NAIMEY berusaha gigih untuk berjaya dalam bidang diceburi.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Sebut saja namanya, hampir kebanyakan usahawan baru mahupun lama mengenali wanita berjiwa kental ini. Walaupun berjaya mencapai impian dalam bidang perniagaan, dia terkenal dengan sifat merendah diri.

Dia juga dia tidak malu mengakui berasal dari kawasan pedalaman yang tidak mempunyai pelbagai kemudahan dan pembangunan pesat seperti di bandar besar.

Malah dia juga tidak dilahirkan dalam kalangan keluarga yang terbabit dalam bidang perniagaan. Namun itu semua sedikit pun tidak menjadi penghalang buat wanita yang mempunyai personaliti menarik ini untuk berjaya mengusahakan empayar perniagaan menerusi jenamanya sendiri.

Berasal dari Jeli, Kelantan, anak kedua daripada lima beradik ini sememangnya berjaya membuktikan sesiapa saja mampu berjaya asalkan mempunyai keazaman serta usaha tanpa mengenal erti putus asa.

Nyata, pemilik nama Naimey Abd Jalil yang bijak menyusun setiap patah perkataan ketika berbicara mampu tersenyum bangga selepas penat lelahnya sejak 2013 mengusahakan perniagaan berasaskan fesyen bersama teman karibnya semakin membuahkan hasil kini.

Sebut saja jenamanya, hampir kebanyakan wanita terutama yang aktif di laman sosial Facebook dan Instagram serta berusia lingkungan 20-an hingga 30-an mengenali jenama diusahakan wanita ini.

Menceritakan detik permulaan terbabit dalam bidang perniagaan, Naimey mengakui terlalu banyak suka duka dan dugaan yang dihadapinya terutama ketika tahun awal pembabitannya.

“Ketika itu saya baru saja memulakan kerjaya sebagai pensyarah kontrak di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kelantan.

“Pada masa sama, saya juga melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di sebuah IPTA di Kuala Lumpur yang memerlukan saya untuk berulang-alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur hampir setiap minggu,” ujarnya.

Menurutnya, perjalanan dari Kelantan ke ibu kota nyata menelan perbelanjaan yang besar selain perlu menampung kos pembelajaran. Ia menjadi penyebab utama dia mula memikirkan jalan untuk menambah pendapatan.

“Ketika itu saya sering bertemu rakan karib dari kampung yang bekerja di Kuala Lumpur. Dia mengajak saya untuk berniaga.

“Dengan semangat membara dan berbekalkan sedikit wang simpanan, saya bersetuju dengan menjalankan perniagaan borong pakaian di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur,” katanya.

Jelas keputusannya itu menjadi detik permulaan kepadanya menerima segala ujian dan dugaan untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

“Ketika itu saya yakin berbekalkan ilmu bergelar graduan dalam bidang pengurusan perniagaan akan memudahkan saya menjalankan perniagaan, namun sangkaan itu meleset apabila satu persatu dugaan perlu ditempuh.

“Hakikatnya, bukan mudah menjalankan perniagaan terutama untuk memperkenalkan jenama baru kepada masyarakat di negara ini,” ujarnya.


NAIMEY berjaya membuktikan sesiapa saja mampu berjaya.

Masak sendiri untuk berjimat

Modal termasuk wang antara dugaan utama ketika baru memulakan perniagaan. Disebabkan itu, dia dan teman karibnya, Nik Zalina Nik Abdullah yang bersama-sama menjalankan perniagaan ini perlu menyusun perbelanjaan harian sebaik mungkin.

“Saya dan Nik tidak makan di luar atau membeli makanan dari restoran atau kedai makan untuk berjimat. Setiap hari sebelum ke kedai di Jalan Kenanga, kami masak nasi dan sejenis lauk untuk dijadikan sarapan pagi, makan tengah hari dan malam.

“Bagi saya, setiap perbelanjaan perlu dikawal untuk memastikan saya dan Nik dapat meneruskan perniagaan serta kehidupan di ibu kota ini,” ujarnya.

Menurut Naimey, kekurangan modal juga menjadi halangan utama kepadanya untuk melakukan pemasaran bagi mempromosikan jenamanya ketika itu.

“Pada awal 2013, penjualan secara dalam talian tidaklah begitu memberangsangkan seperti kini menyebabkan saya semakin ketandusan idea untuk mempromosikan pakaian.

“Menitis air mata apabila hampir setiap hari tidak ada seorang pun pelanggan yang datang membeli pakaian jenama kami yang dijalankan secara borong,” katanya.

Naimey berkata, memikirkan stok pakaian yang banyak di kedai serta tidak berusik, dia bersama rakannya tekad menjaja pakaian jenamanya dari satu kedai ke satu kedai bagi memperkenalkannya kepada umum.

“Saya tebalkan muka dan bawa stok baju di dalam kereta sebelum berhenti di kedai di beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu serta Pahang untuk mempromosikan jenama saya.

“Alhamdulillah, bermula dari situ, jenama saya mula dikenali dan ada pelanggan yang berminat menjadi ejen serta membeli secara borong,” ujarnya.

Benar kata orang, usaha tanpa putus asa pasti akhirnya membuahkan hasil membanggakan dan ia berjaya dibuktikan Naimey dan Nik Zalina.


NAIMEY dan Nik Zalina berganding bahu mengusahakan perniagaan dalam bidang fesyen.

“Selepas jenama mula dikenali umum, saya membuka butik pakaian di Kota Damansara sebelum ia berpindah ke tiga cawangan di Shah Alam, Bangi dan di Kota Bahru, Kelantan khusus untuk pelanggan yang berminat membeli pakaian secara runcit.

“Pada masa sama, penjualan secara dalam talian semakin meluas dan ia memudahkan jenama ini dikenali dan mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya.

Tambahnya, dia sangat bersyukur berkat usaha dan semangat tidak putus asa membuatkan dia mampu mengecapi kejayaan kini.

“Selain usaha diri sendiri, saya tidak melupakan sokongan serta doa ibu bapa yang menjadi penguat semangat. Apa yang saya kecapi kini tidak mungkin tercapai tanpa doa dan restu ibu bapa kerana merekalah segala-galanya bagi saya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 3:02 PM