GAYA anggun mempelai selepas disolek menggunakan warna-warna semula jadi.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Penampilan sempurna baik dari segi solekan atau pemilihan padanan menjadi idaman setiap raja sehari. Untuk solekan, riasan semula jadi dengan sentuhan segar dambaan wanita kerana ia memperlihatkan wajah kekal anggun dan menawan.

Sama ada acara persandingan pada sebelah siang atau malam kedua-duanya memerlukan ketelitian tertentu. Solekan siang memperlihatkan kesan lebih jelas berbanding malam yang akan dibantu cahaya neon bagi menampakkan keseriannya.

Ini diakui jurusolek profesional, Yann Rifft yang menjelaskan perbezaan solekan siang dan malam apabila kedua-keduanya memerlukan penggunaan perkakasan alat solek berbeza. Untuk siang tema berasaskan rona semula jadi menjadi pilihan. Ia sesuai dengan penampilan terutama apabila acara diadakan di dewan. Untuk malam pula, biasanya konsep ala glamor ditekankan dengan rona gelap serta berkilau.

“Tumpuan harus diberikan kepada solekan mata kerana ia memberikan sisi berbeza kepada mempelai. Solekan mata berbeza apabila menggunakan rona cerah seperti pic, ungu dan merah jambu. Untuk malam pula, solekan smokey menjadi pilihan kerana ia menampakkan penampilan lebih glamor dan menawan,” katanya.

Namun begitu, biarpun dikatakan riasan semula jadi adalah lebih baik, ia tidak bermakna mempelai boleh tampil seadanya. Asas solekan seperti bedak asas, pemerah pipi, pembayang mata dan gincu harus ada kesannya. Perkara paling penting adalah pemilihan rona semula jadi seharusnya tidak jauh berbeza dengan tona kulit anda.

Menurut Yann, penekanan kepada penggunaan pelindung cela penting kerana dalam suasana cerah, noda pada kulit jelas kelihatan terutama mereka yang memiliki parut jerawat, tompok hitam bawah mata atau pigmentasi. Walaupun tidak dapat melindunginya 100 peratus, untuk acara gemilang ini alangkah baiknya sekiranya anda mendapat tona kulit sekata supaya mudah disolek.


1. SAPU bedak asas cecair ke seluruh wajah menggunakan berus kuas besar, ratakan hingga sekata.

“Masalah yang sering dialami mempelai adalah bekas jerawat dan tompok hitam bawah mata akibat kurang tidur kerana sibuk membuat persiapan. Bagi menutupinya biarkan pelindung cela 'bekerja' melindungi kekurangan wajah. Pilih warna seakan-akan sama dengan tona kulit anda supaya ia nampak sekata. Sapuannya juga memudahkan jurusolek merias wajah dan tidak bimbang warna kulit kusam atau tidak seimbang,” katanya.

Ramai mempelai tertarik dengan solekan smokey namun ia hanya sesuai untuk majlis yang berlangsung dalam suasana malam saja. Ini kerana solekan smokey akan memperlihatkan penampilan yang dramatis pada hal acara persandingan secara umumnya adalah lebih kasual.

“Oleh itu saya sangat menekankan pembayang mata dengan warna-warni semula jadi seperti merah jambu atau pic dengan tona lebih gelap pada bahagian atas kelopak mata untuk membuat mata jadi lebih segar. Elak memilih rona coklat atau gelap kerana ia tidak sesuai untuk anda,” katanya.


2. PILIH pembayang mata rona cerah kemudian sapu sehingga dua warna ini sebati pada kedua-dua kelopak mata.

Sapuan harus disertakan dengan dua warna gabungan misalnya merah jambu dan pic bagi memberikan warna yang diinginkan. Letakkan berus pembayang mata pada kelopak, kemudian buat pusingan supaya kedua-dua warna sebati. Selepas itu sudahi dengan celak pada atas kelopak mata dan bawah serta sedikit sentuhan pada alis.

“Membentuk alis dengan hanya membuat sedikit lakaran padanya akan menghadirkan penampilan berbeza. Namun elakkan melakar terlalu gelap hingga menampakkan bentuknya supaya konsep asas semula jadi tidak lari daripada tujuan asal,” katanya.


3. MASKARA kalis air sesuai dipakai mempelai kerana ia menjadikan bulu mata anda kekal sempurna.

Tidak kurang pentingnya dan perlu diberikan perhatian adalah pemilihan bedak asas yang menjadi nadi utama dalam riasan. Sapuan bedak asas ibarat lukisan pada kanvas. Kanvas yang baik akan memperlihatkan seni lukisan tangan yang cantik dan ada nilainya. Sebab itu sangat penting memilih warna sesuai terutama bedak asas jenis cecair kerana ia mudah disapu selain tidak luntur atau bertompok. Apa yang penting pilih jenis kurang berminyak dan mudah meresap ke kulit.

“Selain rona kulit menjadi sekata, kebanyakan pengantin biasanya inginkan solekan mereka tahan lebih lama. Namun itu bukan bererti anda harus mengaplikasikan bedak asas lebih tebal hingga berlapis-lapis. Sapuan tebal akan membuatkan solekan tampak comot dan retak. Sapu nipis saja kemudian sudahi dengan bedak debu dan bedak kompak warna senada. Jika merasakan wajah berpeluh ketika bersanding, minta pengapit anda menekapkan span pada bahagian yang berpeluh bagi mengelak bedak anda cair,” katanya.


4. PEMERAH pipi merah jambu disapu pada bahagian tulang pipi, senyum ketika sapuan dilakukan untuk keserian berpanjangan.

Akhir sekali walaupun nampak mudah namun jangan ditinggalkan pemerah pipi kerana ia menjadikan wajah tampil berseri dan menawan. Untuk itu, pilih rona merah jambu dan sapu pada bahagian tulang pipi secara menaik atau anda diminta senyum sedikit agar bahagian pipi lebih menonjol. Sapuan sedikit tebal memberikan kesan segar dan menawan. Kemudian akhiri gincu warna menawan serta pengilat bibir untuk menampakkan senyuman lebih manis. Padankan solekan dengan gaun berasaskan songket sebagai memenuhi tema tradisi.

“Anda mampu berjalan penuh yakin ketika menuju pelamin dan bertemu saudara-mara selepas majlis berlangsung. Pastikan senyuman tidak lekang di bibir tatkala menerima ucapan tahniah daripada tetamu lain,” katanya.


5. AKHIR sekali gincu rona merah lembut bersama pengilat bibir menjadikan solekan tampil sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 3:15 PM