JURUNIKAH menunjukkan gambar pasangan budak perempuan 11 tahun dan peraih getah 41 tahun yang dinikahkan di Sungai Golok, Thailand.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Berdasarkan statistik sekitar 2014, perkahwinan membabitkan kanak-kanak bawah umur di negara ini dikatakan masih rendah iaitu tidak sampai satu peratus berbanding negara lain. Data berkenaan direkodkan dan dikongsi Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Bagaimana, tidak ramai yang mengambil peduli mengenai turun naik statistik ini sehinggalah tercetusnya berita mengenai budak perempuan 11 tahun yang bergelar isteri selepas berkahwin dengan peraih getah berusia 41 tahun, baru-baru ini.

Perkahwinan dipercayai berlangsung di selatan Thailand itu tular selepas isteri kedua lelaki berkenaan memuat naik beberapa status dan gambar di laman sosial Facebook miliknya.

Berita berkenaan disambut kecaman netizen yang mempersoalkan niat lelaki untuk membantu, selain keluarga budak terbabit dilabel bersubahat membenarkan perkahwinan bawah umur.

Wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh, sendiri mengecam tindakan berkenaan dan menganggap ia sebagai laporan mengejutkan serta tidak boleh diterima. Jelas Marianne, tindakan berkahwin itu bukan demi kepentingan anak, sebaliknya jelas menunjukkan pelanggaran haknya sebagai kanak-kanak.

Selain agensi dan pihak berkuasa, masyarakat juga dilihat mula membuka mata untuk melihat sejauh mana perkembangan perkahwinan golongan bawah umur di negara ini, mengetahui akta dan perundangan berkaitan.

Kebetulan kekecohan timbul ketika UNICEF sedang aktif mengemaskini data berkaitan perkahwinan kanak-kanak. Hasil kaji selidik dalam talian bersama 1,212 belia di Malaysia itu mendapati, 57 peratus individu menyatakan mereka mengenali sekurang-kurangnya seorang rakan bawah umur 18 tahun yang sudah berkahwin.

Tidak mengejutkan apabila kehamilan remaja dikenal pasti sebagai salah satu faktor perkahwinan bawah umur di negara ini. Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa 70 peratus belia tidak bersetuju dengan perkahwinan bawah umur. Antara sebab yang diberikan adalah mereka masih lagi kanak-kanak dan belum cukup matang untuk berumah tangga.

Kaji selidik ringkas itu dibuat susulan berlangsungnya mesyuarat global kedua Girls Not Brides di ibu kota, Kuala Lumpur pada 25 hingga 27 Jun lalu. Girls Not Brides adalah kerjasama antara ratusan organisasi masyarakat sivil (OMS) yang komited untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak.

Ia peluang unik untuk Malaysia menghantar mesej jelas bahawa undang-undang perlu dipinda supaya had umur minimum untuk berkahwin ditetapkan pada usia 18 tahun dalam semua kerangka undang-undang, termasuk perkahwinan sivil, Islam dan adat istiadat Bumiputera, tanpa sebarang pengecualian.

Kata Marianne, perkahwinan sebelum umur 18 tahun adalah pelanggaran mendasar terhadap hak asasi manusia dan hak seorang kanak-kanak yang menjejaskan setiap aspek kehidupannya.


MARIANNE

“Tidak kira di Malaysia atau seluruh dunia, perkahwinan kanak-kanak merompak peluang mereka untuk menikmati zaman kecil, mengganggu pendidikan, mengehadkan peluang, meningkatkan risiko keganasan dan membahayakan kesihatan.

“Di sini, perkahwinan kanak-kanak memberi kesan negatif terhadap golongan itu tidak kira di bandar mahupun pedalaman. Amalan ini tidak terhad kepada mana-mana agama dan bangsa atau diamalkan komuniti Cina, India, Melayu, Orang Asli mahupun pelarian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, statistik rasmi mengenai perkahwinan kanak-kanak di Malaysia tidak dikumpul dengan sistematik, dianalisis atau dilaporkan dengan baik.

“Mengikut data Banci Malaysia pada 2000, terdapat 6,800 kanak-kanak perempuan dan 4,600 kanak-kanak lelaki di bawah umur 15 tahun yang sudah berkahwin. Banci terkini pada 2010 pula tidak menyertakan data perbandingan.

“Jika meneliti data Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara, terdapat 6,246 permohonan perkahwinan kanak-kanak Islam dan 2,755 kes perkahwinan kanak-kanak bukan Islam sejak 2010 hingga 2015,” katanya.

Hapus perkahwinan kanak-kanak

Agak mengecewakan apabila perkahwinan kanak-kanak masih dibenarkan di negara ini menurut Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) dan Undang-Undang Keluarga Islam. Walaupun kerajaan menarik balik reservasi ke atas Artikel 16(2) dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

“Dengan menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC), Kerajaan Malaysia terikat untuk mengambil segala langkah yang berkesan dan berpatutan dengan tujuan menghapuskan mana-mana amalan tradisional yang menjejaskan kesihatan kanak-kanak, termasuk perkahwinan kanak-kanak.

“Ini sejajar dengan pembaharuan undang-undang yang dilaksanakan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti Algeria, Bangladesh, Maghribi dan Turki untuk meningkatkan had umur minimum perkahwinan kepada umur 18 tahun ke atas.

“Baru-baru ini juga, Presiden Indonesia, Joko Widodo, bersetuju menandatangani sebuah dekri yang akan mengharamkan perkahwinan kanak-kanak,” katanya.


PERKAHWINAN pada usia terlalu muda ‘gangguan’ terhadap zaman kanak-kanak dan remaja.

Tambahnya, perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berkait dengan norma sosial yang diterima umum. Ia termasuk tekanan untuk berkahwin daripada ibu bapa sendiri.

“Misalnya, apabila berhadapan dengan kehamilan bawah umur, perkahwinan kanak-kanak dianggap satu-satunya penyelesaian sesuai untuk mengelakkan rasa malu akibat kelahiran luar nikah, menghalalkan hubungan dan kononnya bagi melindungi masa depan pengantin perempuan.

“Atas sebab itu, kita berpendapat bahawa penghapusan perkahwinan kanak-kanak secara berkesan dan mapan memerlukan perubahan dari segi sikap dan tingkah laku untuk mewujudkan norma sosial dan budaya baru yang menolak sekeras-kerasnya perkahwinan bawah umur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 6:15 PM