JAGA kesihatan kaki sebaik-baiknya.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Baik individu berusia 30 tahun ke atas atau warga emas, rata-ratanya mengalami masalah sakit kaki atau lenguh terutama apabila berdiri dalam tempoh lama atau ketika berjalan.

Ia bukan saja menyakitkan malah mengganggu rutin harian terutama apabila tidak lagi dapat bergerak pantas yang akhirnya menyebabkan tugasan harian sama ada di rumah atau pejabat tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Walaupun ramai yang seolah-olah tidak mengambil serius berkenaan masalah kesihatan ini, perlu diingat kaki juga seharusnya diberi perhatian khusus kerana anggota penting itu mempunyai peranan terbesar dalam kehidupan seharian iaitu sebagai penampung berat tubuh.

Wajah dan bentuk badan cantik tidak memberikan apa-apa makna sekiranya kaki tidak dijaga rapi yang akhirnya meninggalkan kemudaratan pada kesihatan seseorang.

Walaupun perkara ini sudah dibincangkan sejak dulu, aspek penjagaan anggota tidak dapat ditukar ganti itu memerlukan keprihatinan berterusan dalam memastikan ia sentiasa berada pada tahap yang baik.

Antara kaedah menjaga kesihatan kaki adalah melalui pemakaian kasut bersaiz tepat, pastikan ia selesa dan bersesuaian dengan aktiviti dilakukan.

Menurut Pakar Ortotik Pusat Rehabilitasi Antarabangsa Sunfeet Petaling Jaya Datuk Dr Edmund Lee, dianggarkan 80 peratus individu di Malaysia mempunyai masalah kaki tertentu.


LAPAN puluh peratus penduduk Malaysia mengalami masalah kaki tertentu.

“Satu daripada lima individu mengalami sakit kaki, kebas atau kaki berdenyut sementara mereka yang lebih berusia cenderung mengalami masalah kaki pada kadar lebih tinggi, namun kajian mendapati wujudnya peningkatan masalah kaki turut dialami kanak-kanak dan remaja.

“Mereka yang berusia lebih cenderung mengalami sakit kaki dan kesakitan itu biasanya diakibatkan kematu, kaki mengeras dan kecacatan jari yang 75 peratus membabitkan benjolan sendi iaitu bengkak menyakitkan pada sendi pertama ibu jari kaki,” katanya.

Menurut Dr Lee, sakit kaki dalam kalangan golongan muda kebiasaannya berpunca daripada sakit otot dan tekanan pada tulang.

“Kira-kira 30 peratus daripada warga emas yang sakit kaki mengalami kaki yang mengeras dan kira-kira 15 peratus mempunyai masalah kematu pada jari kaki mereka.

“Kebanyakan masalah ini berpunca daripada pemakaian kasut yang tidak sesuai seperti kasut wanita bertumit tinggi dengan muncung hadapan tajam,” katanya.

Dr Lee berkata, individu lebih berusia atau gemuk, wanita, pesakit diabetes, pesakit jantung atau yang alami kesakitan pada lutut, pinggul atau belakang mempunyai kadar lebih tinggi mengalami masalah kaki.

“Wanita lebih ramai mengalami masalah sakit pada jari dan bahagian bawah jari kaki berbanding lelaki. Biasanya keadaan ini semakin teruk apabila usia meningkat dan pertambahan berat badan.

“Bagaimanapun, kesakitan pada tumit akan berkurangan dengan peningkatan usia,” katanya.


DR Lee memeriksa kaki pesakit.

Dr Lee turut berkongsi panduan penjagaan kaki yang betul

1. Kawal diabetes

Jika anda pesakit diabetes, pastikan penyakit anda dalam keadaan terkawal. Dapatkan bantuan dan nasihat doktor untuk memudahkan anda menguruskan penyakit.

Perkara ini sangat penting kerana ramai pesakit diabetes yang kehilangan kaki kerana tidak menguruskan penyakit mereka dengan baik.

2. Periksa kaki setiap hari

Belek kaki anda setiap hari untuk memeriksa kehadiran luka, melecet, tanda merah dan bengkak yang tidak disedari. Gunakan cermin untuk melihat tapak kaki atau minta bantuan ahli keluarga jika anda juga mengalami masalah penglihatan.

3. Basuh kaki setiap hari

Cuci kaki anda dengan air suam, bukan air panas setiap hari. Lap kaki terutama di celah jari hingga benar-benar kering. Kaki yang lembap boleh menyebabkan ia berbau dan menyediakan ruang sesuai untuk pembiakan bakteria.

4. Pastikan kulit kaki lembut dan licin

Sapukan losen pada atau minyak zaitun (boleh juga gunakan minyak bayi) pada bahagian atas dan bawah kaki, tetapi bukan di celah jari.

5. Buang kulit kasar

Gunakan batu pumis untuk menanggalkan kulit yang kasar, keras dan kematu. Caranya, rendamkan kaki dalam air suam selama 10 minit dan gosok batu pumis ini perlahan-lahan. Jangan gosok terlalu kuat untuk mengelakkan luka. Selepas itu, cuci kaki dengan sabun dan bilas bersih. Lap hingga kering dan sapukan losen.

6. Potong kuku kaki setiap minggu

Potong kuku kaki setiap minggu atau sekerap mungkin apabila dirasakan perlu. Potong secara menegak dan gosok hujung kuku dengan papan emeri untuk meratakan bucu tajam.

7. Pakai kasut dan stoking

Kalau boleh, elakkan berkaki ayam, walaupun di dalam rumah. Bagi orang Melayu, saranan ini mungkin agak janggal tetapi ia penting untuk pesakit diabetes. Pilih kasut yang selesa dan boleh melindungi kaki anda sepenuhnya. Raba bahagian dalam kasut setiap kali sebelum memakainya bagi memastikan tiada objek di dalamnya.

8. Lindungi kaki daripada kepanasan dan kedinginan

Pakai kasut setiap kali anda mahu berjalan di luar rumah, terutama pada cuaca panas, walaupun anda hanya mahu mengambil barang di halaman. Pakai stoking pada sebelah malam khususnya bagi individu yang gemar tidur dalam bilik berhawa dingin.

9. Jaga aliran darah ke kaki

Ia boleh dilakukan dengan beberapa cara antaranya:

a. Tinggikan kaki apabila duduk terutama jika anda perlu duduk dalam tempoh lama. Sebaiknya, bangun dan berjalan-jalan seketika selepas duduk lama.

b. Gerakkan jari kaki dan lentikkan kaki ke atas serta ke bawah selama lima minit, dua atau tiga kali sehari.

c. Elakkan duduk bersilang kaki untuk tempoh lama.

d. Jangan merokok.

10. Jadi lebih aktif.>/B>

Rancang aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan keadaan kesihatan anda. Anda boleh berbincang dengan doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut. Doktor akan gembira jika pesakitnya berusaha untuk menjaga kesihatan diri. Sesekali, jumpa doktor untuk memeriksa keadaan kaki anda.


JANGAN ambil mudah berkenaan kesihatan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 1:59 PM