ANTARA pengisian program Joy Schools hasil kerjasama Young Chefs Academy dan Mondelez Malaysia.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Hal yang paling kerap diberi perhatian adalah mengenai diet dan pemakanan mereka.

Tanyakan kepada ibu bapa di seluruh dunia, mereka pasti bersetuju pemakanan yang baik adalah penting untuk memastikan fizikal dan mental kanak-kanak mahupun remaja berkembang secara sihat serta menyeluruh.

Namun begitu, pelaksanaannya mungkin agak sukar di negara yang mempunyai kepelbagaian jenis makanan seperti Malaysia.

Menurut Ketua Program Nutrisi dan Kesejahteraan Universiti UCSI Kuala Lumpur Dr Satvinder Kaur, terdapat beban berganda dalam menangani isu kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

“Percaya atau tidak, kanak-kanak di negara ini sebenarnya berdepan masalah sama ada kekurangan mahupun berlebihan nutrisi. Berdasarkan kajian 2015, sekurang-kurangnya 11.9 peratus kanak-kanak di sini diklasifikasikan sebagai obesiti dan 13 peratus tidak mempunyai berat badan mencukupi.

“Untuk menangani hal ini, kami percaya persekitaran memainkan peranan besar. Sejak usia muda, ibu bapa contoh terbaik untuk kanak-kanak. Mereka memainkan peranan penting dalam memastikan anak mendapatkan bekalan nutrien yang tepat.

“Namun jika anak sentiasa terdedah kepada makanan ringan dan sumber nutrisi tidak sihat di rumah, mereka mungkin beranggapan apa yang dinikmati setiap hari itu adalah hidangan selesa hingga mengabaikan alternatif yang lebih sihat seperti buah-buahan,” katanya ketika bercakap di sekolah anak angkat pertama program Joy Schools, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa, Shah Alam, baru-baru ini.


PELAJAR diberi pendedahan mengenai pemakanan sihat.

Jelas Dr Satvinder, biarpun bimbang dengan perangkaan dalam hasil kajian berkenaan, beliau menegaskan memupuk tabiat pemakanan sihat dalam kalangan kanak-kanak bukanlah sukar. Ikuti perkongsian empat perkara mudah yang boleh dilakukan ibu bapa untuk mendidik anak mengamalkan pemakanan sihat.

1. Mengajar sayur adalah lazat

Ibu bapa digalakkan memasukkan sayur-sayuran dalam hidangan untuk menarik minat dan menambat selera anak. Terangkan kepada mereka sayur-sayuran boleh menjadi enak untuk dinikmati dengan rasanya yang tersendiri.

Program Garden-to-Table yang juga sebahagian daripada program Joy Schools memberi pendidikan kepada kanak-kanak cara yang mudah untuk mendapatkan bahan segar melalui sistem tanaman Joy Garden (kebun sayur berkonsep tanaman mudah) di sekolah mereka. Melalui konsep ini, kanak-kanak lebih cenderung untuk makan sayur yang ditanam dan dipetik dari hasil titik peluh mereka sendiri.

Mereka juga mungkin berminat makan buah dan sayur jika dipotong atau dihidangkan dalam bentuk haiwan mahupun corak lain yang lebih menarik. Ini secara tidak langsung memberikan ruang untuk anak dan ibu meningkatkan kreativiti masing-masing.

Selain itu, pastikan anak tidak terganggu ketika makan dengan memberi alatan media atau gajet. Hadkan penggunaan gajet secara beransur-ansur dan elakkan mereka daripada memandang skrin semasa makan untuk memastikan anak dapat mengenali apa yang dimakan dan menentukan rasa yang disukai atau sebaliknya.

2. Mengajar mengenai kawalan pengambilan makanan

Dalam menyediakan diet seimbang, kesederhanaan dan kepelbagaian adalah kunci utama. Cara mudah untuk melakukan ini adalah dengan menggunakan konsep pinggan kesihatan iaitu suku, suku, separuh. Kanak-kanak perlu mempraktikkan mengambil makanan di atas pinggan mengikut pembahagiannya iaitu satu perempat nasi, satu perempat makanan berasaskan protein (ayam, telur, ikan, kekacang) dan separuh pinggan buah dan sayur-sayuran.

