JUARA Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah 2018 peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Nur Fatini (kiri) dan Nur Afiqah selepas majlis penyampaian hadiah.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Dua hidangan sihat nasi goreng tomyam bersama ayam paprik dan ikan cukup rasa dihiasi salad Maggi goreng menarik perhatian juri sekali gus melayakkan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1) bergelar juara dalam Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah 2018 peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Memberikan kelainan kepada rasa masakan peserta, Nur Fatini Mohd Nizam dan Nur Afiqah Rosli, 15, menjelaskan mereka tidak menyangka dinobatkan sebagai juara kerana pesaing lain turut memberikan persembahan sengit dengan sajian unik masing-masing.

“Sejak mula pertandingan kami berpegang kepada prinsip perlu menghasilkan makanan sihat dan mengimbangkan bahan mengikut piramid makanan. Kami hanya menggunakan tiga sudu minyak masak selain menambah banyak sayuran dalam hidangan,” kata Nur Fatini.

Ujar Nur Afiqah pula, cabaran bermula pada sesi kedua ketika membuka Kotak Misteri Maggi. Apabila juri mengatakan ada belut, ia sangat mendebarkan.

“Tetapi saat kotak dibuka apabila semua peserta mendapat ikan atau ayam, kami rasa lega. Ternyata ia hanya gimik bagi menambah tekanan kepada peserta. Alhamdulillah berkat berlatih dua kali seminggu menjelang pertandingan dengan sokongan keluarga dan guru yang memberikan tunjuk ajar melayakkan kami muncul juara,” katanya yang memang minat memasak sejak kecil.

Bersedia berhadapan semua pemenang setiap negeri pada peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah Oktober nanti, mereka berjanji akan memberikan persembahan terbaik selain menggunakan kreativiti menghasilkan masakan unik, sedap dan sihat.

“Mungkin kami akan menyediakan hidangan seperti menu yang kami tampilkan hari ini tetapi memberikan sedikit pengubahsuaian mengikut tema pertandingan,” katanya yang menerima wang tunai RM500 bersama barangan Maggi.


ROZAINUM (berdiri lima dari kanan), Liew (dua dari kanan)

Menurut Pengurus Pemasaran Maggi Liew Pooi Wan, selaras tema Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi (MSSC) peringkat akhir Putrajaya, Anda dan Maggi Sajian Kelainan, jenama itu menggalakkan pelajar membuat perubahan positif dengan menyediakan hidangan sihat dan lazat untuk insan tersayang.

“Kami teruja melihat peserta seronok menyediakan pelbagai hidangan. Ternyata kesemua berbakat apabila mampu tampil dengan masakan lazat. Ini dapat dilihat menerusi sajian Kotak Misteri Maggi yang dimasak hanya dalam masa 30 minit menggunakan produk Maggi namun tampil dengan menu yang enak dan pelbagai,” katanya.

Pakar Pemakanan Nestle Malaysia, Nurul Iliani Ahmad menambah setiap pelajar ditekankan mengenai konsep suku-suku-separuh dalam penyediaan hidangan. Jadi mereka tahu mana yang perlu dikurangkan dan diperbanyakkan dalam masakan.

Bagi mengetahui lebih lanjut Nestle turut menyediakan portal pendidikan memasak dan nutrisi bagi menyemai tabiat pemakanan dan memasak yang baik dalam kalangan pelajar.

“Melalui portal ini, pelajar boleh mengakses modul pendidikan mengenai pemakanan, cara memasak yang sihat, resipi untuk sajian makanan lazat dan seimbang serta pelbagai tip berguna.

“Malah, portal ini menandakan tahun pertama Maggi menggunakan platform digital untuk MSSCC apabila peserta menyerahkan penyertaan mereka secara dalam talian,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Rozainum Ahmad, yang turut menyatakan keterujaan atas kerjasama Maggi dan KPM dalam MSSC untuk tahun ke-22.

Ujarnya, mempelajari cara menyediakan masakan sihat sejak kecil bukan saja melengkapkan pelajar dengan kemahiran berharga tetapi persiapan menjaga kesihatan dan kualiti hidup apabila mereka dewasa kelak.

“Justeru kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai bakat muda cef dilahirkan di sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 2:16 PM