HAZREEN Nursuraya'.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Pertemuan dengan wanita ini berlaku secara kebetulan. Masing-masing bingung apabila dimaklumkan acara Minggu Fesyen Islamik Asia (AIFW) 2018 dibatalkan tanpa notis awal.

Selepas bertanyakan keadaan dan situasi, pertemuan semula diatur Jumaat lalu. Bagi Hazreen Nursuraya Hashim, 30, pelawaan ke Studio Jalan Riong, Kuala Lumpur adalah rezeki Allah SWT untuk dia mengubat hatinya yang kecewa. Sekurang-kurangnya, dia tidak pulang dengan tangan kosong ke Arab Saudi.

Kata pemilik jenama pakaian Muslimah ini, dia cukup kecewa apabila percubaan pertamanya membawa koleksi abaya ke pentas peragaan musnah di tengah jalan.

Bagaimanapun, motivasi dalam diri wanita ini mempamerkan sebaliknya. Nursuraya bukan saja tenang menghadapi situasi, malah sempat membantu menenangkan ramai pereka luar negara yang turut kecewa dengan berita luar jangka berkenaan.

Dalam tidak sedar, itulah tarikan sebenar yang ada pada wanita ini. Saat Hati bertanya lanjut, barulah tahu rupa-rupanya Nursuraya adalah pramugari Saudi Arabian Airlines. Tidak hairanlah mengapa dia boleh bertindak menenangkan orang lain. Sedangkan dalam dirinya turut berperasaan sama.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Johor ini sebenarnya wanita kental sejak kecil. Kehilangan ibu bapa pada usia muda secara tidak langsung mendidik dirinya menjadi seorang yang berdikari dalam hidup.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nursuraya mungkin boleh dikatakan wanita unik kerana berani mengejar impian di luar bidang kemahiran.


BANGGA bergelar pramugari.

“Saya mula memohon menjadi pramugari ketika di tahun akhir pengajian. Ketika itu saya sibuk menyudahkan tesis tahun akhir. Memandangkan sudah tiada mak dan ayah, saya nekad memohon pekerjaan melalui ejen carian dalam talian. Saya cuma fikir tidak mahu menganggur dan menyusahkan keluarga selepas tamat belajar.

“Kemudian, banyak tawaran pekerjaan sebagai pramugari tiba menerusi e-mel. Apabila diteliti, ia datang daripada syarikat penerbangan di Timur Tengah. Pakaiannya menutup aurat dan gajinya juga menarik. Jadi, saya ambil keputusan memohon dan akhirnya dipanggil untuk sesi temu duga,” katanya.

Biarpun permohonan sudah diterima, Nursuraya masih tidak yakin kerana perlu menyiapkan tesis terlebih dulu. Hanya selepas menerima panggilan telefon yang memintanya hadir, barulah wanita ini tampil.

“Sejujurnya, saya tidak melakukan banyak persiapan. Saya katakan pada diri sesi temu duga berkenaan akan menjadi pengalaman pertama berdepan majikan. Malah ketika sampai ke pejabat berkenaan, saya jadi malu kerana ramai calon dari luar negara dan mereka melakukan banyak persediaan.

“Dalam banyak soalan yang diutarakan, penemuduga bertanya sebab mengapa saya memilih kerjaya ini. Saya beritahu hendak mengerjakan haji dan umrah. Alhamdulillah, saya percaya setiap perkara baik dan jujur sentiasa mendapat ihsan dari Allah SWT. Saya diterima sebagai pramugari.

“Biarpun awalnya keluarga agak berat hendak melepaskan, saya yakinkan mereka untuk tetap mencuba selama dua tahun. Sedar tidak sedar, hari ini saya sudah lima tahun terbang di awan,” katanya ketawa.


KETIKA mengikuti taklimat akhir selepas diterima sebagai kakitangan penerbangan.

Tugas mulia

Sejak hari pertama berkhidmat, Nursuraya tidak pernah lupa niat dan tekad dalam dirinya. Kata wanita ini, dia bekerja keras pada tahun pertama perkhidmatannya dan menjelaskan semua hutang pengajian, rakan serta membayar balik pinjaman yang pernah dibuat dengan keluarga atau saudara.

“Masuk tahun kedua, saya dapat peluang mengerjakan haji. Ketika itu, saya pergi seorang bertemankan jemaah di sana. Syukur pada Dia kerana mempermudahkan banyak urusan saya. Hanya tahun ketiga, barulah saya mengumpul duit untuk simpanan kecemasan. Ketika itu saya semakin lega kerana banyak urusan tertangguh dapat dilangsaikan perlahan-lahan.

