MYSSRITE bersama pendandan rambut melakukan teknik dandanan sesuai untuk gaya glamor.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Bagi memperlihatkan penampilan sempurna, dandanan rambut sama pentingnya dengan solekan. Namun ramai wanita melupakannya kerana merasakan sapuan alat solek sudah memadai.

Sebagai mahkota kejelitaan wanita, dandanan rambut membuatkan penampilan lebih matang, menyerlah dan glamor. Ini kerana gaya rambut yang tidak sesuai menjadikan penampilan seperti tidak kena, apatah lagi sekiranya anda hadir untuk majlis keraian atau sambutan perayaan dengan busana versatil dan mewah.

Menerangkan lebih lanjut, menurut pemilik Amyssrite Hairdressing, Myssrite Nordin, bagi mendapatkan rambut yang sihat dan segar, ia bermula daripada penjagaan yang teliti.

Rutin harian asas seperti mencuci dan merapi harus dilakukan setiap hari terutama wanita bekerja yang terdedah dengan persekitaran kotor seperti debu, habuk, asap rokok dan minyak.

“Jika tidak dicuci, rambut mengeluarkan bau yang tidak diingini, berminyak seterusnya menjurus kepada masalah kelemumur. Oleh itu, bagi memastikan rambut sentiasa bersih dan rapi, gunakan syampu serta perapi berkualiti sesuai jenis rambut anda. Kemudian dua kali seminggu sapukan serum supaya rambut tampak lebih sihat dan bersinar.

“Saya percaya produk yang bagus sangat membantu menjadikan rambut kekal sempurna. Di sini saya menggunakan produk Ats dari Korea kerana ia selamat dan berasaskan bahan semula jadi,” katanya yang membuka perniagaan di Ampang, Selangor itu.

Sepanjang mengendalikan rambut wanita, dia mengakui sering menangani masalah rambut gugur dan bercabang serta kelemumur untuk wanita berhijab. Ini disebabkan gaya hidup wanita yang terdedah dengan pelbagai kotoran. Apabila mereka mengabaikan penjagaan rambut menjadikan masalah bertambah rumit.

“Untuk itu, saya cadangkan kepada mereka supaya memilih produk sesuai. Untuk rambut gugur lebih elok dicuci setiap hari bagi mengurangkan minyak pada permukaan kulit kepala yang terperangkap di dalam liang kulit. Apabila liang kulit mula tertutup dengan minyak, ia menyebabkan rambut menjadi tidak sihat lalu bermulalah masalah kelemumur, seterusnya keguguran rambut. Untuk mendapatkan rawatan sesuai, dapatkan nasihat pakar,” katanya.


RAMBUT disikat rapi sebelum dandanan dilakukan.

Selain penggunaan produk dengan perapian setiap hari, pemakanan sihat juga penting kerana kecantikan seseorang bermula dari dalam. Menjaga pemakanan dengan mengurangkan makanan berminyak dapat mengelak lemak terkumpul dan mengeluarkan benda tidak sihat daripada liang roma. Minum air dua liter sehari adalah penjagaan paling terbaik untuk kulit dan rambut.

“Saya selalu menasihati pelanggan supaya menjaga pemakanan mereka. Makan banyak sayur-sayuran hijau dan buah-buahan untuk mendapatkan rambut yang lebat serta hitam,” katanya.

Untuk wanita berhijab, penjagaan rambut harus dilakukan dua kali ganda berbanding mereka yang tidak bertudung. Basuh rambut dan cuci menggunakan syampu sesuai, keringkan sebelum anda memakai tudung. Bagi mengelak rambut berbuah dan bercabang, sapukan serum ke seluruh rambut serta biarkan seketika. Basuh bersih dan lakukan sebanyak dua kali seminggu.


SANGGUL boleh digayakan ke pejabat atau acara kasual.

Gaya rambut

Mengenali rambut sihat apabila ia menampakkan sinaran dan bercahaya apabila disikat. Menurut Myssrite, bukanlah satu perkara yang sukar kerana gabungan produk dan penjagaan rapi di salun memastikan keanggunannya.

Apabila rambut kekal sihat, ia memudahkan dandanan. Sama ada gaya kasual atau glamor, kedua-duanya boleh diaplikasikan bagi menambah keyakinan wanita. Myssrite turut menunjukkan dua dandanan rambut yang boleh digayakan untuk acara kasual dan glamor.

“Terdapat dua gaya yang boleh diaplikasikan iaitu kasual dan juga glamor. Selain melakukannya seorang diri bagi yang kurang mahir, dapatkan pertolongan pendandan rambut di salun kerana ia sudah pasti dapat menghasilkan gaya yang diidamkan.


SANGGUL pada bahagian atas kemudian lepaskan untuk gaya glamor.

“Untuk yang memiliki rambut panjang, buatkan sanggul dengan cara meninggikan bahagian atas. Sepitkan supaya ia tidak jatuh. Gaya sebegini sesuai ke tempat kerja dan juga makan malam bersama si dia. Lebih manis sekiranya acara diserikan dengan padanan baju kurung serta kebaya,” katanya.

“Bagi gaya kedua pula, Myssrite menambah nilai keseluruhan rambut dengan membentuknya menjadi lebih beralun. Gunakan peralatan khas bagi membentuk hujung rambut supaya lebih panjang dan beralun.

“Gaya rambut dandanan beralun lebih sesuai untuk menghadiri makan malam dan memadankannya dengan gaun kasual supaya kelihatan lebih anggun serta menawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 2:59 PM