakan syampu khas untuk masalah rambut berbeza. Kemudian bilas dan sapukan perapi. Cuci rambut dua kali sehari bergantung kepada keperluan atau jenis pekerjaan individu. Sekiranya rambut terdedah kepada debu dan asap sebaiknya dicuci setiap hari pada waktu petang.

“Kemudian keringkan menggunakan pengering rambut bervoltan tinggi supaya rambut cukup kering. Amalkan juga memakai lulur rambut sebagai rawatan di rumah. Ini kerana perapi hanya berfungsi untuk mencantikkan, berbeza dengan lulur kerana ia dapat merawat rambut,” katanya.

Berpengalaman dalam bidang dandanan rambut selama 36 tahun, jelas Siti Hajar, dia sering berhadapan wanita yang tidak tahu menjaga rambut dan membiarkan rambut berbau dan busuk. Ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya mereka konsisten mencuci rambut dan mendapatkan rawatan khas di salun masalah ini dapat dielakkan.

Kesalahan memilih syampu juga turut menjadi penyebab rambut gugur dan wanita tidak mempunyai ilmu mengenainya.

“Bayangkan selama bertahun-tahun menggunakan syampu dan perapi mengandungi bahan kimia sudah pasti ia menjadi penyumbang kepada keguguran rambut. Oleh sebab itu saya menggalakkan kaum hawa menjaga rambut sama seperti menjaga wajah.

“Jika sanggup menghabiskan duit membuat rawatan kulit atau membeli kosmetik apalah salahnya mendapatkan pandangan daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini,” katanya.


BUAT rawatan khas di salun pada setiap bulan.

Selain itu pilih makanan berkhasiat dan semula jadi terutama sayur-sayuran hijau dan buah-buahan kerana ia turut mempengaruhi kesuburan rambut. Elak mengambil makanan segera, berminyak dan berlemak.

“Sekali-sekala gunakan cara tradisional seperti santan bagi menghilangkan kelemumur, daun bunga raya untuk rambut berminyak dan limau bagi cucian rambut setiap hari. Petua lama ini amat baik diamalkan wanita ,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 4:46 PM
Skip this ad x