CANTIK itu bukan hanya terletak pada rupa paras dan tubuh menawan semata-mata.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Aidilfitri sinonim dengan penampilan yang cantik dan menawan terutama bagi wanita. Tidak kiralah busana, aksesori, kasut, tudung atau solekan semuanya mahu kelihatan cantik.

Tanyalah kepada mana-mana wanita, pasti semua mahu tampil cantik terutama ketika lebaran kerana kecantikan adalah sesuatu yang sangat sinonim buat golongan itu. Cantik itu sendiri didefinisikan sebagai suatu yang indah dan menarik.

Namun, secara tidak sedar ada di antara wanita yang terlalu obses dengan kecantikan sehingga sanggup melakukan pelbagai perkara termasuk berhabisan wang ringgit demi mendapatkan apa yang diidamkan.

Lebih menakutkan ada juga yang sanggup memakai barang terlarang seperti susuk semata-mata mahu mendapatkan kecantikan memukau sepanjang masa.

Ternyata ia sesuatu yang salah kerana istilah kecantikan sebenar itu luas dan penilaian tidak seharusnya disempitkan dengan melihat pada sifat fizikal khususnya rupa paras atau tubuh langsing persis model.

Apa yang lebih utama adalah personaliti diri kerana Aidilfitri adalah saat di mana semua saudara mara berkumpul dan merapatkan silaturahim sesama manusia.

Perunding Imej Bertauliah Nor Fazidah Abd Samad berkata, kecantikan itu subjektif kerana semua manusia dilahirkan cantik dan mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Ramai beranggapan semua individu perlu sentiasa kelihatan cantik ketika hari raya dengan menyarung busana indah ditambah aksesori mewah juga wajah yang sentiasa disolek namun ternyata ia adalah tanggapan tidak tepat.

“Kecantikan wanita itu lebih terserlah apabila mereka yakin dan selesa dengan diri sendiri apatah lagi ketika bertemu ramai orang,” katanya.

Menurutnya, untuk kelihatan cantik pada pandangan mata orang luar, wanita itu perlu bijak membawa diri dan sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan terutama apabila berdepan dengan khalayak.

“Apabila bertemu saudara mara dan kenalan, susun tutur kata sebaiknya dan bersikap mesra dengan semua individu bagi memastikan diri disenangi semua.

“Tidak perlu terlalu memikirkan aspek rupa paras atau busana yang indah kerana ia hanyalah luaran dan bersifat sementara. Apa yang penting adalah sikap diri kerana ia lebih dipandang,” ujarnya.

Nor Fazidah turut berkongsi tip untuk wanita kelihatan cantik dan berkeyakinan ketika bertemu saudara mara atau kenalan ketika Aidilfitri:

Keselesaan dan kesesuaian pakaian

Pakaian yang dikenakan haruslah yang memudahkan pergerakan, mengikut cuaca dan tidak keterlaluan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa pada diri sendiri juga individu yang memandang.

Solekan dan aksesori

Solekan dan aksesori yang keterlaluan hanya mengundang rasa janggal orang lain terhadap diri kita apatah lagi apabila berkunjung ke kawasan desa. Lebih manis jika bersederhana.

Sentiasa kekalkan senyuman manis

Senyuman adalah pembuka bicara awal sebelum memulakan komunikasi. Dengan senyuman semuanya boleh menjadi indah.

Elakkan bertanya soalan sensitif

Bagi menghormati setiap pertemuan, gaya komunikasi juga perlu dijaga supaya hubungan dapat dieratkan selain mengelak menyinggung perasaan orang lain.

Makan dengan tertib dan beretika

Sebolehnya sebelum menghadiri rumah terbuka atau mengunjungi saudara mara, perlu mengisi perut terlebih dulu supaya makan dengan tertib dan tidak gelojoh.

Amalkan sikap toleransi, sederhana dan saling menghormati

Ia kunci utama bagi kecantikan serta keyakinan diri luaran dan dalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 9:50 AM