BEDAK asas penting untuk dapatkan solekan sempurna.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Seiring peredaran masa, ramai wanita tahu pemakaian bedak asas adalah satu langkah penting untuk mendapatkan hasil solekan wajah sempurna. Namun di sebalik itu, ramai yang masih tidak tahu pemilihan warna yang tepat akan mempengaruhi penampilan keseluruhan sekali gus memberikan kesan berbeza kepada personaliti terbabit.

Dalam hal ini, penting untuk kita mengetahui jenis bedak asas yang sesuai bagi membolehkan aplikasi tepat dilakukan pada wajah. Di pasaran terdapat tiga jenis bedak asas iaitu dalam bentuk cecair, krim dan bedak padat.

Menurut jurusolek profesional yang juga penata rias Feiruz Sohor, bedak asas cecair paling popular kerana ia bersifat lembut, paling mudah digunakan dan sesuai untuk semua jenis kulit terutama kulit kering yang mana sapuan secara nipis akan menampakkan kulit lebih segar dan menawan.

"Bedak asas krim pula sesuai untuk kulit bermasalah kerana ia tidak melekit dan mengeluarkan minyak. Walaupun bedak asas jenis ini sedikit pekat, ia mudah dipakai.

"Elakkan memakai secara berlebihan kerana ia mudah diserap terus oleh kulit. Wanita dinasihatkan menyapu secara berhati-hati bagi mengelak warna kulit menjadi tidak sekata," katanya.

Manakala bedak padat pula sesuai untuk semua jenis kulit normal dan sedikit berminyak. Bedak asas jenis ini tidak perlu dicampur dengan bedak lain kerana ia gabungan bedak asas dan bedak.

Cara pilih bedak asas

Menurut Feiruz, wanita digalakkan memilih bedak asas paling hampir dengan rona kulit supaya wajah tidak bertompok atau kelihatan lebih putih dan gelap daripada rona sebenar.

"Setiap kali membeli bedak asas, anda dinasihatkan mencuba dulu untuk melihat kesesuaiannya pada kulit. Elakkan membeli menerusi dalam talian kerana warna yang ditunjukkan tidak sama dengan warna sebenar kecuali sekiranya anda mengetahui kod warna.

"Langkah terbaik, pilih di butik yang menjual jenama bedak asas itu kemudian sapukan pada bahagian kulit wajah dan bukannya di belakang tapak tangan kerana warna belakang tangan tidak sama dengan rona sebenar wajah anda," ujarnya.

Menurutnya, sekiranya masih tidak tahu warna sebenar, pilih rona yang seakan sama dengan kulit atau sedikit cerah. Namun bagi yang kurang arif, pilih bedak asas sedikit kekuningan kerana ia sesuai untuk semua jenis kulit.

"Bagi wanita berkulit cerah, pilih bedak asas sedikit merah jambu, wanita berkulit gelap digalakkan memilih bedak asas coklat atau tembaga manakala mereka yang berkulit perang sesuai memakai bedak asas coklat keperangan.

"Tidak salah bertanya kepada individu yang arif mengenai aspek ini daripada anda tersalah pilih rona bedak asas yang akhirnya mencacatkan penampilan keseluruhan wajah," katanya.


PILIH bedak asas sesuai dengan kulit wajah dan rona.

Teknik sapuan tepat

Untuk membuat sapuan, Feiruz berkata, kebanyakan wanita memilih menggunakan berus atau span, namun ada juga yang selesa menggunakan jari. Apa juga yang digunakan, pastikan wajah bersih daripada peluh dan minyak bagi mengelak solekan tidak tahan lama disebabkan kulit berminyak dan kelihatan tidak sekata.

"Bagi mereka yang rajin mengamalkan petua lama bolehlah lakukan urutan wajah menggunakan ais. Ini boleh memberi kesegaran sekali gus menutup liang roma pada kulit muka.

"Untuk sapuan di sekitar mata, lakukan dari luar atau ekor mata ke dalam dengan cara bulatan. Sapuan membulat dari luar ekor mata sehingga ke pelupuk mata bertujuan memberikan kesan sekata.

"Sapuan yang betul haruslah dengan cara ke atas atau menarik ke arah luar kiri dan kanan dan bukannya menarik ke bawah bagi mengekalkan awet muda," ujarnya.


SEBAIK-BAIKNYA beli bedak asas di kedai kosmetik bagi mencuba sendiri warna yang sesuai.

Tip sapuan bedak asas

• Gunakan span atau hujung jari.

• Jika inginkan sapuan nipis tetapi menggunakan bedak asas yang tebal, basahkan span dengan pelembap atau sedikit air.

• Gunakan penyamar noda terlebih dulu terutama untuk parut, kesan jerawat atau bintik hitam, selepas itu sapu bedak asas supaya seimbang.

• Lindungi mata yang sembap dengan sapuan bedak asas di sekitar mata. Gunakan warna yang lebih cerah kemudian ratakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 12:41 PM