SAMBUTAN diadakan di Kampung Benuk, Kuching, Sarawak.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Sempena sambutan perayaan tahunan Gawai Dayak, AEON CO (M) BHD menganjurkan sambutan meriah meraikan perayaan itu membabitkan 500 penduduk setempat di Kampung Benuk, Kuching, Sarawak.

Program kemasyarakatan itu adalah antara inisiatif AEON merapatkan hubungan bersama penduduk di negara ini yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Program tahunan ini bertepatan dengan perayaan Gawai Dayak yang membolehkan AEON meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dan pada masa sama memberikan kegembiraan kepada penduduk di kawasan itu.

Sambutan yang dijalankan sempena pembukaan pusat beli-belah AEON Kuching Central baru-baru ini dimulakan di Rumah Panjang Kampung Benuk yang juga rumah panjang Bidayuh pertama di Sarawak.

Pengarah Eksekutif AEON CO (M) BHD Hiroyuki Kotera berkata, Sarawak memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan pihaknya amat berbesar hati menjadi tuan rumah untuk sambutan perayaan itu.


WAKIL AEON dan penduduk setempat ketika program dijalankan.

“Cita-cita kami adalah untuk terus membina hubungan erat dengan komuniti sebagai usaha menyemai perpaduan masyarakat di negara ini.

“Pada majlis itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pertandingan mewarna membabitkan 30 kanak-kanak prasekolah. Di samping itu, penduduk kampung turut mengambil bahagian dalam upacara Miring iaitu acara tradisi yang menghiburkan. Turut diadakan tiga persembahan tradisional lain iaitu Serindang Purung, Jekau dan Mimik Gawai,” katanya.

Ketua Kampung Benuk Bundu Ak Suwap berkata, dia mewakili penduduk di kawasannya mengucapkan terima kasih kepada AEON kerana memilih Kampung Benuk untuk menjadi tuan rumah perayaan Gawai tahun ini.

“Dengan adanya pusat beli-belah AEON baru di Kuching membolehkan komuniti kami membeli-belah dan membuka banyak peluang pekerjaan untuk generasi muda kami.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada AEON atas sokongan dan usaha mereka semasa perayaan ini dan berharap wakil AEON menikmati pelbagai aktiviti yang kaya dengan budaya dijalankan sepanjang sambutan ini,” katanya.

Program diteruskan dengan siri pertandingan untuk masyarakat tempatan mempamerkan muzik tradisional dan pakaian. Secara keseluruhan, tujuh kumpulan menyertai cabaran AEON Bergong, 20 kanak-kanak mengambil bahagian dalam pameran pakaian tradisional manakala 10 individu menunjukkan kecantikan dan kemahiran mereka dalam pertandingan Dayung Remus.

Pada masa sama, Yayasan AEON Malaysia (MAF) juga mengambil peluang menyerahkan sumbangan bernilai RM200 dan satu beg runcit kepada 10 ibu tunggal yang hadir.


PELBAGAI acara menarik diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 11:12 AM