SOLEKAN patung ala Malaysia ini tidak keterlaluan berbanding jenis solekan sama yang turut popular di Indonesia dan negara Barat.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Tampil dengan wajah sempurna dan menawan persis patung bukan lagi angan-angan jika anda menguasai teknik mudah solekan ini.

Mungkin ramai beranggapan solekan bak patung memerlukan kemahiran tertentu dan agak rumit, sebaliknya ia tidaklah sesukar yang disangka.

Ramai gadis masa kini yang gemarkan solekan gaya sebegitu bagi menonjolkan wajah yang ceria, muda dan menawan. Pemilihan warna yang sesuai juga sangat penting agar ia tampak senada dengan gaya diinginkan dan personaliti diri sendiri.

Bagi memberikan idea dan cara mudah menampilkan solekan patung ala Malaysia yang lebih ringkas dan manis kala bersantai, ikuti langkah demi langkah ditunjukkan oleh jurusolek Fazleen Fazel. Kini impian anda tampil bak patung bukan lagi mimpi.

Menurutnya, solekan patung ala Malaysia ini tidak keterlaluan berbanding jenis solekan sama yang turut popular di Indonesia dan negara Barat malah lebih lembut agar tidak mengubah wajah asal secara drastik.

"Teknik yang saya gunakan ini sesuai untuk mereka yang tidak gemarkan solekan tebal dan berlapis-lapis. Nampak saja hasil solekan macam tebal tapi yang penting masih kekalkan keaslian wajah.

"Sesetengah orang sangka akan ambil masa panjang untuk sempurnakan solekan ini tapi sebenarnya ia boleh disiapkan dengan pantas cuma teknik perlu betul mengikut kulit," katanya.

Menurut Fazleen, sebelum mengenakan sebarang mekap, sapuan lembapan dan primer sangat penting bagi memastikan kulit tidak kering dan merekah sekali gus membantu memberi solekan tahan lebih lama.

Selain itu, teknik mencampurkan bedak asas cecair dengan pelembap dan primer untuk mendapatkan solekan yang lancar serta cantik. Serum juga digalakkan untuk dicampur bersama.

Solekan ini juga lebih menumpukan pada bahagian mata dan anda boleh bermain dengan kreativiti termasuk menggunakan pengilat (glitter) untuk mata agar tampak bercahaya dan menyerlah.

"Pilihan bedak asas jenis cecair mudah disesuaikan dengan warna kulit berbeza. Namun, sebaik-baiknya pilih satu ton yang lebih cerah daripada kulit dan ratakan dengan teknik menekap," katanya.

Tonjolkan wajah berseri dengan sedikit sapuan penyerlah pada bawah mata, dahi, hidung, tepi mulut dan dagu. Ia juga membantu memberi kesan struktur wajah yang lebih jelas dan lebih menonjol dalam rakaman gambar.

Penggunaan teknik bayangan juga sangat penting supaya bahagian seperti hidung, tulang pipi, rahang dan tepi muka serta dahi kelihatan lebih menyerlah.

Lebihkan warna manis seperti merah jambu, pic, jingga dan tanah jenis bebas kilau sebagai asas pada kelopak mata bagi membantu menyerlahkan mata menawan diikuti sapuan pengilat. Celak berwarna krim atau merah jambu lembut digalakkan supaya mata kelihatan lebih besar dan menyerlah.

Kemudian, pemerah pipi rona merah jambu disapu di bahagian pipi dan tulang pipi diikuti rona merah jambu lebih lembut pada bahagian bawah mata agar mata tampak lebih bermaya.

Jelasnya, untuk bahagian kening, sekiranya kening jenis tebal dan hitam, digalakkan melembutkannya dengan pensel kening rona coklat manakala untuk si kening nipis, sederhanakan kelebaran kening supaya tidak nampak kaku.

Solekan diakhiri dengan olesan gincu menggunakan teknik ombre atau dua ton warna.

Langkah-langkah


1. WAJAH sebelum disolek.

2. RATAKAN bedak asas yang dicampur pelembap dan primer di seluruh wajah.

3. GUNAKAN penyamar noda untuk menutup cela di kulit.

4. SAPUAN pembayang mata bebas kilau sebagai asas diikuti pengilat.

5. TEKNIK bayangan untuk menonjolkan bahagian wajah.

6. PEMERAH pipi disapu di sekitar tulang pipi dan bawah mata.

7. KEMASKAN kening.

8. PAKAI maskara diikuti bulu mata palsu.

9. OLES gincu bibir dengan teknik ombre.

10. WAJAH siap disolek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 2:50 PM