KEGATALAN dapat diatasi dengan ubat bersesuaian.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Bagi penghidap masalah kulit seperti ekzema dan jerawat, pendedahan di bawah cahaya matahari pasti menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan buat mereka.

Mungkin juga timbul tanda tanya adakah keadaan itu membolehkan mereka menikmati kehidupan menyeronokkan di pantai atau berenang di lautan seperti orang lain.

Ekzema adalah satu keadaan keradangan kulit disertai rasa gatal, merah, timbul bintik dan kadangkala boleh menyebabkan pendarahan sebab terlalu kuat menggaru.

Biasanya ekzema kelihatan di kawasan pipi, dagu, dada, leher, siku dan lutut. Ekzema boleh jadi pada sesiapa saja, daripada bayi hinggalah orang dewasa.

Jerawat pula disebabkan oleh bakteria yang membiak di dalam minyak berlebihan yang terperangkap di liang roma kulit manusia.

Menurut Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Bong Jan Ling ekzema adalah masalah kulit biasa yang tidak berjangkit.

Meskipun timbul persoalan adakah terdedah kepada cahaya matahari atau berenang di lautan memburukkan keadaan ekzema pesakit, beliau berkata, agak sukar memberi jawapan yang khusus terhadap isu itu.

Ini kerana katanya, ramai mendapati masalah ekzema mereka semakin baik walaupun terdedah terhadap cahaya matahari, namun ada juga yang mendapati keadaan mereka semakin buruk.


BERPELUH memburukkan masalah ekzema.

“Cahaya ultra ungu boleh menjadi rawatan yang berguna untuk ekzema yang teruk. Tetapi jika pendedahan itu berkaitan dengan perpeluhan yang banyak, ada juga pesakit menyedari keadaan ekzema mereka mula bertambah buruk.

“Pendedahan terhadap air laut juga memberi manfaat disebabkan semua kandungan mineralnya. Bagaimanapun, adalah lebih baik untuk penghidap ekzema berunding dengan doktor mengenai aktiviti yang sesuai atau sebelum melakukan apa-apa rawatan,” katanya.

Menurutnya, persoalan juga sering timbul bagi yang menderita masalah jerawat sama ada mereka perlu mengelak daripada melakukan aktiviti di bawah terik matahari atau berenang .

Katanya, sedikit pendedahan matahari yang sihat sentiasa baik untuk kulit dan tiada nasihat tertentu terhadap pendedahan matahari atau aktiviti berenang untuk penghidap jerawat.

Ini kerana katanya, matahari adalah sumber penting vitamin D yang penting bagi banyak proses dalam tubuh kita.

“Terdapat persepsi biasa bahawa suhu panas membantu merangsang peredaran darah dan peluh, yang membantu membawa lebihan minyak ke permukaan kulit dan menutup pori.

“Secara umum, warna kulit kita lebih gelap di negara ini, pendedahan cahaya matahari selalunya akan mengakibatkan parut hiperpigmentasi ketika jerawat sembuh. Sekiranya perlu mendedahkan diri di bawah matahari, penggunaan pelindung matahari boleh menghalang kemungkinan masalah ini,” katanya.

Selain itu katanya, di negara yang panas dan terik seperti Malaysia, suplemen seperti vitamin C tidak diperlukan jika amalan diet seimbang seperti pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran sudah lengkap.


PENGGUNAAN pelindung matahari elak parut hiperpigmentasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 12:04 PM