KAKITANGAN IJN membantu memeriksa paras kolesterol pengunjung.
HM Digital

Menurut Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan pada 2011, didapati satu dalam setiap tiga rakyat Malaysia mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Tahap kolesterol yang tinggi ini boleh meningkat­kan risiko terhadap serangan penyakit jantung dan strok. Amalan gaya hidup yang sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan kerap bersenam boleh me­ngurangkan risiko serangan penyakit itu.

Dalam usaha memupuk kesedaran terhadap kepentingan mengawal tahap kolesterol yang seimbang, Nestle Omega Plus terus memberi galakan kepada rakyat Malaysia menerusi pelancaran Cabaran 30 Hari.

Cabaran yang bakal berlangsung dari April hingga September itu membabitkan kerjasama antara Institut Jantung Negara (IJN) dan Allianz dengan azam memberi inspirasi serta motivasi kepada rakyat Malaysia untuk membuat perubahan gaya hidup yang penting bagi kesihatan jantung mereka.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan Susu, NestlÈ (Malaysia) Berhad Ng Su Yen berkata, kempen itu bersesuaian dengan misi jenama itu yang mahu mendidik dan memberi motivasi kepada rakyat Malaysia untuk me­ngamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Malah katanya, matlamat mereka mudah iaitu memberi insentif kepada rakyat supaya lebih ramai sedar terhadap paras kolesterol, di samping mengamalkan gaya hidup aktif dan diet yang sihat.

“Berbekalkan kejayaan Cabaran 30 Hari kami sebelum ini, kami membuat keputusan untuk meneruskannya tahun ini melalui sokongan rakan seperti IJN dan Allianz yang juga pendukung kesihatan jantung,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IJN, Akmal Arief Mohamed Fauzi dan Ketua Pegawai Pengurusan Pasaran Allianz Malaysia Berhad, Amy Loke.

Dalam pada itu, duta produk serta Cabaran 30 Hari yang terselamat dari serangan jantung pada usia semuda 34 tahun, DJ Selebriti, Sham turut hadir berkongsi kisah hidupnya.

Menurutnya, dia bernasib baik diberi peluang kedua dalam kehidupan dan kini aktif berkongsi kisahnya bagi mewujudkan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan jantung.

Sham turut berkongsi caranya meningkatkan kesihatan jantungnya melalui beberapa perubahan ke atas gaya hidup, antaranya senaman, pemeriksaan kolesterol berkala, diet seimbang serta pengambilan susu bagi me­ngurangkan kolesterol secara berkesan.

Cabaran ini akan berlangsung dari 1 April hingga 30 September di seluruh negara dengan kemenangan berdasarkan kepada peratus tertinggi dalam pengura­ngan paras kolesterol.

Peserta yang mencapai kadar pengurangan yang cemerlang akan diberi ganjaran setiap bulan manakala di penghujung cabaran ini, pemenang tempat pertama akan menerima hadiah utama sebuah kereta serta perlindungan insurans hayat Allianz yang bernilai RM80,000.

Tiga pemenang bertuah setiap bulan juga akan diberi ganjaran atas keputusan mereka untuk membuat perubahan demi jantung yang lebih sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 12:40 PM