“Saya percaya, kerjaya sebagai pramugari ini terlalu banyak risiko. Kita tidak mungkin tahu apa yang akan berlaku di sepanjang perjalanan. Mungkin esok masih ada atau hilang begitu saja. Justeru, saya mahu melakukan banyak perkara sebaik mungkin.

“Kata orang, ketika masih muda dan bujang inilah waktunya untuk kita terus mencuba dan melakukan banyak kesilapan. Saya belajar melakukan bekam untuk membantu ramai kenalan di Arab Saudi. Bekam ini sunah Rasulullah SAW. Ia baik untuk membantu merawat kakitangan penerbangan seperti kami yang banyak terdedah kepada penyakit.

“Kemudian, masuk tahun keempat, barulah saya berjinak-jinak dengan menjual abaya secara atas talian. Itu pun kerana adanya permintaan dan kiriman daripada rakan dan saudara setiap kali pulang ke Malaysia,” katanya.


BERSAMA rakan setugas.

Mengulas stigma masyarakat terhadap kerjayanya, Nursuraya berkata, bukan semua pramugari perlu mendedahkan aurat atau menyediakan minuman keras kepada tetamu di atas penerbangan.

“Kami memang tidak menghidang arak, malah dibenarkan bertudung dan mengerjakan solat. Ada waktunya kami juga berjemaah. Saya cukup senang memikirkan betapa mulianya pekerjaan ini kerana berpeluang menghantar dan menjemput pulang jemaah yang hendak mengerjakan haji serta umrah.

“Saya berbesar hati menjaga kebajikan mereka, menghidangkan makan dan minum sepanjang tempoh penerbangan. Ada terselit perasaan rindu setiap kali teringat Tanah Suci. Sebab itulah saya cukup sayang hendak meninggalkan kerjaya ini sekalipun sudah mempunyai butik pakaian sendiri di Johor Bahru,” katanya.

Dakwah dengan abaya

Berbalik kepada minatnya dalam fesyen, Nursuraya berkata, dia terjun ke bidang berkenaan atas minat untuk berniaga. Kebetulan ramai yang sukakan abaya dan dia sendiri menetap di Arab Saudi, kesempatan itu digunakan sebaik mungkin.

Bermula dari sekadar mendapatkan abaya dikirim keluarga dan rakan, Nursuraya akhirnya bertemu ramai pereka dan tukang jahit berpengalaman.

“Di sana, kebanyakan abaya adalah hitam dan putih, tetapi orang Malaysia sukakan warna-warni. Jadi, saya pilih fabrik, melakar corak dan perincian serta potongan untuk pasaran Malaysia. Saya tunjuk rekaan kepada tukang jahit dan berbincang mengenai kehendak dan trend semasa.

“Sebenarnya, tukang jahit dan pereka abaya di Arab Saudi cukup profesional. Mereka sedia menyiapkan rekaan mengikut apa yang kita minta. Namun, satu hal yang menjadi masalah ketika itu adalah kehendak pelanggan.

“Mereka mempunyai cita rasa berbeza. Selepas berbincang dengan keluarga, saya putuskan untuk membuka butik di Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Semua koleksi terbaru kami himpunkan di sana untuk memudahkan pelanggan. Saya hanya pulang sebulan sekali untuk memantau keadaan,” katanya.


KENANGAN mengerjakan ibadah haji pada 2014.

Jelas Nursuraya, dia sengaja memilih abaya berbanding jubah kerana busana itu bersifat universal dan boleh diterima umum. Selain itu, abaya juga boleh diperincikan dengan banyak potongan dan hiasan, menjadikan ia koleksi pakaian Muslimah unik dan manis dikenakan di pelbagai majlis.

“Abaya ini saya umpamakan sebagai lorong dakwah untuk saya mendekati ramai wanita. Ada orang malu untuk terus menukar gaya Muslimah. Tetapi abaya memberi ruang untuk mereka meneroka keindahan Islam secara perlahan-lahan.

“Siapa saja boleh mengenakan abaya. Ia nampak sopan, tetapi tidak keterlaluan. Saya pasti setiap wanita mahu tampil istimewa di mata orang lain. Sebab itulah saya bawakan abaya warna-warni, khusus untuk pasaran tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 3:30 PM