BERTANGAS mempunyai dua pilihan, kering atau basah.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Jadual harian padat, bangun seawal jam 5.30 pagi menguruskan pelbagai urusan di rumah juga pejabat menyebabkan ramai wanita kini sering kelihatan lesu dan tidak bermaya.

Begitu sibuknya wanita kini dan akibat kepenatan melampau ada di antara mereka yang sanggup mengambil risiko menelan pelbagai jenis pil atau vitamin yang dipercayai mampu memberikan tenaga berpanjangan.

Hakikatnya, kesihatan dan kecergasan boleh diserlahkan melalui penjagaan diri yang betul bukan saja melalui rawatan moden untuk wajah dan badan tetapi mengikut setiap kaedah penjagaan yang diamalkan nenek moyang terdahulu.

Mungkin masih ramai yang melakukannya kerana yakin kaedah penjagaan diri secara tradisional terutama bertangas mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, ada juga yang kurang percaya dan beranggapan ia kaedah kolot.

Suatu ketika dulu, bertangas menjadi rutin bagi wanita, tidak kira bujang atau sudah berkahwin demi menjaga kesihatan dalaman sekali gus memancarkan kecantikan luaran.

Amalan ini diakui memberi kesan mujarab kepada kecantikan dan kesihatan wanita, lebih-lebih lagi jika mereka berdepan masalah seperti keletihan, lesu, keputihan, angin, rahim longgar dan kegemukan.

Berusaha memupuk kesedaran wanita kini tanpa mengira usia untuk meneruskan kaedah penjagaan diri secara tradisional yang diselarikan dengan rawatan moden, Spa Zaujah di Johor Bahru ini menyediakan pelbagai jenis rawatan tradisional dan moden dari hujung rambut hingga hujung kaki.


RAWATAN bertangas mempunyai pelbagai kebaikan kepada kesihatan dan kecantikan.

Menurut pengasasnya Nurul Hasnita Taharim, walaupun menyediakan pelbagai pilihan rawatan, dia sentiasa menekankan kebaikan dan keistimewaan bertangas yang dianggap antara rawatan terbaik.

“Bertangas mempunyai kelebihan tersendiri terutama dalam membantu menyerlahkan kesihatan dan kecantikan seseorang. Ramai yang mengaitkan amalan bertangas hanya untuk wanita selepas bersalin atau sudah berkahwin namun fakta itu tidak tepat.

“Bertangas ternyata baik untuk wanita bujang yang mungkin mengalami masalah kegatalan faraj, keletihan dan keputihan. Seawal remaja, wanita digalakkan melakukannya bagi mendapatkan kesihatan lebih baik,” ujarnya.

Nurul Hasnita berkata, ada dua jenis bertangas iaitu tangas kering dan basah; kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri tetapi keselesaannya berbeza mengikut pilihan individu.

“Cara bertangas kering adalah menggunakan batu sungai yang dipanaskan seketika di atas api kecil dan diletakkan serbuk tangas diperbuat daripada herba terpilih.

“Asapnya akan naik dan membantu mengetatkan rahim. Ramai yang menggemari tangas kering ini kerana ia ringkas dan tidak terlalu merimaskan bagi yang tidak tahan panas,” katanya.

Berbeza dengan tangas basah, menurut Nurul Hasnita, kehangatannya lebih dirasai seperti mandi wap kerana ia menggunakan air panas yang dididihkan bersama daun herba terpilih.

“Bertangas selama 20 minit sudah memadai. Wanita bujang digalakkan melakukan dua kali sebulan dan boleh merasai perubahannya. Kami galakkan wanita bertangas di rumah asalkan tahu caranya. Ia lebih selesa dan menjimatkan masa,” katanya.


NURUL Hasnita menekankan rawatan bertangas kepada wanita tanpa mengira usia dan status.

Rasai pelbagai kesan positif

Menurutnya, apabila melakukan rawatan bertangas, ia membantu meringankan badan, melancarkan dan haid, menaikkan seri serta menyerlahkan kecantikan semula jadi.

“Paling penting bertangas dapat memberikan kesegaran dan menghilangkan kelesuan. Ramai wanita kini sentiasa penat terutama dengan lambakan tugas sama ada di rumah mahupun di pejabat dan rawatan ini antara penyelesaian paling tepat. Mungkin dulu ramai wanita menganggap rawatan ini agak leceh namun kini semuanya sudah berubah,” ujarnya.

Kata Nurul Hasnita, hampir di kebanyakan spa atau pusat kecantikan kini sudah menyediakan rawatan ini. Bertangas antara rawatan paling popular dan semakin mendapat sambutan kerana keistimewaan di sebalik rawatan.

Selain tampil sihat, bertangas juga mampu menyerlahkan kecantikan semula jadi akibat peredaran darah yang berjalan dengan lancar.

Malah dia turut menyarankan wanita yang mempunyai anak gadis untuk melakukan rawatan ini bersama-sama di spa atau di rumah.

“Didikan awal itu penting, ibu moden kini perlu menerangkan mengenai kelebihan bertangas kepada anak gadis supaya mereka sekurang-kurangnya tahu mengenai rawatan ini.

“Selain bertangas, saya turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain termasuk mandi bunga aura seri, urutan badan juga wajah,” ujarnya.

Tambahnya, dengan tawaran harga berpatutan juga menggunakan produk berkualiti dan selamat, pihaknya menawarkan rawatan setanding spa bertaraf lima bintang.


TERDAPAT juga pelbagai rawatan lain disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 12:37 PM