NURUL Zayani bersama sebahagian sukarelawan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Kehidupan guru muda ini sejak kecil dianggap cukup bertuah kerana dikurniakan pelbagai nikmat iaitu mudah faham ketika belajar serta menjadi tokoh pelajar dan disukai orang sekeliling.

Hinggalah pada satu tahap dia mula bersikap sombong dengan Tuhan dan merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.

Namun, ibu kepada seorang cahaya mata ini dijentik kesedaran selepas bergaul dengan mereka yang susah, hidup dalam kesempitan, makan minum tidak cukup malah ada yang baju tidak bertukar.

Keinsafan yang mula meresap dalam jiwa Nurul Zayani Yahya, 27, akhirnya membawa wanita ini dekat dengan kerja amal dan kesukarelawan malah pada usia ini, dia sudah terbabit dengan pelbagai program kebajikan.

“Saya memilih untuk bergaul, membuat kerja kebajikan dan membina kekeluargaan dengan fakir miskin dan golongan serba kekurangan untuk belajar erti kerendahan hati serta kasih sayang. Atas dasar itu, saya terus membuat kebajikan kerana hati lebih tenang apabila dapat membantu orang lain.

“Semuanya bermula kira-kira lapan tahun lalu ketika saya melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.


NURUL Zayani menyantuni kanak-kanak miskin di Jolo, Filipina.

Peranan ketika itu lebih banyak menjadi ketua memasak dan memberi makanan kepada mahasiswa menerusi Badan Kebajikan Surau Al Ghazali (BKS) di kampus berkenaan.

“Sebagai guru pelatih kami perlu membabitkan diri dalam kursus Bina Insan Guru (BIG) dan program inilah yang banyak mendidik saya mendekatkan diri dengan masyarakat dan alam sekitar.

“Kemudian, kami terbabit dengan satu misi ke Kemboja bagi melihat kesusahan mereka di sana dan saya berperanan sebagai pencari dana projek.

“Bermula saat itu saya jatuh cinta pada aktiviti sukarelawan dan mendaftarkan diri sebagai sukarelawan Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) selepas melihat ia sebagai satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil berat negara sekitar Malaysia dan juga isu di peringkat dunia,” katanya.

Komitmen tidak berbelah bagi yang ditunjukkan membolehkan Nurul Zayani diberi kepercayaan sebagai Naib Presiden pertubuhan itu pada sesi 2016 -2017 sebelum turut terbabit aktif sebagai sukarelawan @Youth Leader di bawah naungan Adam Charitable Foundation (Yayasan Amal Adam).


GIAT bangun dan uruskan perpustakaan waqaf di sekolah.

Nurul Zayani turut mengakui ibu dan bapanya adalah pendorong kuat untuknya bergiat aktif kerana mereka juga turut aktif dalam dunia sukarelawan dari dia kecil hingga kini.

Namun katanya, dia menemui mentor dalam melakukan tugas sukarelawan yang menjadi pendorong kuat malah peranannya memberi tunjuk ajar dan nasihat agar dia sentiasa ingat kepada Allah.

Baginya, apa yang dilakukan bukan kerana dirinya baik tapi kerana mahu mengemis cinta Allah dan dia sangat berharap dengan kerja sukarela yang amat dicintai Rasulullah ini mengikis sikap sombong dalam diri serta menjadikan dirinya sukarelawan yang membawa watak hamba atau khalifah.

Menurutnya, dia juga cukup bersyukur apabila suaminya, Mohd Azruldin Mansor, 27, yang juga aktivis menjadi tulang belakangnya untuk berjuang dalam dunia kesukaralewan ini.

“Saya menemui suami ketika kami sama-sama menjalankan misi pengkajian bagi membantu negara sekitar Asia untuk membangun dengan acuan kepercayaan kepada Tuhan.

“Kebiasaan setiap kali misi, kami juga akan turun padang bersama bayi kami yang kini berusia lebih setahun sebagai latihan dan pendedahan untuknya dalam kerja amal serta mengambil berat berkenaan isu kebajikan negara sekitar.

“Ini kerana dokongan dan sokongan serta reda suami saya, saya terus dapat memikul semua amanah ini dengan baik,” katanya.


BERSAMA sebahagian sukarelawan.

Menyingkap pengalaman sepanjang terbabit dalam aktiviti kebajikan, guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (SKBD) ini menjelaskan, antara pengalaman yang tidak dilupakan apabila berdepan saat getir selepas seorang wartawan mengeluarkan kamera di kawasan puak pengganas di Partikul, Selatan Filipina namun keadaan terkawal dan semua selamat.

