KESEMPATAN bertemu harimau putih.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Mencipta sedikit kelainan, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, bertindak sebagai tuan rumah dan menjemput lebih 70 anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim Damai, Kuang untuk menikmati keseronokan mengembara di taman tema.

Disambut dengan tarian selamat datang, tetamu cilik turut diraikan dengan penampilan istimewa pasangan 'selebriti' Sunway Lagoon iaitu, Captain Quack dan Lady Quack. Mereka lengkap berpakaian tradisional dan menyambut anak yatim dalam suasana cukup meriah.

Usai mendengar ucapan rasmi, berkenalan dan bergambar, anak yatim dibawa ke lokasi pengembaraan pertama di Taman Hidupan Liar (Wildlife Park). Kawasan berkenaan cukup popular dalam kalangan pengunjung kerana menempatkan lebih 150 spesies haiwan liar yang boleh dilihat secara dekat.

Sesekali terdengar sorak gembira dan suara kagum si cilik apabila melihat kelibat harimau putih, ungka, harimau kumbang dan marmoset. Lebih menarik, mereka juga diperkenalkan dengan harimau putih Samson dan Asha serta singa putih, Zola dan Zuri.

Memeriahkan lagi suasana lawatan, tetamu dihiburkan dengan persembahan Teater Hidupan Liar dari Wildlife Multi-Animal Show dan bertemu lebih banyak spesies haiwan yang terdapat di taman berkenaan.


TETAMU cilik mencuba aktiviti menyeronokkan ketika persembahan Teater Hidupan Liar.

Pengurus Besar Sunway Lagoon, Sean Choo, berkata, taman tema adalah lokasi impian ramai kanak-kanak untuk merasai sendiri keseronokan, menyaksikan pelbagai persembahan menarik, mempelajari banyak ilmu baru, sekali gus mencipta kenangan manis dalam hidup.

"Kami terharu dan tersentuh melihat keterujaan dan kegembiraan yang terpapar di wajah penghuni Rumah Anak-anak Yatim Damai. Senyuman di wajah mereka mengingatkan betapa bertuahnya diri kita kerana dapat menikmati zaman kanak-kanak yang lebih baik.

"Tambahan, musim perayaan cukup sinonim dengan waktu untuk kita menyebarkan rasa cinta dan mengeratkan kasih-sayang. Jadi, kami berbangga kerana dapat memberikan senyuman, kegembiraan dan kenangan indah yang sukar dilupakan buat mereka," katanya.

Tidak terhad pada dunia pengembaraan hidupan liar, Sean Choo membawa lebih banyak keseronokan buat tetamu cilik dengan menghidangkan peluang bertemu watak animasi SpongeBob SquarePants dan Patrick Star di Nickelodeon Lost Lagoon. Ia adalah tanah Nickelodeon pertama bertemakan Asia.

"Kami juga membawa kejutan parti istimewa buat penghuni rumah berkenaan yang kebetulan lahir pada 8 Julai, diikuti hidangan tengahari enak di Surf Deck dan banyak lagi permainan menarik," katanya.


CERIA bergambar kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:51 PM