Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Pasukan Misija4Bosnia dari Squad Celebrity Global Volunteers, baru-baru ini, menerima dua lukisan berinspirasikan sebuah masjid dan bunga Jorgovan (lilac) di Bosnia & Herzegovina hasil sentuhan pendakwah tanah air, Asni Mansor.

Dua lukisan bernilai RM5,000 dan RM10,000 itu dilelong bermula 15 Mei lalu hingga 31 Ogos ini dan hasil lelongan bakal disumbangkan ke tabung Misija4Bosnia.

Hujung April lalu, Asni bersama pasukan Misija4Bosnia yang turut dianggotai Diana Amir, Farah Lee, Ashraf Muslim dan wakil daripada IRM serta U4U berlepas ke Bosnia & Herzegovina bagi menyempurnakan misi kemanusiaan bertujuan meraih dana sebanyak RM600,000.

Majlis penyerahan yang diadakan di At-Teen Gallery milik Asni atau mesra disapa Ustazah Asni itu dihadiri Ketua Bahagian Program Domestik Islamic Relief Malaysia (IRM), Kamarul Halim Sakrani dan Presiden Ukhwah 4 Ummah (U4U), Mohamad Sharudin Dawam.

Dana yang dikumpul melalui projek itu akan digunakan bagi membantu rakyat Bosnia & Herzegovina melalui sektor kehidupan mampan seperti bantuan alat pengering makanan, rumah hijau dan penanaman semula hutan. Penyertaan boleh dibuat melalui laman web www.ukhwahforummah.org.


PASUKAN Misija4Bosnia daripada Squad Celebrity Global Volunteers.

Projek Squad Celebrity Global Volunteers dilancarkan pada April lalu oleh Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin dan Mohamad Sharudin.

Pada masa sama, projek ini bertujuan meraih dana kemanusiaan sebanyak RM2.4 juta melalui empat projek pembangunan Islamic Relief (IR) di Malawi, Bosnia & Herzegovina, India dan Filipina.

Kira-kira 12 barisan selebriti tempatan terbabit dalam projek ini iaitu Irma Hasmie, Redza Shah, Lufya Omar, Diana Amir, Farah Lee, Ashraf Muslim, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Zoey Rahman, Lah Ahmad, Nadia Sabrina dan Dhirar Zainal.

Menurut Zairulshahfuddin, IRM mengatur pelbagai pendekatan berbeza setiap tahun bagi mendekati masyarakat dan menyampaikan kempen kesedaran berkenaan isu kemanusiaan yang berlaku di peringkat global.

“Sejajar visi IRM yang ingin mewujudkan dunia yang prihatin, IRM tahun ini menggembeleng usaha bersama U4U dalam memastikan 12 selebriti ini menyelami kehidupan dan penderitaan yang dilalui penerima manfaat di empat negara, sekali gus dapat menyebarkan mesej kemanusiaan itu kepada masyarakat,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang untuk tabung Squad Celebrity Global Volunteers boleh berbuat demikian di www.islamic-relief.org.my.


PENYERAHAN lukisan Asni (tiga dari kanan) kepada Kamarul Halim dan Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 2:10 AM