Selain itu katanya, dia turut berdepan cabaran ketika melintasi sempadan Vietnam - Kemboja apabila imigresen Vietnam tidak membenarkan rombongan misi melepasi sempadan, namun apabila melihat wajah anaknya yang masih bayi, mereka dibenarkan masuk ke Kemboja dengan selamat.

Pembabitan Nurul Zayani sebagai aktivis sejak di institusi pengajian tinggi turut mendapat banyak penghargaan antaranya dipilih pada tahun akhir pengajiannya pada 2014 sebagai wakil NGO Malaysia ke Geneve, Switzerland bagi menyertai Forum Minoriti Dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


KETIKA mewakili Malaysia ke Himpunan Minoriti Dunia 2014 di Geneva.

Selain itu, dia diberi kepercayaan menjadi ketua misi ke Jolo, Selatan Filipina bagi membawa masuk stesen TV AlHijrah bagi melihat realiti keadaan sebenar bangsa Tausug yang dinafikan hak dan ditohmah sebagai pengganas hingga hidup serba kekurangan dan tidak terbela kehidupan mereka di sana.

Anak jati Sik, Kedah ini turut terbabit dalam tayangan Dokumentari Merah Laut Sulu dan Dokumentari Bajau Palauh Sabah di stesen TV itu.

Nurul Zayani turut bergiat aktif sebagai Setiausaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) SKBD, Ahli Musolla AlFurqan SKBD, Guru Penasihat Kelab Alam Sekitar SKBD, Ahli Lestari Alam SKBD - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pengkaji Akademi Kajian Rantau Nusantara (AKAR), Ahli Persatuan Kesedaran Melayu Islam (KEMUDI) dan Pengurus Women Global Network.


MISI pertama kali Nurul Zayani di Kemboja pada 2012.

“Kami juga sedang mengusahakan projek pertanian, jahitan dan penghasilan kuih di pusat komuniti di negara miskin seperti Vietnam, Kemboja, Selatan Filipina, Selatan Thailand dan Laos.

“Inisiatif ini bagi melahirkan komuniti yang memiliki keyakinan menggunakan jasmani, rohani, emosi dan akal yang dikurnia Tuhan untuk mencari rezeki dan membangunkan kehidupan keluarga mereka dengan cara yang lebih baik.

“Saya memang berharap agar lebih ramai yang sedar untuk sama-sama berganding bahu dalam membangunkan kembali masyarakat dan negara yang ditindas di seluruh dunia dengan apa jua potensi yang kita ada sama ada melalui pendidikan, ekonomi, kemahiran dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, dia turut berbesar hati dan bangga apabila semakin ramai wanita terbabit dalam NGO dan ia satu perkembangan yang amat positif.

Katanya, NGO wanita ini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan ia petanda baik kerana wanita inilah yang akan melahirkan generasi akan datang yang berakhlak positif kerana jiwa mereka yang terdidik dengan sifat positif ingin membantu orang lain dan sensitif terhadap masalah dan ingin membawa pada penyatuan serta kebaikan.


PELANCARAN Waqaf Telekung 2018 ke wilayah Asia.

Secara tidak langsung katanya, keamanan akan wujud dan menguntungkan negara kerana beban kerajaan dikurangkan dengan memiliki rakyat yang matang. Masalah kemiskinan dalam negara juga sedikit sebanyak dapat ditangani selain turut membawa kebaikan hubungan diplomatik di negara luar dengan misi kebajikan ini.

“Buat semua wanita di luar sana, kerja sukarelawan dan kebajikan adalah satu terapi yang amat baik buat jiwa kita.

“Saat kita dapat melihat senyuman terukir di bibir mereka yang berada dalam kesempitan hidup dan mereka mengucapkan terima kasih dengan air mata itulah saat jiwa kita amat bahagia kerana satu daripada tanggungjawab pada insan lain kita sudah cuba laksanakan.

“Kita akan lebih bersyukur pada Tuhan dengan kehidupan kita dan ketahuilah manusia yang paling banyak mengorbankan diri sendiri untuk membahagiakan orang lain tanpa mengira agama dan bangsa ialah Rasulullah, maka jalan kebajikan ini adalah jalan menuruti jejak Baginda,” katanya.


GIAT bangun dan uruskan perpustakaan waqaf di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 3:00 AM