MERAH jambu gelap dipadankan dengan selendang corak berbeza.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Melihat hasil penggambaran jenama ini dengan model menampilkan aksi bersahaja memberikan sedikit kelainan terutama daripada segi konsep yang ingin diketengahkan. Koleksi bertemakan padanan selesa (comfortwear) ini menekankan keselesaan kepada pemakai dan sesuai digayakan ke mana sahaja.

Menjelaskan lebih lanjut menurut pengasas Cala Qisya, Yana Khairuddin, koleksi ini menampilkan potongan longgar atau besar sebagai asas rekaan. Namun ini bukan bermakna ia sesuai untuk golongan berbadan comel kerana idea diketengahkan masih menekankan aspek kekemasan dan gaya moden wanita.

“Saya sedar kebanyakan pelanggan adalah golongan muda yang inginkan gaya sederhana dalam penampilan mereka. Lalu saya bersama kakitangan lain mula memikirkan untuk menyediakan pakaian asas berkonsepkan kasual bagi memenuhi kehendak pelanggan. Ternyata ramai menyukainya,” katanya.

Selepas menghasilkan rekaan, Yana turut memberikan kelainan daripada segi fotografi, dengan menonjolkan konsep ‘free and easy’ bagi menampakkan kebebasan bergerak kepada pemakai menerusi liuk-lintuk tubuh mereka ketika menggayakannya.

“Untuk itu kami sangat menekankan mengenai kesederhanaan dan selesa. Ia jelas kelihatan menerusi kempen yang diketengahkan,” katanya.

Terkenal dengan pemilihan fabrik lasak dan tidak perlu digosok, rekaan kali ini menampilkan material kapas knitted yang memberikan rasa sejuk, tidak panas dan menyerap peluh. Ia menjadi pilihan yang tepat kerana kurang berkedut dan menjimatkan masa wanita kerana tidak perlu digosok lama.


CORAK berjalur dengan ukuran longgar memberi keselesaan kepada si pemakai.

“Sejak keluaran pertama, memang kami sangat menekankan berkenaan pakaian yang praktikal dan mudah terutama untuk ibu muda berkerjaya. Mereka tidak perlu memikirkan untuk menggosok lama tetapi tampil memikat dengan menggayakan pakaian daripada koleksi ini. Golongan remaja dan pelajar juga adalah sasaran pelanggan selain kanak-kanak,” katanya.

Menampilkan 15 warna dengan palet rona gelap, ujar Yana ia sengaja dipilih memandangkan corak penggayaan yang kena dengan konsep acara. Kasual biasanya dibawa ke pejabat atau santai bersama keluarga dan rakan. Ia juga boleh digayakan ke majlis tidak rasmi misalnya parti hari jadi dan minum petang.

“Tampil polos dengan warna gelap seperti ungu, biru, merah belacan dan coklat sudah pasti pelanggan bebas memadankan sama ada dengan denim atau slack. Boleh juga untuk gaya formal dipadankan dengan skirt bercorak. Mahu lebih seimbang pilih tudung bercorak atau polos dengan rona sedikit terang,” katanya.

Menyediakan ukuran dari S sehingga XL untuk dewasa dan kanak-kanak setiap padanan disesuaikan jenis material bagi memastikan keselesaan pemakai. Harga padanan bermula RM89 sehingga RM119 berbeza mengikut rekaan ditawarkan.


SEDONDON untuk kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 6:23 AM