GIGIH dan disiplin dalam menjalankan tugasnya.
NOR Azura membuktikan kerjaya tukang urut antara satu kerjaya yang boleh dibanggakan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Misi dan matlamatnya jelas, wanita ini berusaha dan berharap terapi alternatif dan spa bakal diserapkan sebagai antara pilihan rawatan di hospital negara ini suatu hari nanti.

Pada masa sama, dia juga mahu membuktikan kerjaya ‘tukang urut’ yang disandangnya adalah yang boleh dibanggakan terutama apabila individu terbabit dalam bidang berkenaan mempunyai ilmu, kemahiran serta kelulusan.

Berusaha untuk tidak menganggur selepas tamat pengajian, pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis Dan Seni Reka, Seni Reka Logam Halus (Rekaan Barang Kemas) Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini bijak mencari peluang berdasarkan minat diri dan keperluan semasa.

Nor Azura Idris, 29, berkata, dia sedar peluang untuk memperoleh pekerjaan dalam bidang rekaan barang kemas agak terhad membuatkan dia sentiasa berfikir kaedah terbaik untuk menjana pendapatan selepas tamat pengajian.

“Disebabkan itu, saya mula mempelbagaikan kemahiran dengan menyertai bermacam kelas dan kursus dalam bidang kecantikan serta kesihatan sejak di universiti.

“Saya perlu pantas dan selepas yakin dengan kemahiran yang dimiliki, saya mula menjalankan perkhidmatan spa bergerak, perunding imej dan rawatan bekam bagi menjana pendapatan sampingan ketika itu,” katanya.

Menurut Nor Azura, selepas tamat pengajian, dia pernah berkhidmat sebagai pereka grafik di sebuah syarikat swasta namun mengambil keputusan berhenti bekerja bagi memberi sepenuh fokus dalam bidang diminati.


TIDAK malu dengan kerjaya sebagai tukang urut.

“Bermula dari detik itu hingga kini, saya terus menjalankan perkhidmatan ini. Tiada sedikit pun rasa malu malah gembira kerana dapat membantu ramai wanita untuk tampil cantik dan sihat.

“Bagi menambah keyakinan pelanggan selain ilmu sendiri, saya juga mempunyai kelayakan dari Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) iaitu SKM Tahap Tiga Urut Terapi, SKM Tahap Tiga Terapi Bekam Angin, SKM Tahap Dua Perkhidmatan Estetik dan Sijil Kursus Urutan Penjagaan Selepas Bersalin Kolej Komuniti Selayang,” ujarnya.

Kata Nor Azura, lebih membanggakan, dia kini sudah berada pada tahap Jurulatih, Pegawai Penilai dan Perunding SKM.

Habiskan banyak masa tambah ilmu

Anak kelahiran Kuantan, Pahang ini mengakui selain sibuk menguruskan kerjayanya dalam bidang terapi alternatif dan spa bergerak Azura Spa & Wellness di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, dia juga sering menghadiri pelbagai jenis kursus dan seminar berkaitan.

Menurutnya, selain menambah ilmu, dia sememangnya suka bergerak bebas dan bertemu dengan ramai kenalan baru.

“Saya sudah menyertai lebih 50 kursus, kelas dan seminar dalam bidang ini. Ia meningkatkan semangat saya untuk terus memberi khidmat terbaik kepada pelanggan.

“Saya mahu buktikan kerjaya yang saya ceburi ini juga tidak mudah dan perlukan ilmu serta kemahiran yang diiktiraf. Ini menyebabkan saya tidak berhenti menambah ilmu,” katanya.


BANYAK menghadiri pelbagai kursus dan seminar berkaitan.

Nor Azura berkata, bagi memastikan kerjaya diceburi itu mampu bertahan lama, dia juga perlu menambah ilmu dalam bidang perubatan moden.

“Terbaru, saya baru saja menyertai ‘Nusantara Wound Care Rapid Wound Healing With Excellent Knowledge’ bersama 350 doktor dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Malah sebelum ini, saya juga menghadiri kursus di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia bagi membantu dan mengetahui rawatan khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU),” ujarnya.

Menurut Nor Azura, selain mengharapkan kerjayanya kini dapat membantu individu memerlukan, dia juga mempunyai matlamat atau misi besar untuk dicapai.

“Walaupun bukan mudah namun saya tetap akan cuba. Saya berharap bidang alternatif dan spa kesihatan boleh diserap ke dalam hospital kerana ia antara bidang yang sesuai untuk memberi rawatan berkualiti kepada pesakit di Malaysia.

“Contoh paling jelas, pesakit tertentu di hospital boleh diurut menggunakan teknik urutan betul selain menerima rawatan doktor bagi membantu mempercepatkan proses penyembuhan,” katanya.


BANYAK menghadiri pelbagai kursus dan seminar berkaitan.

Katanya, disebabkan itu, buat masa ini, dia mengenal pasti struktur keperluan pelanggan sebelum menjalankan rawatan.

“Saya juga mendapatkan maklumat sekiranya pelanggan sedang mengambil ubat-ubatan hospital, bacaan gula, tekanan darah dan tahap kesihatan kerana semua itu penting sebelum menentukan jenis rawatan.

“Saya berharap apa yang saya impikan itu akan menjadi kenyataan dan walaupun sukar, saya juga berusaha untuk merealisasikan impian itu,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 4:09 PM