LASER lebih cepat dan berkesan namun kesan penyembuhan lebih lama.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Parut dalam pada wajah sememangnya mencacatkan penampilan. Apatah lagi sekiranya ia jelas kelihatan pada bahagian pipi hinggakan sapuan bedak asas sekalipun tidak dapat menutupi kesannya.

Ramai wanita ingin menghilangkan kesan parut namun ia sukar dihapuskan terutama jenis berlekuk walaupun anda menggunakan pelbagai produk.

Sebahagian wanita merasakan parut menyebabkan penampilan mereka kurang sempurna, mendapat ejekan, gangguan fungsi harian dan menimbulkan kesakitan jika tidak dirawat.

Menurut Doktor Estetik Mediklinik Taman TTDI Jaya Shah Alam, Dr Nur Faradiana Osman parut adalah proses pemulihan kulit terhadap kerosakan yang berlaku pada mana-mana bahagian yang cedera akibat pelbagai faktor. Ini termasuk kesan jerawat, luka pembedahan, jangkitan kuman, terkena air panas, kemalangan, penyakit kulit dan luka akibat terkena benda tajam.

Ketika penyembuhan berlaku, tisu yang normal akan digantikan tisu fibrosis dan kolagen baru terbentuk hingga meninggalkan kesannya. Dalam bidang kesihatan, parut boleh dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu parut atropik, hipertrophy, keloid dan kontrakatur. Parut atropik lebih kerap berlaku pada wajah disebabkan tabiat memicit jerawat. Jari yang tidak bersih boleh menyebabkan jerawat lebih banyak terjadi dan risiko untuk mendapat parut dalam lebih tinggi.


DR Nur Faradiana

“Parut berlekuk berlaku disebabkan ada tisu fibrosis yang menarik ke dalam hingga meninggalkan lubang dalam daripada permukaan kulit. Keloid pula berpunca daripada penghasilan kolagen secara berlebihan dan lebih kerap berlaku berdasarkan pada faktor genetik. Ia akan timbul selepas kecederaan ketika proses penyembuhan kulit, berwarna kemerah-merahan dan agak tebal berbanding parut biasa.

“Selain itu, parut kontraktur pula berpunca daripada kebakaran, melecur atau kehilangan kulit yang menyebabkan fibrosis menarik kulit di antara sendi seperti siku hingga sendi sukar diluruskan semula. Apabila tisu tidak elastik, ia tidak boleh meregang dan menyukarkan pergerakan pada bahagian itu. Cara rawatan untuk kes ini hanya dengan melakukan pembedahan plastik saja,” jelasnya.

Menurut Nur Faradiana, bagi pesakit yang datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan, biasanya parut mereka akan dianalisis terlebih dulu bagi menentukan jenis rawatan yang akan diberikan. Ia bergantung kepada kedalaman dan bentuk parut pada kulit pesakit. Terdapat dua rawatan yang biasa dijalankan iaitu microneedling dan pancaran laser.

“Microneedling adalah kaedah mengurangkan parut dan mengembalikan penampilan kulit supaya kembali sihat. Menggunakan jarum khas tusukan kecil dan ia juga menggalakkan pertumbuhan penghasilan kolagen, seterusnya menjadikan kulit lebih tegang. Rawatan ini tidak membabitkan pemusnahan lapisan epidermis (lapisan kulit paling atas). Bermakna tempoh pemulihan adalah singkat, dalam masa dua atau tiga hari saja kulit kembali seperti sedia kala,” katanya.


MICRONEEDLING untuk mengurangkan parut dalam di wajah.

Tambahnya lagi, disebabkan kos rawatan lebih murah berbanding laser, ia mengurangkan sebarang komplikasi atau risiko yang tinggi. Namun untuk mendapatkan hasil diinginkan, proses ini perlu dilakukan berulang kali sekurang-kurangnya tiga sesi. Malah microneedling lebih berkesan sekiranya dijalankan bersama rawatan menggunakan platelet rich plasma pesakit sendiri.

Rawatan laser pula memerlukan penyembuhan lebih lama sekitar lima hari untuk pulih sepenuhnya. Selepas rawatan, kebiasaannya kulit menjadi rona kemerahan. Namun kesannya lebih cepat dan pesakit mampu melihat perubahan sebanyak 30 peratus pada kali pertama melakukannya.

“Sebelum melakukannya, krim kebas akan diletakkan pada keseluruhan wajah. Kemudian pancaran laser akan dihalakan kepada bahagian kulit bermasalah. Namun mereka yang aktif berjerawat tidak boleh melakukannya. Ini termasuk radang pada kulit dan keloid yang mungkin akan menimbulkan kesan tertentu.

“Saya juga akan memberikan kefahaman kepada mereka apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan selepas rawatan. Biasanya pesakit perlu mengelak berjemur di bawah matahari, berenang atau membuat aktiviti berpeluh secara berlebihan kerana ia akan memberi risiko jangkitan kuman,” katanya yang menasihati wanita supaya tidak meninggalkan krim pelindung matahari setiap kali keluar rumah.

Bagi wanita yang memiliki kulit berjerawat sepatutnya tidak memicitnya kerana ia akan memburukkan lagi keadaan. Berjumpalah doktor kulit dan estetik bertauliah bagi menyelesaikan masalah jerawat. Jika dibiarkan, ia akan meninggalkan parut yang dalam.

“Hanya mereka yangarif saja lebih tahu apa yang perlu dilakukan dan jenis rawatan perlu diberi kepada mereka yang mempunyai masalah jerawat. Jika tidak mahu wajah berparut, jangan sesekali memicitnya dan cari penyelesaian awal,” katanya.


URUTAN untuk melancarkan peredaran darah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 3:06 PM