Salah satu cara yang boleh dipertimbangkan adalah dengan membeli pinggan atau sudu menarik dan mesra kanak-kanak. Ini membolehkan mereka bermain dengan makanan, sekali gus mengajar cara menyediakan makanan sendiri dengan merujuk kepada konsep pinggan kesihatan. Untuk makan tengah hari yang dibungkus, ibu bapa perlu memberi tumpuan kepada penyediaan hidangan seperti sandwic, ayam atau tuna yang mudah disediakan.

Salah satu bahagian dalam program Joy Schools adalah Pendidikan Nutrisi. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan dengan mendidik pelajar terhadap kebiasaan mengambil pemakanan sihat dan pemilihan makanan yang seimbang.


ANTARA pengisian program Joy Schools hasil kerjasama Young Chefs Academy dan Mondelez Malaysia.

3. Penyediaan makanan kegemaran tempatan versi sihat

Anda tidak perlu berhenti menghidangkan nasi goreng atau nasi lemak. Memadai dengan mengurangkan penggunaan minyak, garam dan gula, anda sudah boleh membuatkan makanan itu menjadi lebih sihat. Sebagai contoh, masukkan lebih banyak sayur-sayuran, ayam atau tofu dalam menyediakan nasi goreng agar lebih menyihatkan.

Melalui pelaksanaan program Joy Schools di SK Padang Jawa, menu kantin dirombak dengan memasukkan hidangan yang lebih sihat dan bervariasi untuk kanak-kanak seperti burger yang dibuat dengan isi ayam segar. Menu yang diubahsuai ini diterima dengan baik oleh para pelajar dan habis dijual dengan cepat pada hari pelancaran.

Walaupun kedengaran agak mudah untuk mengawal pengambilan makanan anak di rumah, ia mungkin mencabar apabila anak terdedah kepada pemakanan di luar.

Kajian Suruhanjaya Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS) pada 2016 mendapati satu dari 10 kanak-kanak memilih untuk makan makanan segera pada setiap minggu. Justeru, Ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mereka mengawal pemakanan mereka apabila keluar dari rumah dan menggalakkan mereka memilih alternatif yang lebih sihat.

4. Sesuaikan pemakanan dengan umur

Apabila umur anak meningkat, pilihan dan keperluan pemakanan mereka juga turut berubah. Rancangan pemakanan yang baik harus mempunyai keseimbangan nutrisi, mudah didapati dan sesuai dengan pilihan anak-anak pada masa itu. Melengkapi dapur dengan makanan ringan yang mudah dicapai seperti bar granola juga menggalakkan anak-anak untuk mendapatkan makanan selesa yang lebih sihat.

Tabiat makan yang sihat bukan saja terhad kepada pilihan makanan, tetapi turut berkait dengan jadual pemakanan sepatutnya. Berdasarkan kajian SEANUTS juga, hanya 56 peratus kanak-kanak mendapatkan tiga hidangan utama dalam sehari.

Dalam penyediaan makanan, khususnya membabitkan anak lebih kecil, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan sajian dihidangkan pada waktu yang ditetapkan. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan mengajar anak untuk membantu dalam penyediaan makanan, memberi contoh terbaik dalam menguatkan ikatan keluarga serta tabiat pemakanan makan yang sihat.

Program Joy Schools yang dimulakan pada 2011 adalah inisiatif pelaburan masyarakat di rantai Asia Tenggara dengan tujuan memperkasakan kanak-kanak sekolah menerusi langkah positif ke arah kesejahteraan diri. Sejak pelancaran, program ini sudah memberi manfaat kepada 11,500 pelajar di 25 buah sekolah di Filipina, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Vietnam.


SEBAHAGIAN murid bergambar kenangan pada Joy Sharing Day, satu lagi cabang inisiatif Joy Schools.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 3:03 PM